HanoiDestinasi pertama singgahan kami adalah Hanoi, bandar motosikal bertali arus di jalan yang sempit terutama di kawasan Old Quarter.
Bunyi hon tanpa henti dan deruman enjin menghidupkan suasana seolah-olah seluruh bandar sedang berpesta. Tetapi jangan takut untuk melintas kerana para pemandunya sedia memberi laluan.
Old Quarter adalah penempatan lama yang wujud sejak 1,000 tahun lalu. Tidak jemu meronda kawasan ini melihat warganya bergelut untuk hidup. Penjaja, penarik beca dan pembonceng motosikal sewa mengintai-intai pelanggan terutama dalam kalangan pelancong asing.
Antara tempat menarik yang sempat dilawati Makam Ho Chi Minh dan muziumnya, Temple Of Literature (Van Mieu), Menara Bendera, Muzium Penjara Hoa Lo, Tasik Hon Kiem, Tasik West (Barat), Pasar Cho Dong Xuan dan Masjid Al-Nour, satu-satunya di Hanoi.
Pengalaman menarik di bandar ini, kami membonceng motosikal dengan bayaran AS$14 (kira-kira RM43) seorang. Sungguh teruja menyertai jutaan motosikal lain bersimpang-siur di sekitar bandar itu.
Jika sudah di Hanoi, Teluk Ha Long yang terletak di wilayah Quang Ninh, tiga jam dengan bas adalah tempat yang perlu dilawati.
Keindahan panaromanya sungguh mempersonakan dikelilingi puluhan gunung batu kapur pelbagai saiz dan bentuk berusia ribuan tahun, tercacak seperti pengawal menjaga teluk ini, yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia. Lawatan sehari suntuk itu bayarannya hanya AS$20 seorang.
Nanning Kami tinggalkan Hanoi dengan kereta api malam - tepat pukul 9.40 malam dari stesen Gia Lam dan tiba di Nanning kira-kira pukul 10 pagi.
Kami mengambil koc soft sleeper dengan bayaran AS$40. Dalam perjalanan, saya berkenalan dengan Synat, siswa Kemboja yang menuntut di Universiti Nanning dan sangat mengagumi kemajuan Malaysia.
Nanning adalah ibu kota bagi wilayah Guangxi. Terletak di hujung selatan China, 160 kilometer (km) dari sempadan Vietnam. Semasa perang Vietnam sekitar 1960-an, ia menjadi pangkalan penghantaran senjata China kepada pejuang-pejuang Vietnam.
Selama 10 jam berada di sana, kami sempat melawat Taman Rakyat (People's Park) di tengah bandar dan Guangxi Museum of Nationalities yang mempamerkan kebudayaan dan adat resam kaum minoriti di Guangxi iaitu etnik Zhuang, Miao, Yao dan Shi.
Pada pukul 11.30 malam dari stesen bas Langdong kami bertolak ke Guillin dan tiba kira-kira pukul 4 pagi.
GuillinSejurus tiba, kami diserbu oleh empat perempuan China separuh umur. Selepas berkomunikasi beberapa minit dengan bahasa isyarat, kami baru sedar rupa-rupanya mereka 'ulat' rumah tumpangan. Tawaran mereka kami tolak kerana penginapan di Guilin Oasis Inn ditempah di tanah air lagi.
Guilin yang terletak 400 km ke utara Nanning, cukup dingin dengan suhu 16 darjah Celsius. Justeru acara pertama adalah membeli baju sejuk untuk menghangatkan badan sambil berjalan-jalan mencari restoran halal. Seterusnya, kami menyusuri Central Square dan South City Gate di jalan Ronghu Beil, sambil melihat wajah kota dengan 1.5 juta penghuni itu. Sebelah malamnya pula menjamu mata di pasar tidak jauh dari hotel.
Tarikan utama Guillin adalah belayar menyelusuri Sungai Li. Dengan 150 yen seorang, kami menikmati pakej lawatan bersama pelancong tempatan. Esoknya, pagi-pagi lagi kami bertolak dengan bas ke pekan Yangshuo, 65 km dari Guilin.
Pelayaran dari jeti Yangshuo mengambil masa kira-kira dua jam. Air Sungai Li jernih membiru. Deretan rimbunan buluh menghiasi kedua-dua tebingnya dilatari bukit kecil batu kapur berbentuk piramid.
Terlihat perempuan desa sedang membasuh baju di tebing berlatarkan panaroma mengasyikkan. Tidak hairanlah Guilin digelar taman syurga dunia.
Kami tinggalkan stesen bas Guilin pada pukul 9 pagi dan tiba di Guangzhou pada pukul 5 petang. Perjalanan melalui 12 terowong merentasi bukit-bukau. Selepas lima jam, bas berhenti rehat untuk makan tengahari. Rakan kembara meluru ke tandas lalu tergamam melihat 'bilik kecil' tanpa pintu dan beberapa orang selamba melepaskan hajat. Pelik tetapi benar.
GuangzhouGuangzhou - bandar ketiga terbesar di China dihuni kira-kira tujuh juta orang. Jika di Hanoi, jutaan motosikal merajai jalan, di sini penggunaannya diharamkan. Kami ke tempat-tempat menarik dan pusat beli-belah dengan kereta api bawah tanah sepenuhnya.
Antara tarikan, Yuexie Park di Bukit Guanyin di utara bandar - taman yang dibina pada 1950 dilengkapi dewan pameran, stadium, kolam renang, tasik dan muzium sejarah Guangdong. Ikon Guangzhou iaitu lima ekor kambing gurun juga ada di sini.
Kami sempat solat Zuhur berjemaah di masjid Huaishengsi Guangta, masjid pertama dibina di China lebih 1300 tahun oleh Saad Bin Abi Waqqas.. Ia dilindungi sebagai Warisan Sejarah Negara Guangzhou.
Sebagai pusat perkilangan dan komersial utama di China, terdapat banyak gedung borong seperti pasar kasut, kain, barang elektrik, barangan kulit, komputer dan permainan kanak-kanak di sini. Pasar malam di jalan Beijing Lu sungguh meriah dan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Dari Guangzhou, kami ke Shenzhen dengan kereta api laju. Perjalanan sejauh 147 km hanya sejam 20 minit dengan tambang 100 yen. Jika 30 tahun lalu sebuah kampung nelayan, ia kini bandar baru dan moden. Selepas diisytiharkan Zon Khas Ekonomi (SEZ) pada 1980, perkembangannya sangat pesat dipenuhi bangunan pencakar langit.
Shenzhen
Ikon pelancongan Shenzhen adalah Window of the World - taman replika tempat atau bangunan terkenal dari seluruh dunia antaranya Piramid, Angkor Wat, Eiffel Tower, Taj Mahal, Menara Condong Pisa dan Air Terjun Niagara. Untuk melihat dunia dalam masa satu hari datanglah ke Shenzhen.
Peminat gajet elektronik boleh ke Huanqing Electronics World. Gedung lima tingkat ini penuh dengan barangan elektronik pelbagai jenis dan jenama.
Siri jelajah enam kota kami berakhir di Hong Kong - hanya 55 minit perjalanan dengan kereta api laju dari Shenzen. Kota metropolitan yang dihuni kira-kira tujuh juta penduduk ini pusat perdagangan dan kewangan utama dunia.
Hong KongChungking Mansions setinggi 17 tingkat yang terletak di daerah Kowloon menjadi tempat penginapan kami. Kebanyakan pengembara bajet berlabuh di sini kerana banyak hotel murah selain terdapat restoran halal orang India dan Pakistan. Masjid Kowloon juga tidak jauh dari tempat penginapan kami.
Tempat menarik yang wajib dilawati tentulah Disneyland yang terletak di Pulau Lantau.
Sebelah malamnya, kami menaiki bas dua tingkat berbumbung terbuka untuk menikmati keindahan Hong Kong. Pada hari kedua, naik pula Tram ke Puncak Victoria setinggi 396 meter dari aras laut. Sayangnya kabus menghalang kamui melihat panaroma bandar Hong Kong.
Pasar malam di Temple Street menjadi destinasi terakhir kami di Hong Kong sebelum berangkat pulang esoknya.
Kami kembali ke tanah air dengan hati puas kerana mengutip banyak pengalaman dengan hanya bermodalkan RM2,421.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: