Sunday, April 29, 2012

Azam sampai ke bintang


RAJA AZURA sentiasa meletakkan sasaran kejayaan yang tinggi dalam setiap perkara yang beliau lakukan.


KEKURANGAN fizikal bukan alasan untuk gagal sebaliknya ia adalah azimat paling ampuh untuk menggapai kejayaan.

Setiap insan mempunyai kelemahan malah kekurangan itu turut dialami oleh Raja Azura Raja Mahayudin.

Ternyata, wanita yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu tidak lekang dengan senyuman.

Di sebalik semua itu, Azura yang menggemari aktiviti bersukan dan merakam gambar itu pernah dicengkam rasa rendah diri.

“Sejak lahir, bibir saya sumbing dan keadaan itu menyebabkan petuturan menjadi kurang jelas.

“Kekurangan itu menyebabkan saya berasa malu untuk berinteraksi dan bergaul dengan rakan-rakan di sekolah dan jiran,” katanya.

Luar biasa

Keadaan itu berakhir semasa berumur lapan tahun, hasil motivasi berterusan yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapanya.

Raja Mahayuddin Raja Othman, 74, dan ibunya Rauhaniah Mohamed, 65, adalah ikon di sebalik kejayaannya wanita ini.

Katanya, untaian kata-kata dorongan ibunya masih bermain-maian dalam ingatannya.

“Ibu berkata, setiap manusia mempunyai kelebihan dan tiada cacat celanya.

“Allah SWT mencipta semua manusia sama. Cuma manusia itu sendiri yang perlu berusaha untuk memperbaiki diri,” katanya berfalsafah.

Ujar Azura, ibunya sering memberitahu, jika setiap manusia ikhlas dan jujur dalam setiap perbuatan pasti mereka akan mendapat keredaan Allah.

Menurut Azura, kata-kata ibunya menjadi tonik yang membawanya keluar daripada kepompong rendah diri.

“Saya bertukar 360 darjah dengan menjadi seorang kanak-kanak yang aktif di sekolah sehingga di universiti.

“Jangan terkejut, kerana saya pernah mewakili negara dalam sukan bola jaring selain aktif dalam olahraga,” katanya.

Kemuncak perubahan dirinya ialah mahir mengarang lirik-lirik lagu nasyid serta pandai bermain piano.

“Puas, sangat puas kerana berjaya melakukan perkara yang melebihi jangkaan saya sendiri,” tuturnya.

Setakat ini, beliau telah menjalani lapan pembedahan untuk memperbaiki bibirnya yang sumbing.

Tidak menoleh ke belakang lagi, prinsip hidup wanita kental ini juga cukup berbeza iaitu setiap perkara yang dilakukan perlu melebihi jangkaan.

“Jika saya melakukan sesuatu perkara, sasaran kejayaan pada tahap sebanyak 200 peratus, biarlah sampai ke bintang.

“Mengapa? Jika mencapai 180 peratus kita sebenarnya telah mencapai tujuan itu malah lebih baik daripada perancangan asal,” katanya.

Jodoh

Azura yang kini menerajui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) mempunyai pengalaman luas dalam dunia profesional.

Kerjayanya bukan calang-calang malah dia pernah menjawat jawatan penting di firma audit, Malaysia Airlines (MAS) dan Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah).

Rentetan pengalaman itu ibarat ‘universiti dunia’ yang banyak mengajarnya siapa sebenarnya manusia itu sendiri.

“Saya boleh nilai sama ada seseorang ingin berbuat baik atau jahat kepada saya dengan hanya melihat fizikal dan cara percakapannya,” gurau Raja Azura.

Tidak lengkap berbicara dengan wanita solo ini sekiranya tidak bertanyakan ciri-ciri lelaki yang bakal menjadi suaminya.

“Saya bukan seorang yang memilih. Mungkin belum tiba masanya lagi. Asalkan bakal suami memahami diri saya dan arif dalam hukum hakam agama (Islam), itu sudah mencukupi,” katanya.

Beliau juga dilontar soalan sekiranya tidak menerajui YPBB profesion apa yang akan diceburinya.

“Saya ingin menjadi seorang pakar motivasi tetapi dengan cara berbeza iaitu sebagai singing motivator. Saya akan menyanyi sambil memberikan motivasi,” katanya sambil ketawa.

Tetapi fokusnya kini ingin memberikan tumpuan kepada 225 pelajar yang terpilih memperolehi biasiswa YPPB melalui program Peneraju Tunas Potensi 2012

“Syukur, kerana mereka akan mula menyambung pelajaran di kolej-kolej terpilih dan akan dibiayai selama lima tahun sehingga bekerja.

“Semoga, mereka terus fokus serta membantu meningkatkan ekonomi golongan Bumiputera dan negara dalam masa yang sama,” katanya.

Projek kedua beliau yang akan dilancarkan bulan depan ialah Peneraju Akauntan Profesional yang bakal melahirkan akauntan profesional daripada kalangan Bumiputera.

“Peluang terbuka kepada bekas penuntut universiti yang mendapat keputusan cemerlang purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.00 ke atas,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: