Saturday, April 28, 2012

SCIROCCO R BERKUASA 255PS


PRESTASI Scirocco R pernah diuji pada siri perlumbaan Scirocco R di SIC tahun lalu.


RANGKAIAN model hothatch Volkswagen sedia ada kini diperluaskan lagi menerusi pengenalan Scirocco R. Ia merupakan varian paling berkuasa. Prestasi jentera dua pintu itu pernah dipamerkan menerusi siri perlumbaan Piala Scirocco R di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun lalu.

Huruf 'R' membawa maksud jentera moden dengan pemanduan dinamik, berkuasa, rekaan menarik dan menawan. Scirocco R turut mewarisi DNA perlumbaan dan menawarkan pengalaman pemanduan menyeronokkan di atas jalan raya biasa.

Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia (VGM), Ricky Tay berkata, model Golf R dan Passat CC R-Line mewakili segmen pasaran berbeza dan kelompok sasaran pelanggan tersendiri.

Hothatch itu dilengkapi enjin turbo empat silinder TSI dengan sistem suntikan terus bahan api. Ia menggunakan petrol sebanyak lapan liter untuk setiap 100 kilometer (km). Kadar emisi karbon pula hanyalah 187 gram bagi setiap km.

"Secara tepatnya, Scirocco R 2.0L mampu meledakkan kuasa maksimum sehingga 255PS @ 6,000rpm. Tork maksimum pula mampu mencecah 330Nm antara 2,400rpm hingga 5,200rpm," kata Ricky.

Kelajuan maksimum jentera itu adalah 250 km sejam. Bagi pecutan 0km hingga 100km, ia cuma mengambil masa enam saat sahaja. Bagi mengimbangi kestabilan dan mengurangkan kehilangan cengkaman di atas jalan, teknologi electronic differential lock (EDS) telah diintegrasi bersama sistem ESP.


RUANG kabin yang sporty dan berorientasikan pemandu.


Scirocco R yang dilengkapi rim aloi 19 inci turut diberikan Adaptive Chassis Control (DCC) sebagai ciri standard. Bampar hadapannya mengandungi tiga ruang penyaluran udara. Dua set lampu DRL (daytime running lights) LED dipasang pada bahagian kiri dan kanan bampar. Lampu utama adalah jenis bi-xenon.

Bahagian belakang didominasi oleh bumbung besar yang dilengkapi spoiler. Peresap (air diffuser) berwarna hitam di bahagian bawah bampar belakang mempamerkan rekaan model R. Perumah lampu belakang juga dihitamkan sedikit agar nampak lebih sporty.

Cermin sisi turut diwarnakan hitam. Ruang kabin ditonjolkan dengan pemasangan tempat duduk motorsport bucket. Tidak terkecuali, bumbung panaromik.

Antara peralatan standard yang dipasang pada Scirocco R ialah pengawal suhu dua zon, kemasukan tanpa kunci, sistem navigasi satelit RNS 510, pemain cakera padat dan MP3, hab USB serta AUX-IN.

Didatangkan dengan enam warna pilihan iaitu putih, hijau, biru, perak, kelabu dan hitam, ia ditawarkan pada harga RM279,888 seunit. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.volkswagen.com.my atau www.r-series.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: