Friday, April 6, 2012

Masa depan pelancongan samar



PERTAMA kali menjejak kaki ke Hatyai, Thailand pada tahun 2009, Randy Anak Daraman mahu melihat dengan mata sendiri keunikan bandar itu. Dengan tambang van berharga RM70, perjalanan sejauh 284 kilometer dari Komtar, Pulau Pinang bagai tidak terasa.

Perkara pertama yang bermain dalam mindanya sebaik menjejak kaki di Hatyai ialah bandar tersebut tidak begitu menarik seperti yang dikatakan.

Bangunan yang lusuh dibina rapat antara satu sama lain dengan kepadatan penduduk yang tinggi. Menurut mereka yang kerap ke sana, itu adalah pemandangan biasa bandar-bandar Thailand dengan kabel berselirat pada tiang elektrik.

Berbanding Jogjakarta, di Indonesia yang terkenal dengan Candi Prambanan dan Borobodur manakala di Angkor Wat di Kemboja, tiada tempat-tempat menarik atau kesan arkeologi yang boleh dinikmati di Hatyai.

Tetapi banyak aktiviti pelancongan yang boleh dilakukan seperti membeli-belah terutama di pusat bandar yang menempatkan hotel bertaraf lima bintang, Hotel Plaza Lee Garden.

"Barang jualan seperti seluar jean cetak rompak berkualiti gred A boleh dibeli pada harga lebih kurang RM50 berbanding di Kuala Lumpur yang mencecah RM190 sehelai.

"Baju T pula boleh didapati pada harga RM5 selepas proses tawar-menawar," kata lelaki yang berumur 24 tahun itu.

Berhadapan Hotel Plaza Lee Garden, terdapat sebuah kompleks beli-belah yang memiliki sebuah aras menempatkan penjaja barang-barang kraf tangan.

Makanan juga bukan satu masalah bagi pengunjung Malaysia yang beragama Islam kerana terdapat banyak restoran menjual makanan halal malah, gerai-gerai di bahu jalan tidak perlu diragui statusnya.

Bahasa pertuturan yang digunakan oleh rata-rata peniaga mudah difahami kerana mereka menggunakan bahasa Melayu dialek Kelantan dengan intonasi Thailand.

Paling menarik, kata Randy, makanan signatur Thailand, pulut mangga boleh dibeli pada harga murah iaitu RM2 semangkuk dan rasanya lebih sedap. Barangkali, kelainannya terletak pada jenis pulut yang digunakan.

"Selain pelancong mat saleh, ramai rakyat Malaysia dan Singapura melancong ke sana. Kadang-kadang terdengar perbualan dalam bahasa Melayu ketika bersiar-siar di kompleks beli-belah," ujar Randy menceritakan pengalamannya ke Hatyai.

Hujung minggu lalu, dunia dikejutkan dengan berita pengeboman di tempat yang menjadi tumpuan para pelancong yang pernah dilawati Randy iaitu Hotel Plaza Lee Garden dan kawasan beli-belah sekitarnya.

Siri serangan

Menurut ketua polis daerah, Kolonial Kritsada Kaewchandee, bom pertama meledak selepas sebuah trak pikap yang diletakkan bahan letupan meletup di kawasan yang sibuk dengan restoran dan pusat beli-belah di bandar Yala.

Selang 20 minit kemudian ketika orang ramai berkumpul di tempat kejadian, berlaku satu lagi letupan daripada sebuah kereta berdekatan hotel mengakibatkan tiga orang terkorban dan 230 orang cedera.

"Serangan kali ini adalah yang paling teruk dalam masa beberapa tahun kebelakangan. Pemberontak yang disyaki menyasarkan nyawa manusia.

"Mereka memilih kawasan komersial yang sibuk," kata jurucakap agensi keselamatan serantau, Kolonial Pramote Promin.

Dalam kejadian terbaharu itu, seramai 14 orang terbunuh dan mencederakan 340 orang. Sejak pemberontakan selatan Thailand tercetus pada Januari 2004, lebih kurang 5,000 orang telah terbunuh di tiga wilayah selatan Thai iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala.

Kebanyakan serangan adalah dalam bentuk pengeboman berskala kecil atau tembakan yang menyasarkan kepada askar, polis atau individu yang mewakili pihak berkuasa.


SEBANYAK tiga siri serangan bom berlaku di selatan Thailand pada hujung minggu lalu.


Menurut Ketua Polis daerah Songkhla, Leftenan Jeneral Jakthip Chaijinda, insiden yang berlaku di Hatyai mempunyai kaitan dengan apa yang berlaku di Yala.

Pihak berkuasa tidak menolak terdapat kebarangkalian kedua-dua kejadian dirancang oleh kumpulan pemberontak yang sama.

Letupan kecil

Hotel Plaza Lee Garden yang menjadi tumpuan pelancong asing itu bukan kali pertama menjadi sasaran pengebom, seramai empat orang termasuk seorang berbangsa Kanada terbunuh dalam enam letupan berbeza yang dipasang pada bahu jalan pada tahun 2006.

Serangan bom pada hari Sabtu itu dikejutkan sekali lagi apabila sebuah letupan berlaku di balai polis tempatan di Pattani, daerah Mae Lan dan mencederakan seorang pegawai polis.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis, Kolonial Tharet Kaewla-eiad, mereka yang disyaki terlibat telah meletakkan sebuah motosikal mengandungi bahan letupan di kawasan lebih kurang 50 meter daripada tempat kejadian.

Susulan darpada kejadian tersebut, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra mengarahkan polis dan tentera meningkatkan langkah-langkah keselamatan di Hatyai terutama apabila Festival Songkran bakal diadakan pada antara 11 hingga 13 April ini.

Bidang pelancongan amat penting dalam menjana ekonomi Thailand. Tidak mungkin pihak kerajaan akan memanjangkan tempoh situasi kecemasan di ketiga-tiga wilayah selatan.

Sebelum ini, dalam kenyataan Pengerusi Kesatuan Perniagaan Pelancongan Songkhla, Surapol Kampalanonwat, dia menjangkakan sebanyak Baht120 juta (RM11.83 juta) transaksi wang akan berlaku sepanjang musim cuti kali ini.

Pihaknya turut menjangkakan festival sempena kedatangan tahun baru Thai kali ini dapat menarik pelancong seramai 25,000 orang, lebih ramai berbanding tahun lalu.


KEDUDUKAN Hatyai yang dekat dengan Malaysia dan menawarkan hiburan murah mendorong rakyat negara ini ke sana.


Dalam laporan media tempatan, The Nation, Perbadanan Pelancongan Thailand (TAT) mengakui kejadian yang berlaku itu akan memberi sentimen buruk kepada pelancong dalam tempoh singkat.

Namun, TAT turut membuat jangkaan ia tidak akan mengancam industri itu dalam jangka masa panjang dan seterusnya mengekalkan status sebagai peneraju destinasi pelancongan yang telah menarik lebih kurang 20 juta orang pelancong asing pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah TAT, Arnupap Gaesornsuwan dipetik sebagai berkata, jika tiada sebarang ulangan keganasan yang sama berlaku pada hujung minggu lalu, dia percaya tidak ada impak pada acara Songkran nanti.

Pandangan positif itu termasuklah dengan bilangan kemasukan pelancong asing kerana keyakinan mereka terhadap Thailand sebagai tempat yang selamat untuk dilawati masih utuh.

Bagaimanapun, organisasi yang mewakili sektor swasta seperti Persekutuan Industri Thai, Lembaga Perdagangan Thailand dan Persatuan Bank-Bank Thai menggesa pihak kerajaan supaya menyelesaikan isu selatan Thailand secepat mungkin kerana kejadian seperti serangan bom boleh mempengaruhi sentimen pelaburan di negara itu.

Ketua Konsultan Dewan Perniagaan Songkhla, Boonchuay Changsirivathana-thamrong berkata, serangan bom pada Sabtu lalu telah memberi kesan buruk pada industri pelancongan di wilayah terbabit.

Ujarnya, sebanyak 60 peratus bilik-bilik penginapan yang ditempah bagi meraikan Festival Songkran telah dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Pada tahun ini dijangka jumlah pelancong asing akan menyusut lebih kurang separuh berbanding tahun lalu terutama dari Malaysia," ujarnya dalam laporan media yang sama.

Bilangan pelancong asing yang memasuki negara tersebut melalui daerah Sadao, Songkhla menurun sebanyak 1,212 orang pada hari Ahad berbanding pada hari sebelumnya iaitu seramai 11,316 orang (pelancong tempatan dan asing),

Pada hari yang sama, seramai 10,104 orang telah melepasi kaunter imigresen dengan hanya 3,978 pelancong asing masuk manakala 4,368 orang keluar.

Dilanda banjir

Salah seorang rakyat Malaysia yang pernah ke Hatyai, Muhammad Zainal Abidin Zainun, 23, berpendapat wilayah itu pasti kembali menjadi tarikan pelancong.

Dia pernah ke sana pada November 2010 iaitu sebaik sahaja bandar pelancongan tersebut mula pulih selepas dilanda banjir.

Suasana bandar tersebut sangat kotor dengan lumpur manakala orang ramai sedang sibuk mengeringkan barang-barang jualan seperti baju dan seluar.

Hampir tiada aktiviti perniagaan dijalankan, tetapi di sebuah bahagian yang terletak jauh sedikit daripada pusat bandar yang menempatkan Hotel Plaza Lee Garden terdapat daerah khas untuk operasi kelab malam.

"Di situ terdapat lebih kurang empat hingga lima buah kelab malam yang besar dibuka dengan tiada sebarang bayaran masuk," katanya kepada Kosmo!

Menurut Muhammad Zainal, kegiatan pelacur di sana sangat terbuka dan murah. Malah, dia turut dipelawa untuk melanggan pelacur ketika menaiki pengangkutan awam, tut-tut oleh pemandunya.

Dia menyifatkan Hatyai adalah lokasi yang tepat untuk merasai suasana kota raya Bangkok seperti menaiki tut-tut dan membeli-belah cuma ia berkeluasan kecil serta dekat dengan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: