Monday, April 30, 2012

Kurang wanita punca skandal seks ejen rahsia AS


GAMBAR pada 3 Mei 2007 menunjukkan seorang ejen Perkhidmatan Rahsia wanita memperkenalkan diri kepada anggota polis di luar kediaman Senator Barack Obama di Chicago, Amerika Syarikat.


WASHINGTON - Skandal seks yang melanda Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mendedahkan bahawa pasukan pengawal peribadi Presiden Barack Obama itu tidak mempunyai ramai ejen wanita.

Insiden memalukan itu menjadi petanda bahawa usaha perlu dilakukan bagi mengurangkan perbezaan gender yang kini ketara dalam agensi berkenaan.

"Saya berpendapat akan ada kemajuan sekiranya lebih ramai ejen wanita diambil berkhidmat dalam agensi ini," kata ahli Jawatankuasa Pemantau dan Penambahbaikan Kerajaan daripada Parti Republikan, Carolyn Maloney.

"Ia akan membawa kepada rasa lebih bertanggungjawab dalam kalangan anggota Perkhidmatan Rahsia," tambahnya.

Wanita mewakili 25 peratus dalam tenaga kerja agensi berkenaan dengan hanya 11 peratus daripada mereka terdiri daripada ejen dan pegawai beruniform, jelas jurucakapnya, Ed Donovan.

Angka itu adalah rendah berbanding 19 peratus ejen khas wanita dalam Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Namun, ia lebih ramai daripada ejen khas wanita yang bertugas di Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS.

"Kami memang mahu merekrut lebih ramai pegawai wanita dalam Perkhidmatan Rahsia AS," kata Donovan. Malah, agensi terbabit secara agresif merekrut dan cuba mendapatkan pegawai wanita dengan cara menyertai pameran kerjaya dan menghantar brosur ke kolej-kolej di AS.

Beberapa ejen Perkhidmatan Rahsia yang tiba di Cartagena untuk melindungi Presiden Barack Obama pada Sidang Kemuncak Negara-Negara Amerika di Cartagena, Colombia 20 April lalu terpaksa dihantar pulang selepas mereka dilaporkan melanggan sekitar 21 orang pelacur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: