SUASANA malam di Batu Ferringhi, Pulau Pinang cukup indah. Gemerlapan lampu dari hotel-hotel dan deretan kedai di sepanjang pantai menjadikan tempat tersebut suatu destinasi menarik untuk dikunjungi.
Selain itu pasar malam yang diadakan setiap malam juga dianggap sebagai destinasi wajib kepada pelancong tempatan dan asing yang berkunjung ke Pulau Mutiara.
Terdapat lebih 300gerai di sepanjang jalan sejauh kira-kira 400 meter yang menjual pelbagai cenderamata, pakaian, kain batik dan lukisan dengan harga murah.
Semasa tinjauan S2 di situ, kelihatan ramai pelancong asing dari Arab Saudi, Australia, England dan Indonesia bertali arus 'memburu' sambil tawar menawar harga cenderamata untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.
Bukan setakat membeli-belah, mereka juga menjamu selera di restoran-restoran yang menghidangkan pelbagai menu makanan Barat dan Timur.
Pengunjung yang penat selepas berjalan pula boleh melepaskan lelah dengan mendapatkan perkhidmatan mengurut kaki di situ.
Peniaga cenderamata, Joey Ho, 28, berkata, pelancong suka datang ke situ kerana ia merupakan satu-satunya tempat di negeri ini yang menjual pelbagai jenis cenderamata dalam satu lokasi.
"Mereka tidak payah susah-susah untuk pergi ke banyak tempat bagi mendapatkan barangan yang mereka inginkan," katanya.
Seorang lagi peniaga, Azahari Saad, 31, memberitahu, meskipun baru dua bulan menjalankan perniagaan, sambutan yang diterima daripada para pengunjung cukup baik.
Dia yang membuka gerai pameran haiwan eksotik menjelaskan, ramai pelancong suka ke situ kerana suasana dan produk yang ada cukup unik serta menarik.
"Walaupun baharu dua bulan beroperasi, saya mampu memperoleh pendapatan empat angka," katanya.
Sementara itu, pelancong tempatan, Zamri Ahmad, 34, menjelaskan,dia suka membawa isteri dan empat anaknya ke pasar malam Batu Ferringhi untuk membeli-belah.
Dia yang datang dari Perak berkata, barangan di situ boleh ditawar dan jika kena pada caranya, ia boleh dibeli pada harga cukup murah.
"Kualiti barang pula sama seperti yang dijual di kompleks beli-belah malah ada yang jauh lebih baik," ujarnya.
Selain itu, tambah Zamri, isteri serta anak-anaknya suka dengan suasana ceria di situ.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: