Monday, April 30, 2012

Sisa buangan manusia rosakkan khazanah laut

Antara kakitangan Bank islam yang turun ke dasar laut melakukan kerja-kerja pembersihan.

KIRA-KIRA 36 peratus kawasan tempat batu karang membiak di negara ini dianggarkan akan pupus pada tahun ini. Sementara menjelang 2030, sebanyak 60 peratus sumber itu akan musnah sekiranya langkah pembersihan pantai dan juga pemuliharaan khazanah laut tidak dilakukan.

Angka ini menunjukkan, di sebalik kebiruan dan keindahan laut yang memukau mata memandang, tersembunyi petaka yang bakal menimpa jika laut terus menjadi tempat untuk kita melupuskan sampah dan pelbagai sisa lain.

Untuk membersihkan dasar laut pula bukan satu tugas yang mudah. Mungkin ada yang beranggapan ia menyeronokkan kerana membabitkan aktiviti menyelam, tetapi realitinya ia sesuatu yang sukar.

Terdapat jurang perbezaan ketara antara kerja-kerja pembersihan dasar laut dengan pembersihan di darat.

Bayangkan, mereka yang terbabit dalam kerja-kerja membersihkan dasar laut daripada segala sampah-sarap perlu menyelam pada kedalaman sekitar 12 hingga 20 meter.

Itu pun mereka yang terbabit dalam kerja-kerja itu belum tentu dapat membersihkan semua kawasan sekeliling. Selain perlu mengawasi bekalan oksigen yang hanya mampu bertahan sekitar 30 hingga 45 minit, para penyelam juga kena pandai mengimbangi badan supaya tidak melanggar mahupun ‘menghempap’ terumbu karang.

Malah penyelam yang melakukan kerja-kerja pembersihan juga perlu memastikan keselamatan mereka termasuk tidak ditusuk benda-benda tajam.

Kerja-kerja pembersihan dasar laut juga tidak mampu dilakukan secara berseorangan kerana selain perlu membawa raga atau karung bagi mengisi sampah-sarap yang dikumpul, kadang-kala penyelam terbabit perlu memotong jaring atau jala tersangkut pada terumbu karang.

Semuanya perlu dilakukan secara bersama dan berhati-hati supaya matlamat membersihkan dasar laut tersebut tidak menjejaskan kehidupan karang.

Usaha membersihkan dasar laut terutama di kawasan yang diwartakan sebagai taman laut pula biasanya membabitkan kerja-kerja sukarela oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun badan korporat.

Berpeluang menyertai pasukan Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan juga pusat latihan skuba Ocean Elements dalam program Pemuliharaan Khazanah Dasar Laut di Pulau Tenggol, Terengganu, baru-baru ini ternyata memberi satu pangalaman berbeza.

Ini kerana buat pertama kali saya menyelam ke dasar laut untuk membersihkannya daripada segala sampah-sarap selain dapat melihat keindahan khazanah laut ciptaan Tuhan.

Pelbagai sampah-sarap menjadi penghuni dasar laut bersama karang seperti botol kaca, botol plastik, tin, kayu, besi, jaring dan banyak lagi yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, tetapi turut memendekkan jangka hayat ‘penghuni-penghuni’ laut seperti ikan, penyu, terumbu karang dan sebagainya.

Menurut Pengurus Besar, Perhubungan Strategik Bank Islam, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh, program itu melibatkan kakitangan bank itu yang boleh menyelam.

Matlamatnya ialah untuk mengekalkan keindahan alam semula jadi di dasar laut selain memelihara terumbu karang.

Dengan itu secara tidak langsung keindahan dan keunikan terumbu karang yang berwarna-warni di dasar laut Pulau Tenggol terus terpelihara dan boleh dinikmati oleh generasi akan datang.

Pada masa sama katanya, masyarakat sekeliling perlu mempunyai tahap kesedaran yang tinggi untuk menjaga alam sekitar agar bebas daripada sebarang pencemaran supaya generasi akan datang dapat merasai kehidupan yang selesa.

“Kebersihan dasar laut juga perlu sentiasa dipelihara kerana Terengganu mempunyai kawasan pantai sepanjang 244 kilometer dan pulau yang menjadi daya tarikan utama pelancong termasuklah aktiviti menyelam.

“Aktiviti yang dirancang selain daripada membersihkan kawasan pesisiran pantai dengan mengutip dan mengumpul sampah-sarap, kami turut memberi taklimat mengenai pemuliharaan khazanah dasar laut kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka, Dungun.

“Dalam pada itu, Bank Islam turut menyerahkan sumbangan buku ilmiah berkaitan hidupan laut kepada Pengetua SMK Paka," ujarnya.

Sementara itu, bagi kakitangan Bank Islam yang tidak mempunyai lesen menyelam mereka tidak ketinggalan melakukan aktiviti snorkeling sambil melihat sendiri tahap kerosakan terumbu karang serta pembiakan hidupan laut di sekitarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: