Sunday, April 29, 2012

Keunikan Spire of Dublin

TEGUH...Menara Spire of Dublin di belakang tugu Jim Larkin.
TEGUH...Menara Spire of Dublin di belakang tugu Jim Larkin.

PERJALANAN selama 18 jam ke Dublin, Ireland, termasuk transit di Amsterdam, Belanda sebenarnya sungguh memenatkan. Banyak perkara bermain di fikiran sepanjang perjalanan, antaranya adakah tempoh dua minggu di Dublin nanti akan menghadirkan kenangan istimewa kerana inilah kali pertama penulis menjejakkan kaki di benua Eropah.

Ternyata sebaik keluar dari Lapangan Antarabangsa Dublin, perasaan untuk meneroka keunikan bandar yang berkapasiti 500,000 penduduk itu semakin membuak-buak.

  • Foto

    KAKU...penulis bersama seorang manusia yang menyerupai patung.

  • Foto

    MERIAH...rakyat Ireland meraikan sambutan St Patrick Day yang berlangsung setiap 17 Mac.

  • Foto

    SEJARAH...bangunan Ibu Pejabat Pos Ireland yang wujud sejak 1818 terletak di O’Connell Street.

  • Foto

    SENGIT...antara perlawanan membabitkan skuad hoki negara pada kempen kelayakan Sukan Olimpik.

  • Foto

    MEMBELI-BELAH..banyak pilihan untuk berbelanja di Grafton Street.

  • Foto

    UNIK...manusia menyerupai patung banyak dilihat di tepi jalan untuk menarik perhatian pengunjung.

  • Foto

    TENANG...River Liffey yang terletak di tengah bandar Dublin.

Apatah lagi selepas pemandu teksi yang menghantar penulis ke hotel penginapan menceritakan serba sedikit mengenai bandar Dublin yang menjadi nadi utama di Ireland.

Cuaca sejuk sekitar lapan hingga 12 darjah Celsius sememangnya menyeronokkan kerana sukar merasai pengalaman itu di negara sendiri, melainkan jika berkunjung ke tanah tinggi seperti Genting Highlands atau Cameron Highlands.


Kebanyakan masa sepanjang dua minggu di sana dihabiskan dengan berkunjung ke pusat bandar Dublin kerana kekangan tugas hakiki, iaitu membuat liputan kempen kelayakan Sukan Olimpik membabitkan skuad hoki negara.


Pusat bandar Dublin tidak terlalu besar jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur yang mempunyai kapasiti penduduk padat.

Berbeza dengan Kuala Lumpur yang sentiasa dilihat sibuk dengan aktiviti harian, termasuk kesesakan jalan raya, Dublin lebih tenang kerana tidak timbul langsung soal kesesakan.

Ini kerana penduduk di sana lebih gemar menggunakan pengangkutan awam seperti teksi, bas serta tram (kereta api) untuk menuju ke destinasi.

Yang lebih unik mengenai kota Dublin ialah, sukar bagi kita melihat bangunan pencakar langit seperti KLCC, sebaliknya setiap bangunannya lebih rendah dan kebanyakannya binaan lama.

Banyak memori manis boleh dirakam di tengah-tengah bandar Dublin, antara paling popular ialah menara dikenali sebagai Spire of Dublin setinggi 121.2 meter yang dibuat daripada besi tahan karat dan terletak di O’Connell Street. Menara berkenaan menggambarkan kemodenan bandar Dublin pada abad ke-21.

Menariknya mengenai menara ini ialah, pada waktu siang ia mengekalkan rupa keluli, namun menjelang senja, monumen berkenaan dilihat seolah-olah mencecah langit.

Selain Spire of Dublin, turut menjadi tumpuan pelancong apabila berkunjung ke Dublin ialah Trinity College, institusi pengajian tinggi terkemuka di Dublin yang dibuka pada 1592. Begitu juga dengan sungai dikenali sebagai River Liffey yang terletak di tengah bandar Dublin.

Bagi mereka yang gemar berbelanja, Dublin menjanjikan ‘syurga’ membeli-belah kerana tidak sukar mencari tempat yang meletakkan banyak pilihan kepada pengunjung berbelanja pada harga berpatutan.

Antara lokasi paling popular ialah di Grafton Street, Henry Street dan pusat beli-belah Stephen’s Green. Banyak kedai mewah di Grafton Street, termasuk Boodles dan Brown Thomas.

Di dalam gedung Brown Thomas ada beberapa butik popular seperti Hermès, Tiffany’s, Chanel dan Louis Vuitton.

Kebetulan ketika di sana juga, penulis dapat menyaksikan perayaan kebangsaan mereka yang dikenali sebagai St Patrick Day yang diraikan setiap 17 Mac.

Warga Ireland akan berkumpul di tengah bandar Dublin dengan mengenakan pakaian berwarna hijau sambil menyaksikan perarakan di sepanjang laluan O’Connell Street.

Selain menyaksikan keindahan bandar Dublin, penulis berpeluang melihat ‘kegilaan’ rakyat Ireland kepada sukan. Walau apa juga jenis sukan, kehadiran penyokong ke stadium tidak pernah mengecewakan, termasuk hoki yang bukan sukan popular di sana berbanding ragbi dan bola sepak.

Ragbi umpamanya mencetuskan rasa fanatik tinggi di kalangan peminatnya hinggakan setiap hotel, restoran atau kedai kecil sanggup membuka khemah tambahan untuk membolehkan pelanggan berkumpul menyaksikan pasukan kebangsaan beraksi di kaca televisyen.

Satu lagi perkara menarik ialah, warga Ireland peramah dan sedia membantu, sekali gus pelancong ke negara kecil ini tidak perlu berasa gusar mengenai keselamatan mereka.

Yang pasti, dua minggu di Dublin memberi pengalaman yang sungguh manis. Bukan saja dapat membuat liputan untuk kelayakan Olimpik, malah menyaksikan perbezaan budaya yang sungguh jelas antara Eropah dan Asia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: