PETALING JAYA: Pengarah box-office, Osman Ali menjelaskan masih mencari penaja untuk membiayai teater muzikal yang diadaptasi daripada filem Cun arahannya pada 2011.
Osman berkata, perincian mengenai teater muzikal itu telah pun dibuat namun masih memerlukan penaja bagi menggerakkan proses produksi yang dijadual akan dipentaskan pada penghujung tahun ini.
"Perancangan telah pun dibuat oleh pihak produksi tetapi kos menjadi penghalang untuk ia direalisasikan buat masa ini. Kami sedang berusaha mendapatkan penaja.
"InsyaAllah semuanya akan berjalan lancar nanti," katanya kepada mStar Online.
Tambah Osman, teater muzikal itu nanti masih akan mengekalkan pelakon asal seperti Maya Karin, Remy Ishak, Faezah Ilai, Nadiya Nisa dan Mislina.
"Selain mengekalkan pelakon asal, Luna Latisya Muzikal juga akan membariskan nama-nama lain bagi memeriahkan pementasan itu nanti," katanya.
Dalam pada itu, Osman berkata, dia menukar tajuk asal filem itu kepada 'Luna Latisya' adalah kerana ingin memberi fokus kepada watak Maya Karin di dalam pementasan itu nanti.
Osman berkata, pihaknya juga akan memasukkan pelbagai elemen berbeza bagi memberikan kelainan selain seleksi lagu yang dibuat secara berhati-hati.
"InsyaAllah kepada yang sudah menonton filem Cun akan menyukai pementasan ini yang dijamin akan memberikan kelainan kepada penonton," katanya.
Sementara itu, Osman berkata, dia mungkin akan bekerjasama dengan pengarah teater lain untuk merialisasikan pementasan itu.
Kata Osman, dia memerlukan bantuan daripada pengarah lain kerana tidak pernah mengarahkan teater dan Luna Latisya The Musical adalah yang pertama buatnya.
"Saya tidak mahu terlalu yakin yang akhirnya akan memakan diri sendiri. Sebab itu saya ingin mendapatkan kerjasama pengarah teater yang telah berpengalaman bagi menjayakan teater itu," ujarnya.
Tambah Osman, dia berhasrat untuk mendapatkan khidmat Normah Nordin atau Zizie Zulkifli bagi menjayakan pementasan itu nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: