Monday, April 30, 2012

Menzahirkan busana jejaka tempatan



DERAP langkah setiap model di atas pentas acara Men’s Fashion Runway (MFR) 2012 baru-baru ini jelas menggambarkan kesungguhan mereka. Setiapperagaan pakaian, memukau para hadirin yang memenuhkan bangku penonton di dalam dewan.

Acara yang dilangsungkan di ibu negara itu dimulakan dengan rekaan pendatang baharu, Kos Serani. Menampilkan hasil kerja bertemakan rock, rona hitam menjadi penata utama pada kesemua pakaian pereka yang sedang meningkat naik itu.

Material kulit mendominasi keseluruhan bahagian rekaan sekali gus menjelmakan imej lelaki perkasa. Mainan potongan yang pelbagai menonjolkan kreativiti Kos Serani yang tidak takut bereksperimen.

Sejujurnya, ia bukan rekaan yang sesuai untuk pakaian harian namun sempurna digayakan ke acara-acara kostum. Mereka yang ingin mencuri tumpuan, bolehlah memilih pakaian tersebut ke majlis-majlis yang bersesuaian.

Kehangatan MFR yang baru diadakan buat kali pertama itu diteruskan dengan kemunculan koleksi Fairuz Ramdan. Penggunaan rona terang yang memenuhi rekaan beliau, nyata menghidupkan aura berani pada penampilan lelaki.

Sebagai antara pelopor sut kasual dalam dunia fesyen tempatan, Fairuz bijak menyuai padan aksesori dengan pakaian berkonsep Inggeris hasil

tangannya.

Askot yang melilit di leher setiap model menjadi signatur gaya yang dibentuk Fairuz termasuk napkin di poket atas jaket. Ia secara tidak langsung melambangkan segak seorang jejaka moden.

“Paduan merah jambu dengan percikan warna putih dan merah memberi impak pada keseluruhan penampilan. Mungkin ia warna yang ingin dielakkan lelaki tetapi, jika pemilihan rona itu kena dengan gaya, ia mampu mencipta imej yang sangat menarik.

“Aksesori lain seperti pita hiasan boleh laras (suspender) menonjolkan gaya klasik dan diserikan dengan penggunaan warna-warna menonjol seperti hijau dan biru.

“Perkara yang perlu dititikberatkan lelaki yang ingin mengenakan sut kasual ialah pengetahuan tentang suai padan dan menggunakan warna yang tepat dengan diri masing-masing,” jelas Fairuz ketika ditemui pada acara tersebut di Black Box@Publika, Solaris Dutamas.

Songket kontemporari

Kemasyhuran busana Melayu tradisional ditampilkan dalam konteks rekaan kontemporari. Kain sarung dan songket memang telah lama menjadi mainan pereka senior, Salikin Sidek.


KEMEJA batik canting Zizi Design ini dibuat mengikut potongan badan dan tidak berkilat bagi menarik minat anak muda.


Kebanggaan beliau terhadap material tempatan itu membuahkan koleksi pakaian lelaki yang tampak segar. Baju dan jaket kontemporari yang dihasilkan menggunakan songket penuh itu dipotong mengikut teknik jaket atau blazer.

Seperti yang dijelaskan Salikin, penggunaan kain sarung mencerminkan identiti lelaki Melayu yang tidak pernah lapuk dek zaman. Fungsi pakaian itu masih meluas dan bagi menarik minat golongan muda, ia dicipta mengikut gaya moden.

“Sekarang ramai orang suka memakai jaket songket ini dan digabungkan dengan seluar songket atau yang bersesuaian. Ada juga yang tidak gusar mencantumkan jaket dengan kain sarung panjang.

“Saya boleh klasifikasikan gaya ini sebagai eksotik kerana ia jarang dibuat. Penampilan pula sesuai dengan peredaran zaman. Hanya material dan beberapa aspek pakaian dipinjam dari zaman dahulu namun, potongannya diambil dari masa kini,” ujar Salikin.

Jika pereka lain pada malam itu cenderung menggunakan aksesori moden, Salikin pula selesa dengan perhiasan tradisional. Bengkung songket, tali pinggang besi dan tanjak mengukuhkan sisi klasik si lelaki.

Jean kitar semula

Sorotan 12 rekaan pereka muda, Adnan Hassan menggamit pandangan audiens. Mengetengahkan tema jean kreatif kitar semula, Adnan menonjolkan seluar berpotongan langsing (slim) dan dipadankan bersama ves, jaket atau kemeja.

Pemilihan warna asas seperti biru dan perang melihatkan busana yang dipersembahkan tidak berserabut. Material seperti denim, polivinil klorida (PVC), kapas, kulit, batik dan net pula mengutuhkan hasil kerja Adnan yang urban.

“Kain pario yang saya gunakan juga bermotif jean bagi menyuntik elemen ranggi dan segar. Kesemua gaya yang saya ciptakan dilengkapi dengan pelilit pinggang (cummerbund) yang menggunakan fabrik kulit.


KONSEP Inggeris yang dibawakan Fairuz Ramdan tidak pernah mengecewakan dan kebijaksanaan beliau menyuai padan mampu mencipta gaya berbeza.


“Seluar palazzo yang dihasilkan juga diberi penampilan berbeza. Bagi menerapkan gaya seluar sendat (skinny), saya mengikat hujung seluar tersebut dengan tali,” jelas Adnan yang mendedahkan bahawa kesemua rekaan yang dipersembahkan ialah koleksi sejak 2003 lagi.

Tidak ketinggalan, penterjemahan batik canting ke dalam jubah kontemporari dan kemeja oleh Mohd. Azizi Hassan atau dikenali sebagai Zizi Design memukau penonton. Lari daripada nukilan batik membosankan, tafsiran batik Zizi lebih condong pada golongan muda-mudi.

Menurut lelaki yang telah membuka butik sejak tahun 2000 itu, beliau cuba memberi nafas baharu kepada baju batik. Usaha beliau diharapkan dapat menolak stereotaip bahawa pakaian itu hanya sesuai dikenakan golongan korporat dan untuk ke acara rasmi.

“Fabrik yang kita gunakan tidak kelihatan licin seperti kebanyakan batik, membuatkan anak-anak muda enggan memakai baju sebegini. Dengan penambahbaikan dari segi motif dan potongan, ia berjaya menarik mereka memilih pakaian tradisi kita ini,” tutur Zizi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: