Friday, April 6, 2012

Rekaan tepati kehendak syariah



MENGENALI peribadi usahawan wanita pemilik Butik Women 2 Women (W2W), Yasmin Sidek, banyak perkara menarik yang dikongsi bersama terutama mengenai konsep sebenar busana muslimah.

Wanita berusia 50 tahun ini ternyata mempunyai matlamat yang tersendiri apabila berniat melibatkan diri dalam dunia perniagaan sejak tahun 1992 melalui pengeluaran pakaian muslim dengan jenama LeCouture Musulman yang bermaksud Muslim dalam bahasa Inggeris kuno.

Menurut Yasmin dalam menghasilkan sesuatu rekaan, dia berpegang teguh kepada falsafah Islam itu indah bila berpakaian dan setiap rekaan dipenuhi unsur-unsur kesederhanaan, bukan keterlaluan.

“Sebagai umat Islam, kita semua sedia maklum bahawa agama telah menggariskan panduan paling sempurna tentang batas-batas aurat bagi setiap lelaki dan wanita yang wajib ditaati.

“Secara jujurnya, saya sentiasa memastikan bahawa apa sahaja koleksi busana atau rekaan yang dihasilkan oleh butik W2W menepati kehendak syariah terutama menutup aurat dalam erti kata sebenar.


SELAIN pakaian, Butik W2W juga mempunyai koleksi tudung bawal ekslusif sulaman tangan.


“Namun, ia bukan menghalang kami menyediakan rekaan yang mengikut trend dan menepati cita rasa wanita muslimah yang mahu tampil anggun tetapi sopan,” ujar Yasmin ketika ditemui Kosmo! di butiknya yang terletak di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Trend pakaian

Bagaimanapun, apabila menyentuh tentang gaya fesyen wanita moden masa kini, Yasmin secara peribadi turut melahirkan rasa kecewa dan terkilan apabila melihat trend pemakaian mereka.

Jelasnya, rata-rata wanita Islam memandang remeh perkara melibatkan pemakaian menutup aurat yang menepati kehendak syariah.

“Maaf jika pandangan saya kurang digemari, tetapi itulah hakikatnya. Ada yang memakai tudung tetapi pakaian yang tersarung di badan terlalu ketat hingga menampakkan susuk tubuh. Ada yang elok memakai baju labuh, namun ia dipadankan pula dengan seluar ketat atau legging yang semakin popular ketika ini.

“Bahkan, ada juga yang hanya memakai t-shirt lengan pendek tetapi pada masa yang sama mengenakan tudung. Semua ini ternyata bukan konsep menutup aurat yang menepati kehendak syariah. Secara tidak langsung, ia boleh membuatkan penganut agama lain salah faham tentang istilah menutup aurat yang dituntut dalam Islam,” luah wanita ini panjang lebar.


YASMIN mahu mendidik masyarakat supaya memahami konsep menutup aurat dalam erti kata sebenar.


Beroperasi di Seksyen 9, Shah Alam, Butik W2W menawarkan pelbagai koleksi rekaan yang terdiri daripada sut korporat untuk ke pejabat, kasual serta pakaian sukan untuk wanita.

Bagi sut korporat, koleksi tersebut menawarkan pilihan warna seperti hitam, kelabu, putih, biru dan merah jambu. Ia juga direka berkonsepkan dres wanita Muslim Eropah yang longgar dan labuh.

Tambah Yasmin, ketinggian tekstil Islam perlu dijaga dalam semua aspek termasuklah kejarangan fabrik, corak, warna dan rekaan sesuatu pakaian. Sehubungan itu, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menghasilkan rekaan yang mengambil kira aspek-aspek tersebut.

“Sebagai wanita muslim, kita wajib menjaga sahsiah diri. Justeru, biarlah cara kita berpakaian dikagumi dan dihormati setiap yang memandang.

“Apa yang lebih penting, setiap pereka perlu ingat bahawa rekaan busana muslimah harus berpaksikan pada agama, bukan pada kemasyhuran semata-mata kerana Islam tidak pernah meletakkan godaan dalam berpakaian,” luah Yasmin dengan matlamat untuk mendidik generasi muda supaya memahami istilah menutup aurat dalam erti kata yang sebenarnya.


KOLEKSI beg tangan menarik turut dipamerkan di satu sudut Butik W2W untuk dijual.


Tegas Yasmin, falsafah berpakaian sebagai wanita Islam meletakkan keindahan pakaian bukan dilihat pada ukuran bentuk badan tetapi pada fabrik, rekaan serta hasil kerja tangan yang halus seperti sulaman dan jahitan.

“Dalam menghasilkan sesuatu rekaan, saya akan pastikan falsafah Islam seperti tidak membazir dan berjimat dipatuhi kerana mengikut sunah Rasulullah SAW. Ia juga secara tidak langsung menerapkan konsep zuhud dan mentarbiahkan diri bahawa walaupun betapa hebatnya kita dengan pakaian yang dimiliki, tetapi kita tetap kerdil di sisi Allah SWT,” ungkapnya penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: