MELENGKUNG cantik tubuh sambil tangan menghayun kayu golf memukul bola bersaiz kecil. Tubuh mereka kelihatan fleksibel mengimbangi rentak hayunan supaya bola dipukul tepat menuju sasaran.
Itu aksi pemain yang menyertai Kejohanan Tertutup Golf Wanita Amatur dan Remaja Perempuan Malaysia 2012 di Staffield Country Resort, Mantin, Negeri Sembilan. Landskap mendamaikan di kelab golf itu memberi ruang kepada lebih 80 pemain amatur wanita mengatur strategi dalam mencipta mata terbaik.
Matlamat pertama, pukulan tee diharap menuju ke lapangan atau ‘fairway’ sejauh mungkin bagi lubang Par 4 atau Par 5 supaya memudahkan pemain menakluk ‘green’, manakala bagi lubang Par 3, harapan pastilah bola terus ke green dengan satu pukulan.
Mendarat di green, kelihatan seorang gadis sunti berkemeja berwarna hijau serius meneliti kedudukan bola dan permukaan green supaya ‘putting’ memasuki lubang. Rumitnya permainan ini ialah, lagi banyak jumlah pukulan dibuat, makin terjejas kedudukannya daripada senarai pemain teratas.
Meskipun mencabar, gadis belasan tahun ini tidak melatah, malah bersungguh-sungguh mencari peluang untuk memperbaiki pukulan.
Itu antara faktor pendorong Nur Islamiah Mohd Fuad yang setia dengan sukan diceburi seawal usia sembilan tahun. Menariknya, dia mengenali sukan itu menerusi bapanya, Mohd Fuad Zainal Ariffin, 48.
“Boleh dikatakan keluarga saya terbabit secara langsung dalam sukan golf. Malah, ayah sarankan saya fokus sepenuhnya andai berminat dengan sukan ini.
“Daripada kos peralatan hinggalah jumlah belanja setiap kali mengunjungi padang golf, bukan sedikit pelaburan dikeluarkan.
“Untuk itu, semestinya saya perlu tunjuk kesungguhan dan serius dalam sukan ini,” katanya yang memperoleh set golf sulung daripada kakak sepupunya ketika berusia sembilan tahun.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Klian Pauh, Taiping, Perak ini berkata, dia tidak kesah berpanas di padang serta memperuntukkan lebih dua jam setiap kali latihan semata-mata untuk memperbaiki permainan.
“Saya menyimpan impian untuk pergi jauh dalam sukan ini. Harapan sudah tentu bergelar pemain profesional dan mewakili Malaysia dalam kejohanan anjuran Ladies Professional Golf Association (LPGA) yang berprestij itu,” katanya yang menghargai sokongan Emkay dan Persatuan Golf Wanita Malaysia (Malga) setiap kali menyertai kejohanan.
Bagi Nur Aini Azman, 13, pula, sokongan bapa, Azman Hassim, 46, menjadi pendorongnya dalam setiap pertandingan disertai.
“Saya meminati golf selepas kerap mengikut bapa bermain. Pertama kali memegang kayu sambil memukul bola, saya sungguh gembira dan berpuas hati.
“Bagi saya, sukan ini mengajar saya mengenai disiplin dan fokus terhadap setiap perkara dilakukan, seperti membetulkan posisi badan serta hayunan bagi memastikan setiap pukulan tepat sehingga bola memasuki lubang.
“Ketika ini, saya berharap dapat mengurangkan ‘handicap’ dan mencatat prestasi baik dalam kejohanan akan datang,” katanya yang sanggup terbang dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menyertai kejohanan itu.
Pasangan adik beradik, Nyca Khaw Wen Huei, 16, dan Junie Khaw Wen Jun, 13, cuba memberi saingan hebat kepada peserta lain di kejohanan itu.
Menurut Nyca, dengan adanya kejohanan sebegini, dia dan adiknya dapat memperbaiki mutu hayunan dan mencatat keputusan terbaik sepanjang pertandingan.
Katanya, meskipun nasib tidak menyebelahi mereka dalam pertandingan itu, dia akan terus berlatih sebagai persediaan mewakili Pahang dalam Sukma 2012, Julai depan.
“Pertandingan ini antara platform terbaik untuk mempersiapkan diri bagi misi membantu pasukan golf Pahang menggondol emas. Sekurang-kurangnya ia membantu saya mempersiapkan diri.
“Saya turut menyertai beberapa kejohanan lain untuk memperbaiki mutu permainan supaya berjaya mencapai sasaran,” katanya yang mengimpikan peluang beraksi di kejohanan LPGA.
Adiknya, Junie gigih mengejar pencapaian kakaknya supaya harapan bergelar pemain golf dapat dijadikan batu loncatan bagi mendapatkan biasiswa untuk menyambung pengajian di luar negara.
“Saya menyedari, golf antara medium terbaik membantu saya memperoleh peluang lebih baik seperti biasiswa bagi menyambung pengajian di luar negara andai berjaya beraksi cemerlang,” katanya.
Berbeza pula dengan Noor Rehah Ahmad Yusof, 35, yang menyifatkan penyertaan dalam setiap kejohanan golf sebagai cara melepaskan tekanan.
“Golf pada saya adalah tujuan bersukan. Saya dulu hairan bagaimana suami boleh memperuntukkan masa sehingga empat jam semata-mata untuk lengkapkan 18 lubang.
“Namun sebaik mengenali golf, ia antara opsyen terbaik untuk relaks dan saya tidak kisah bermain sehingga tujuh jam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Malga, Datuk Rabe’ahtul Aloya Abbas berkata, pihaknya gembira melihat potensi pemain muda kian meningkat naik dan berharap untuk membawa muka baru ke kejohanan luar seperti ‘Jakarta World Junior’ dan ‘The Nick Faldo Series’ bagi pendedahan lebih meluas.
“Ketika ini potensi tetap ada, tetapi kekangan daripada segi pembiayaan wakil ke perlawanan luar yang tinggi menyebabkan mereka tidak dapat merasai pengalaman kejohanan sebenar.
“Persatuan berharap dapat terus mengumpul dana bagi menaja pemain berbakat ke luar supaya mereka boleh berdiri sebaris dengan pemain bertaraf dunia,” katanya.
PROFIL
NAMA: Nur Aini Azman
UMUR: 13 tahun
STATUS: Pelajar Sekolah Menengah All Saints, Kota Kinabalu, Sabah
BERMAIN SEJAK: 8 tahun
NAMA: Nur Islamiah Mohd Fuad
UMUR: 17 tahun
STATUS: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Klian Pauh, Taiping, Perak
BERMAIN SEJAK: 9 tahun
NAMA: Nyca Khaw Wen Huei
UMUR: 16 tahun
STATUS: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Jaya, Selangor
BERMAIN SEJAK: 14 tahun
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: