PUTRAJAYA - Kerajaan mempelawa semua lapisan masyarakat untuk menyampaikan pandangan dan suara hati melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 bagi memartabatkan sistem pendidikan negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, selain sesi dialog, rakyat juga boleh menyalurkan pandangan mereka melalui Twitter, Facebook dan laman sesawang kajian semula pendidikan bermula semalam sehingga pertengahan Julai nanti.
"Siri dialog ini adalah satu inisiatif bersejarah kerana buat pertama kali kerajaan mempelawa pandangan masyarakat umum dalam skala besar untuk bersama-sama merangka pelan pembangunan pendidikan negara ketika kita sedang melangkah memasuki fasa baharu transformasi," katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud dan Pengerusi Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Wan Mohd. Nordin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: