Saturday, April 28, 2012

Romantis di Sibu Island Resort



SESEKALI percutian yang sunyi dan tanpa gangguan amat didambakan oleh sesiapa sahaja yang sudah jenuh meredah kesibukan dan hiruk-pikuk kota. Lebih-lebih lagi sekiranya berpeluang untuk menghirup udara segar yang jarang dinikmati di tengah-tengah hutan konkrit.

Rancanglah percutian dan berkunjunglah ke Sibu Island Resort yang terletak 13 kilometer perjalanan menaiki bot dari jeti Tanjung Leman, Mersing, Johor.

Sebelum itu, jangan biarkan perut terlalu kosong atau terlalu kenyang sebelum menaiki feri dari Mersing kerana bimbang nanti kalau ada yang mudah berasa tidak selesa dan mabuk laut dalam perjalanan selama kira-kira 30 minit itu.

Selain barangan cenderamata, Jeti Tanjung Leman menawarkan pelbagai gerai makanan dan juga sebuah restoran makanan segera yang boleh dikunjungi untuk mngealas perut sementara menanti waktu menaiki feri.

Sejurus tiba di jeti Sibu Island Resort, kedatangan pengunjung pasti disapa kakitangannya yang mesra dan peramah. Sambil mengheret beg ke kaunter pendaftaran penginapan, mata pasti tertancap ke arah hamparan pasir pantai yang putih dan padang rumput luas namun diredupkan landskap pokok yang ditanam rapi.

Rusa dan merak

Rusa dan burung merak pula kelihatan bebas bergerak, sama ada bersendiri atau dalam kumpulannya. Ibarat sudah terbiasa dengan kehadiran manusia, haiwan-haiwan ternakan ini tidak pula lari ketakutan biarpun didekati kumpulan tetamu yang ingin bergambar.

Menurut Pengurus Residen Sibu Island Resort, Ab. Latiff Sahat, pengunjung boleh memberi makanan kepada haiwan-haiwan itu secara terus di atas tapak tangan. Makanan kegemaran haiwan tersebut seperti roti boleh dibeli di kedai cenderamata yang turut disediakan berdekatan.


BOT yang selesa dan luas membawa penumpang dari jeti Tanjung Leman ke jeti Sibu Island Resort.


"Haiwan-haiwan ini sekiranya didekati dengan mesra, ia tidak akan lari sebaliknya akan mendekati tetamu yang ingin memberikan mereka makanan tanpa rasa takut," katanya.

Ab. Latiff memberitahu, Sibu Island Resort telah mengalami pengubahsuaian besar-besaran sejak dua tahun lalu membabitkan kesemua 121 unit bilik penginapan, ruang legar dan persekitaran resort yang kesemuanya menelan kos sebanyak RM26 juta.

"Kami turut membaik pulih kawasan pesisiran pantai dan membina loji penyahgaraman air laut. Justeru, air bersih yang digunakan di sini termasuk air minuman adalah diproses sendiri melalui loji ini.

"Pengubahsuaian penuh dan persekitaran yang ditawarkan menjadikan Sibu Island Resort ini destinasi percutian yang cukup eksklusif di negara ini. Ia ibarat mengikuti percutian ke pulau persendirian yang tenang dan mendamaikan," katanya mengenai pulau percutian seluas 26 hektar itu.

Tidak dinafikan, pengubahsuaian yang dilakukan telah berjaya membentuk imej baharu Sibu Island Resort yang kelihatan mewah tetapi berpatutan untuk dikunjungi. Lebih istimewa, Sibu Island Resort menawarkan pelbagai pakej penginapan mengikut bajet percutian masing-masing.

Menurut Ab. Latiff, tetamu boleh memilih menginapan di bilik Superior dan Deluxe ataupun ke unit suite Serindit, Layang-Layang, Honeymoon atau Raja Udang bergantung kepada jumlah tetamu dan bajet masing-masing.


LUMBA LUMBA COFFEE HOUSE terletak bersebelahan kolam renang yang luas dan berkedalaman sehingga dua meter.


"Semua bilik penginapan mempunyai keistimewaan masing-masing. Sebahagian bilik penginapan dibina menghadap pantai, manakala sebahagian lagi menghadap persekitaran resort. Setiap satunya menerima sentuhan rekaan berasaskan kayu yang berciri moden.

"Bagi mereka yang memilih untuk berbulan madu di sini, Honeymoon Suites sudah semestinya menawarkan pemandangan terbaik malah bilik dihias dengan elemen romantik sebelum menerima ketibaan tetamu," katanya.

Sukan lasak

Sekiranya sudah puas menikmati keindahan alam semula jadi atau merehatkan diri di bawah selimut yang selesa, pilihan aktiviti sukan ekstrem yang disediakan pasti dapat memenuhi jadual percutian bersama keluarga dan teman-teman.

Menurut Ab. Latiff, Sibu Island Resort menawarkan pelbagai kemudahan sukan lasak bertaraf dunia antaranya aktiviti terbang keluang (flying fox), memanah dan memanjat menara setinggi 24 meter yang menjadi tarikan dan pilihan ramai tetamu yang datang berkunjung.

"Sekiranya lebih meminati aktiviti snorkeling, pulau-pulau berhampiran menawarkan lokasi menarik untuk tujuan tersebut. Kemudahan dan perkhidmatan berkaitan snorkeling turut disediakan pihak resort.

"Selain itu, mereka yang datang berkumpulan boleh mencuba aktiviti berkayak, perahu layar, Banana Boat dan pelampung terbang Flying Fish yang pasti mendebarkan dan mencabar terutama bagi mereka yang pertama kali mencubanya," katanya.

Tambah Ab. Latiff, selain aktiviti membabitkan pantai, Sibu Island Resort turut mempunyai hamparan hutan di bahagian belakangnya yang sedia menanti si penggemar aktiviti treking.


CHALET Sibu Island Resort dibina menggunakan kayu bagi menampilkan suasana inap desa yang indah.


"Melalui aktiviti ini yang akan ditemani jurupandu, pengunjung berpeluang mengenali pelbagai tumbuhan hutan dan spesies burung.

"Kaki pancing pula boleh membawa alat pancing masing-masing atau menyewa peralatan di kedai berkaitan," jelasnya.

Sesudah puas mencuba pelbagai aktiviti ekstrem, tubuh yang letih amat sesuai dibawa ke Holistic Spa. Pusat yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari itu memanjakan tetamunya dengan pelbagai rawatan seperti urutan tradisional Sibu, urutan Swedish, urutan bahu, leher dan belakang dan skrub badan herba.

Sup tulang rawan

Dalam pada itu, keperluan menjamu selera tidak sesekali diabaikan pihak resort. Di Lumba Lumba Coffee House yang mampu memuatkan 100 tetamu pada satu-satu masa, selera tetamunya disambut dengan kelazatan hidangan ala carte dan bufet daripada menu-menu Asia dan antarabangsa.

Selain Lumba Lumba yang dibuka seawal pukul 7 pagi hingga 11.30 malam setiap hari, Suji Lounge pula mampu memuatkan 30 orang tetamu dengan rangkaian menu makanan dan minuman yang khusus.

Menurut Sous Chef Kanan, Budi Ali, hidangan istimewa yang disediakan di kafe berkenaan ialah sup tulang rawan yang menjadi menu signatur. Ia bagaimanapun, hanya disediakan pada hari-hari tertentu.

"Sup tulang rawan boleh dinikmati di sini pada hari-hari perayaan utama, istimewa buat mereka yang memilih untuk meraikannya di resort ini.

"Selain sup tulang rawan, hidangan istimewa yang digemari oleh tetamu ialah udang goreng tepung yang mempunyai rasa istimewa yang tidak akan ditemui di tempat lain," jelasnya.

Keistimewaan menu lazim berkenaan terletak pada keenakan salutan tepungnya yang garing dan memiliki rasa seumpama salutan tepung ayam goreng di rangkaian restoran makanan segera popular.

Selain itu katanya, hidangan barbeku yang diadakan pada malam-malam tertentu amat digemari lebih-lebih lagi apabila para tetamu dihiburkan dengan persembahan band live yang dibawakan khas dari Filipina.

"Kumpulan ini juga akan menghiburkan para tetamu yang mengikuti aktiviti kem unggun api yang lazimnya bermula selepas makan malam berakhir," terangnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: