SEMBILAN tahun hidup menjanda, penyanyi tersohor Indonesia, Desy Ratnasari, 38, sudah lama dibuai dengan cinta hatinya. Tujuh tahun menjalinkan hubungan intim dengan ahli perniagaan, Irwan Danny Musri, 49, membuatkan pelantun lagu Tenda Biru itu kembali terbuka hati untuk berkahwin untuk kali ketiga.
Jika tiada kejujuran, bagaimana mahu bahagia. Apa yang lebih utama, calon suami perlu ada pekerjaan tetap dan stabil kedudukannya. - Desy Ratnasari
Sungguhpun begitu, Desy tidak menafikan sudah dilamar kekasihnya itu sejak tahun pertama mereka berpacaran lagi. Terbaru, kekasihnya itu melamar lagi. Lamaran dilakukan ketika mereka menaiki helikopter ketika dalam perjalanan ke kampung halamannya di Sukabumi, Jawa Barat.Desy yang sudah berubah imej bertudung sejak Disember tahun lalu mengakui kekasihnya bukanlah lelaki romantis. Dia menyimpulkan sedemikian selepas Irwan melamar dan memberikan cincin di atas ketinggian udara yang mana helikopter kedengaran bising ketika itu.
“Irwan memberikan saya hadiah cincin ketika melamar. Irwan tidak romantis, ketika melamar kedengaran bunyi sangat bising ketika kami dalam perjalanan ke Sukabumi. Cincin itu juga tanda sokongan kerana saya berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Industri Organisasi Dan Komunikasi.
“Irwan menggalakkan saya menghabiskan pengajian, maka apabila saya lulus dengan cemerlang, beliau memberikan cincin ini. Irwan memberikan cincin ini tanpa bermadah pujangga. Beliau mengeluarkan kotak berisi cincin daripada bekasnya, lalu menyematkan ke jari saya,” katanya yang kelihatan semakin jelita apabila bertudung.
Anak sulung daripada empat adik beradik itu berkata, dia belum lagi mendaftar perkahwinan di KUA seperti yang diperkatakan. “Belum ada misi mahu mendaftarkan diri ke KUA. Saya ucap terima kasih kepada peminat yang mendoakan. Namun, saya belum merancang ke jenjang pelamin lagi. Bukan tidak mahu bernikah, saya mahu, tapi belum tiba masanya. Saya pelik kenapa orang sering bertanya persoalan yang sama.
“Amin, siapa mahu gagal dalam perkahwinan, tiada yang mahu. Saya tahu peminat tidak putus-putus mendoakan kebahagiaan saya, tapi sampai saat ini, status saya masih belum berubah. Kalau boleh, saya tidak mahu kesilapan yang sama dalam hidup.”
Model, penyanyi dan pelakon yang pernah mendapat jolokan ikon kecantikan wajah Indonesia asli itu mengakui status janda bukanlah halangan besar buatnya. Apatah lagi hubungannya dengan Irwan sudah berlanjutan sehingga tujuh tahun. Anak tunggalnya, Nasywa Nathania, juga mesra dan memanggil Irwan dengan panggilan Daddy.
“Tiada niat menangguh perkahwinan kali ketiga ini. Tujuh tahun berkawan dengan Irwan dianggap jangka masa yang lama, tetapi mungkin belum sampai jodoh. Jujurnya, saya tidak mahu gagal lagi melayari bahtera rumah tangga.
“Saya harus jujur pada diri supaya saya dapat membahagiakan orang lain. Jika tiada kejujuran, bagaimana mahu bahagia. Apa yang lebih utama, calon suami perlu ada pekerjaan tetap dan stabil kedudukannya.
“Kedudukan saya sudah stabil, pastinya lelaki pilihan saya harus lebih stabil. Saya juga menuntut pengertian dalam hubungan, selain menerima saya seadanya. Soal usia, saya tidak terganggu dengan Irwan yang 11 tahun lebih tua daripada saya. Jika saya pilih lelaki yang lebih muda nanti dibilang dapat bala lagi (berseloroh),” kata bintang filem dan sinetron itu.
Dulu, Desy pernah menerima tempias gosip menjalinkan hubungan dengan bekas Menteri Tenaga Kerja, Abdul Latief. Menepis isu itu, Desy berkahwin teman masa sekolahnya, Trenady Pramudya pada 20 Februari 1999. Bagaimanapun, perkahwinan hanya bertahan selama setahun. Selepas setahun bercerai dengan pegawai pejabat biasa, Desy bernikah lagi pada 19 Disember 2001.
Desy memilih seorang pengusaha jutawan, Sammy Hamzah. Bagaimanapun, pernikahan keduanya juga berakhir dengan perceraian pada 16 Mac 2003. Hasil perkahwinan keduanya, Desy dikurniakan Nasywa Nathania.
Mengulas imej muslimah, Desy berkata, keinginan mahu bertudung sudah lama tersemat dalam sanubari. Bagaimanapun, ia hanya dapat dilaksanakan selepas mengerjakan ibadah Haji di Makkah tahun lalu.
“Pakai tudung ini adalah niat yang tertunda. Daripada saya pulang mengerjakan fardu Haji hinggalah dapat dilaksanakan pada hujung tahun.
“Saya tidak pernah merasa terganggu dengan penampilan baru. Saya tidak khuatir jika kerjaya dalam nyanyian dan lakonan tergugat. Saya tenang sekali apabila mengenakan tudung. Saya tidak kisah menolak tawaran jika saya harus membuka tudung,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: