Sunday, April 29, 2012

Formula air penawar penyakit Noordin

pix_middle

DIA cuma anak kampung yang dibesarkan dengan didikan datuk dan nenek serta dipenuhi pantang larang masyarakat Melayu. Hidupnya terdedah dengan aktiviti kampung seperti bermain ikan laga di bendang dan mengintai rumah jiran semata-mata ingin menonton siri televisyen, The Saint lakonan Roger Moore.

Namun kehidupan di desa adalah permulaan yang membentuk peribadi pengasas produk Rx-Water, Datuk Dr Noordin Darus.

  • Foto

    MESRA...hubungan mesra tanpa mengira pangkat diamalkan di WWN.

  • Foto

    RAWAT...antara pesakit yang mendapat rawatan daripada Dr Noordin.

  • Foto

  • Foto

    BAHAGIA...Dr Noordin bersama isteri dan anak.

Bergelar Pengerusi Eksekutif WorldWellness Network Sdn Bhd (WWN), Dr Noordin menerima pendidikan awal di Stowell School yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai penghantar tetapi berbeza bagi beliau apabila dimasukkan ke program khas, sekali gus perlu berbahasa Malaysia.

Kecewa dengan keputusan dibuat pihak sekolah, jiwanya memberontak dan dizahirkan menerusi pembabitan secara aktif dalam persatuan kesenian, termasuk pertandingan pantun.


Walaupun sibuk mengaktifkan diri, beliau tetap memastikan diri sentiasa cemerlang dalam peperiksaan tahunan hingga berjaya berada di kedudukan pertama. Mendaftarkan diri di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, perjalanan seni masih diteruskan dan konflik bermula di tingkatan empat apabila Dr Noordin ditawarkan aliran sains, sedangkan jiwanya lebih ke arah seni kreatif.


“Biarpun berada di kelas sains, aktiviti kesenian tetap saya teruskan, ibarat sebati dengan diri. Tanpa disedari, minat itu membantu saya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE).

“Bayangkan, dua bulan sebelum MCE, saya menyedari saya tidak bersedia menghadapi peperiksaan. Lantas, saya menghasilkan peta minda sendiri berdasarkan kreativiti diri yang ditampal pada dinding bilik, selain mengulangkaji soalan peperiksaan tahun sebelumnya, dan syukur rezeki memihak kepada saya.

“Apabila menerima tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina daripada Institut Teknologi Mara (ITM) (kini Universiti Teknologi Mara), saya nekad menukar kursus kepada Diploma Sains dan diteruskan di Universiti Malaya bagi Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri (MBBS).

“Biarpun bergelar pelajar perubatan, status itu tidak mengehadkan aktiviti kesenian di universiti. Saya menyertai perbahasan, menjadi pengacara, ahli jawatankuasa kolej kediaman, malah bergelar deejay.

“Menariknya, saya pernah memenangi pertandingan mengarang ketika di ITM dan terpilih menyertai program anak angkat Jepun. Peluang itu membolehkan saya terbang ke negara matahari terbit itu selama tiga minggu.

“Seolah-olah menjadi duta kecil Malaysia ke Jepun, saya perlu mempelajari tarian bagi tontonan masyarakat Jepun. Hingga kini, saya masih terbayangkan pengalaman menetap di rumah tradisional, menyertai perhimpunan mingguan mereka sambil memakai kimono di jalanan.

“Ia pendedahan sangat baik bagi anak kampung yang ‘terperap’ daripada dunia luar seperti saya,” katanya ketika ditemui di Menara WWN.

Mendirikan rumah tangga pada usia 28 tahun ketika bergelar doktor pelatih memaksa Dr Noordin berhempas pulas menyara keluarga biarpun terpaksa mendiami sebuah bilik disediakan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) serta bergiat dalam perniagaan pemasaran pelbagai peringkat (MLM) secara sambilan.

Sebaik tamat ‘housemanship’ (latihan) selama setahun, beliau membuat keputusan mendalami bidang psikatrik yang sememangnya berbeza daripada kepakaran lain.

Menerima tawaran pekerjaan daripada Majlis Sukan Negara membuka peluang lelaki ini melanjutkan pelajaran ke University of London dengan tajaan penuh selama setahun dalam bidang perubatan sukan.

Memandangkan biasiswa hanya untuk kegunaan sendiri, dengan berat hati Dr Noordin pergi seorang diri meninggalkan isteri yang sarat mengandung anak kedua demi masa depan keluarga.

Menjadi doktor kepada atlit terkenal negara seperti Datuk Misbun Sidek dan Rabuan Pit membolehkan Dr Noordin menyertai kejohanan sukan terkenal antarabangsa, termasuk Sukan Olimpik, secara tidak langsung.

Menamatkan khidmat di MSN membuatkan hidupnya dan keluarga sedikit terumbang-ambing hingga memaksa Dr Noordin bekerja sebagai doktor gantian di merata-rata klinik biarpun hanya dua jam, ia cukup untuk menyara kehidupannya.

Sejajar dengan pelancaran Wawasan 2020 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1991, Dr Noordin mengambil pendekatan menganjurkan program kesihatan ‘Fitness 2020’ bagi syarikat korporat, termasuk Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Telekom Malaysia (TM).

Program Fitness 2020 hingga kini diteruskan dengan menggunakan jenama baru iaitu Well For Life diuruskan WorldWellness Consultancy.

Demi mencari sesuap nasi dan menstabilkan pendapatan keluarga, beliau mengakui pernah berkecimpung dalam 11 jenis perniagaan, antaranya percetakan dan pengiklanan papan tanda.

Pada 2001, kekuatan dan kesungguhan Dr Noordin diuji apabila disahkan menghidap kanser darah, yang mana dikatakan peluangnya untuk hidup adalah 50-50.

Dalam kesakitan yang dianugerahkan Allah SWT, Dr Noordin diberikan hidayah dan petunjuk untuk mencari penawar terbaik bagi menyembuhkan penyakitnya.

Berbekalkan soalan ‘Kenapa ketika sakit, perlu melalui rawatan yang sakit?’, Dr Noordin menemui penawar iaitu formula air selepas membuat beberapa penyelidikan dan sejak itu bermulalah Rx-Water.

Berjaya dalam penemuan itu, Dr Noordin mula mencari nama sesuai bagi air berkenaan. Antara perkataan yang timbul adalah Oasis, 7-Star, Wadi, Okinawa, Haven mahupun Aura-water tetapi selepas membuat kajian, beliau mendapati kebanyakan frasa itu sudah digunakan.

Menerima ilham Rx bermaksud preskripsi, beliau mengakui nama berkenaan sesuai berikutan produknya boleh digunakan segenap lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

“Air adalah ibu segala penawar dan berfungsi menyembuhkan dengan lebih efektif dan cepat. Kita sebenarnya tidak sedar, air yang disalurkan kepada kita di rumah adalah ‘beracun’.

“Beracun itu membawa erti tidak bersih, mengandungi klorin yang boleh memberi kesan terhadap metabolisme lemak, aktiviti hormon, aluminium pula memasuki sistem air melalui hujan asid menyebabkan penyakit Alzheimer, berkarat mahupun berkeladak.

“Syukur, sembilan tahun WWN beroperasi, kita menerima maklum balas positif daripada pelanggan. Boleh dikatakan ramai pelanggan yang mencari kita dikatakan tidak mempunyai harapan untuk sembuh.

“Alhamdulillah selepas menggunakan Rx-Water, mereka kembali sihat dan produk ini mampu menjadi penawar kepada lebih 50 jenis penyakit kronik kecuali mati,” katanya yang sibuk melayan pesakit di pejabat WWN.

Membanggakan apabila lebih 80,000 set Rx-Water dijualkan dan dimanfaatkan 400,000 orang, sekali gus berusaha menepati visinya untuk menyembuhkan satu juta rakyat Malaysia.

Meluahkan rasa kecewa apabila wujud tanggapan negatif mengenai MLM, beliau menafikan konsep dijalankan WWN bersifat keuntungan, sebaliknya menekankan aspek membantu dan beramal, kemudian baru diberikan imbuhan sewajarnya.

Sebelum mengakhiri temubual, beliau menyatakan, WWN bakal menembusi pasaran Indonesia bermula Julai depan selepas tiga tahun berusaha bersama 23 produk syarikat, selain melaburkan hampir RM1 juta bagi bangunan sendiri di negara terbabit.



Gemar melukis wajah warga emas

Jika bukan di kedudukan ini, siapakah anda?
Arkitek dan pelukis. Rumah diduduki sekarang direka bentuk oleh saya sendiri dengan bantuan teman baik, Bakar Mat Ali.

Hobi masa lapang?
Waktu lapang, saya senang menghabiskan masa melukis alam sekitar, terutama kayu-kayan dan akar, selain wajah warga emas. Boleh berbangga apabila lebih 20 lukisan dihasilkan digantung di rumah saya.

Tokoh dikagumi?
Semestinya Nabi Muhamad SAW serta individu berjaya seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Nelson Mandela dan Bill Gates.

Mempunyai penyakit?
Syukur, selepas sembilan tahun saya bebas daripada penyakit.

Impian sejak kecil yang tidak tercapai?
Ingin bergelar juruterbang.

Pendorong?
Diri sendiri.

Prinsip hidup?
Lagi hidup, lagi lawan. Jangan sesekali putus harapan.


PROFIL

NAMA: Datuk Dr Noordin Darus
JAWATAN: Pengerusi Eksekutif WorldWellness Network Sdn Bhd (WWN)
LAHIR: 4 Ogos 1954
ASAL: Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang
ISTERI: Datin Noorsiah Mohd Shamsuddin
ANAK: Najmi (29), Nadira (27) dan Nashman (17)
PENDIDIKAN: Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri (MBBS), Universiti Malaya (1982)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: