|
|
PENYANYI berketurunan Cina yang popular menerusi lagu Kau Ada Di Mana, Winnie K merupakan antara penyanyi tempatan yang pernah mencuba nasib untuk mengembangkan karier nyanyian di Indonesia pada tahun 2008.
Selepas empat tahun berlalu, Winnie yang ditemui semasa majlis Selebriti Sokongan Riben Merah 2012 anjuran Majlis AIDS Malaysia (MAM) yang bertempat di Restoran Ecoba, Petaling Jaya pada minggu lalu memberitahu, kini dia masih berulang-alik ke negara tersebut setelah kehadirannya diterima ramai.
Bagaimanapun, ketika hadir pada majlis tersebut, seolah-olah terdapat perubahan pada penampilan dirinya dengan memiliki tubuh yang semakin kurus serta wajahnya yang kelihatan lebih cantik dan berseri-seri.
Menurut Winnie, meskipun ramai pihak yang memberikan pujian terhadap penampilannya itu, tetapi dia membuat pengakuan untuk melakukan sesuatu pada wajahnya itu.
Kosmo!: Adakah Winnie mengamalkan petua-petua tertentu sehingga kelihatan lebih menarik sekarang?
WINNIE K: Sebenarnya saya tidak melakukan sebarang petua rahsia, sebaliknya saya lebih kerap melakukan senaman dan akan ke gimnasium sebanyak lima kali seminggu. Bagi saya, sebagai seorang artis, penampilan diri sentiasa dijaga dan kita perlulah kelihatan cantik selalu.
Adakah Winnie telah melakukan sesuatu terhadap wajah?
Setakat ini saya tidak pernah melakukan sebarang pembedahan terhadap wajah, sebaliknya saya lebih banyak mengambil makanan tambahan. Namun, saya juga memang bercadang untuk membuat suntikan botox.
Apakah yang membuatkan Winnie mahu mendapatkan suntikan botox?
Selain menyanyi, saya juga sering kali menjadi pengacara dan wajah saya kerap keluar di televisyen. Apabila saya lihat wajah sendiri di kaca televisyen, ia kelihatan agak besar terutama pada bahagian pipi.
Kemudian saya bercadang untuk melakukan suntikan botox pada bahagian tersebut setelah disarankan beberapa orang rakan. Saya rasa itu bukan satu perbuatan yang salah, sekiranya ia mendatangkan kebaikan kepada diri saya sendiri.
Selain suntikan botox, apa lagi yang ingin Winnie lakukan terhadap wajah?
Pada masa terdekat ini mungkin saya akan melakukan pembedahan pada bahagian hidung pula. Namun, ia bukan atas sebab kecantikan. Sebenarnya hidung saya telah mengalami kecederaan apabila terjatuh semasa sedang melakukan latihan sebelum mengacarakan sebuah majlis korporat baru-baru ini.
Selepas kejadian tersebut pada masa-masa tertentu saya akan berhadapan dengan masalah pernafasan. Apabila membuat pemeriksaan doktor menasihatkan saya supaya menjalani pembedahan bagi mengelakkan kecederaan hidung saya bertambah parah.
Bagaimana pula dengan perjalanan karier nyanyian Winnie?
Pada tahun 2012 saya sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan album Melayu kedua selepas Kau Ada Di Mana yang diterbitkan empat tahun lalu. Lagipun sudah ramai peminat yang bertanyakan tentang bila saya akan menghasilkan album baharu.
Buat masa ini saya masih lagi sedang mencari lagu-lagu yang sesuai dan mungkin ada beberapa lagu yang akan diberikan oleh komposer luar. Misalnya, saya berkawan baik dengan gitaris kumpulan Ungu iaitu Onci dan dia ada meluahkan hasrat untuk memberikan lagu ciptaannya kepada saya.
Apakah aktiviti yang Winnie lakukan selain menyanyi?
Sebenarnya saya mendapat tawaran untuk menjadi pengacara di majlis-majlis korporat. Pada bulan lalu saya telah ke China setelah ditawarkan menjadi hos untuk sebuah program televisyen di sana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: