Sage merupakan sebuah program dimana artis terpilih bakal meluangkan masa selama tiga bulan di tiga bandar berbeza iaitu Kuala Lumpur, Yogyjakarta dan Manila dengan dipenuhi pelbagai aktiviti kesenian termasuk melawat studio artis tempatan, komuniti seni, galeri dan institusi kesenian.
Selain diberi peluang untuk mempamerkan karya dalam pameran 'ARTriangle' bermula 21 April hingga 5 Mei 2012 menampilkan pelbagai karya berbeza dalam satu ruangan seni, program residensi unik ini turut membolehkan artis-artis dari Asia Tenggara bertemu dan bekerjasama bagi meningkatkan mutu penghasilan karya seni dari wilayah itu.
Program Sage memilih para artis yang memiliki sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman dalam bidang seni visual untuk mengukuhkan hubungan serantau, serta mewujudkan satu pemahaman lebih baik terhadap persekitaran negara jiran.
Pada tahun ini, Sage menampilkan enam artis kontemporari iaitu Azam Aris dan Wong Chee Meng (Malaysia), Andi Ramdani dan Iqro Ahmad Laili Subkhi (Indonesia) serta Amer Abdullatif O. Mira dan Carlo A. Gernale (Filipina).
Kerjasama dalam satu ruangan
Pengarah HOM, Bayu Utomo Radjikin berkata, program ini bertujuan untuk memupuk dan mengukuhkan hubungan serantau selain mewujudkan satu rangkaian pemahaman lebih baik terhadap dunia seni.
"Sage bukan sahaja menggalakkan dialog-dialog fizikal, tetapi juga menggalakkan pertukaran visual, ketika artis-artis dari tiga negara bermeditasi untuk bertukar budaya dalam bahasa visual pada karya mereka.
"Artis-artis ini pada dasarnya berkongsi satu ruang studio dan ia satu cara yang hebat untuk menyuntik keghairahan dan ketegangan ketika berada dalam studio yang biasanya mereka bersendirian.
"Mereka bukan sahaja berpeluang untuk meluaskan pengetahuan seni kontemporari dari Asia Tenggara tetapi juga secara tidak langsung membolehkan mereka mencari inspirasi baru dalam kerja-kerja mereka," jelas Bayu.
Menurutnya, Sage merupakan sebuah program yang sempurna kepada pelukis muda yang berkebolehan untuk mengembangkan lagi bakat yang ada pada mereka.
"Artis terpilih berpeluang untuk belajar unsur-unsur budaya baru ke dalam amalan kehidupan masing-masing dimana mereka bakal didedahkan dengan kehidupan berada dalam satu residensi yang bakal membawa perubahan kerjaya seorang artis.
"Mereka juga berpeluang bekerja tanpa sebarang gangguan untuk satu tempoh masa yang khusus selain melihat perubahan yang terdapat di sekitar mereka manakala bagi peminat seni pula berpeluang melihat perubahan menarik dalam karya-karya mereka," katanya.
Selepas Kuala Lumpur, Sage akan menjelajah ke Yogyjakarta dan Manila pada Julai dan November akan datang.
Sebagai wakil dari Malaysia, Azam Aris yang pernah menerima anugerah Bakat Muda Sezaman dari Balai Seni Visual Negara (BSVN) berbangga diberi peluang menyertai program residensi Sage.
"Program ini memberikan satu pengalaman baru kepada saya untuk bertukar-tukar pendapat dengan rakan artis dari negara yang berbeza dalam satu ruangan yang sama.
"Sage bukan sekadar memberi peluang untuk bekerjasama tetapi juga lebih kepada friendly match," jelasnya.
Azam Aris berkata, sepanjang berada di HOM beliau sempat menghasilkan beberapa karya berdasarkan pengamatan terhadap situasi metorologi budaya dan sosial yang terdapat di Malaysia.
"Saya berharap agar program ini dijadikan ikutan kepada para artis lain. Biarpun mereka masih bereksperimentasi tetapi dengan menyertai program seperti ini mampu meningkatkan kebolehan mereka," ujarnya.
Wakil dari Indonesia yang pernah menerima pelbagai sanjungan untuk kerjanya termasuk pencalonan Indonesian Art Award 2010, Iqro Ahmad berkata, program ini membolehkan beliau berkarya tanpa sempadan.
"Saya bebas menghasilkan apa jua karya yang dibayangi dalam imaginasi saya. Setiap karya yang dihasilkan tidak terbatas.
"Sebelum saya menyertai program seperti ini saya aktif menghasilkan karya-karya seni visual sekitar Indonesia seperti di Yogyjakarta, Bali dan Bandung.
"Oleh itu, peluang yang diberikan ini membolehkan saya memperkenalkan hasil tangan ke tiga negara berbeza untuk dihayati peminat seni," jelasnya.
Andi Ramdani yang dilahirkan di Tasik Malaya, Jawa Barat pula berkata, beliau bertuah dipilih untuk bersama-sama terlibat dalam program tersebut.
Ramdani terkenal dengan karya berdasarkan figura buluh dan pernah menyertai pameran Seven Continens di Toronto, Kanada sebelum ini.
"Buluh menggambarkan Asia kerana tumbuhan ini banyak tumbuh di Asia Tenggara. Sebab itu dalam pameran residensi ini saya mengetengahkan karya menggunakan gambaran buluh yang diimaginasikan dari arang buluh.
"Arang buluh mempunyai kekuatan disebalik kekurangan. Biarpun ia telah padam tetapi kekuatan masih tersimpan padanya dan berharap agar karya ini mampu memberikan kepuasan tak terhingga dalam bentuk artistik," katanya.
Tambah wakil dari Filipina, Carlo A. Gernale yang merupakan finalis peserta akhir Metro Bank Foundation National Painting Competition 2011 dan juga merupakan seniman yang tinggal di kediaman rasmi Project Space Pilipinas di Bandar Mandaluyong, Filipina.
Carlo juga merupakan seorang artis kolektif teoretis yang sering menyentuh peranan budaya dalam seni tampak gembira dipilih menyertai program Sage.
"Saya menghasilkan kerja seni menggunakan konsep semburan cat angin (airbrush) dalam karya berbentuk imaginasi yang menyentuh mengenai isu-isu yang terdapat disekitar kita diatas kanvas.
"Saya rasa lebih bebas hasilkan karya yang boleh dijadikan dokumentasi dengan cara olahan lebih kreatif," ujarnya.
Amer Abdullatif O. Mira pula berkata, hasil tangannya dihasilkan dari cerita yang dimanipulasikan kepada sebuah karya seperti gambaran rekaan grafik.
"Saya bermula dari pereka grafik tetapi kerja tersebut tidak memberikan kepuasan dan kini saya beralih kepada penghasilan karya visual yang lebih memberikan kepuasan kepada diri saya sendiri.
"Kebanyakan karya saya berkisahkan mengenai paparan cerita-cerita yang berlaku dalam kehidupan masyarakat.
"Isu-isu seperti ini menarik untuk dihayati bersama peminat seni dari negara yang berbeza," jelasnya.
Bagi mereka yang berminat untuk melihat hasil pameran 'ARTriangle' Sage bolehlah mengunjungi Galeri HOM yang dibuka Isnin hingga Jumaat (11 pagi hingga 6 petang) dan Sabtu (1 hingga 6 petang).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: