Thursday, April 26, 2012

Kitar semula inisiatif Tetra Pak



DENGAN hanya lima saat, anda perlu meleperkan lima kotak pembungkus minuman kosong bagi tujuan kitar semula. Bolehkah anda melakukannya? Jika berjaya anda akan diberi sepasu anak pokok.

Nampak mudah, tetapi percayalah bahawa tiada seorang pengunjung pun berjaya melakukan cabaran tersebut sepanjang tiga hari program yang diberi nama Flip, Flap & Flat for the Forest with Tetra Pak berlangsung bermula 20 hingga 22 April lalu.

Salah seorang pengunjung, Brian Candler, 33, mengakui cabaran itu amat sukar untuk dijayakan. Walaupun ia nampak mudah, tetapi tempoh lima saat yang diberikan tidak mencukupi.

"Saya perlukan lebih banyak masa untuk melakukannya. Cabaran ini memang menarik, tetapi untuk permulaan ia agak mengambil masa. Bagaimanapun, selepas ini saya akan terus mencubanya di rumah," tutur Candler yang hanya berjaya meleperkan dua kotak minuman dalam tempoh 12 saat.

Menetap dan bekerja di ibu negara sejak lima tahun lalu, Candler turut berkongsi pengalaman tentang program kitar semula di Malaysia yang dilihatnya semakin berkembang dari semasa ke semasa.

Sempena Hari Bumi


MESKIPUN kempen mengitar semula kotak minuman dilakukan di Malaysia sejak tujuh tahun lalu, namun kesedaran masyarakat masih rendah.


"Saya rasa rakyat negara ini semakin sedar tentang kepentingan untuk mengitar semula barangan yang telah kita gunakan. Selain itu, saya lihat terdapat banyak pusat pengumpulan kitar semula diwujudkan untuk kemudahan orang ramai

"Apa pun, ini satu program yang bermanfaat untuk masyarakat dan perlu dihargai," ujar lelaki kelahiran Amerika Syarikat itu.

Bertempat di pekarangan zon Rainforest, pusat beli-belah One Utama, Selangor, Tetra Pak buat julung-julung kalinya telah menganjurkan program tanggungjawab korporat sosial (CSR) bagi menyuntik kesedaran mengenai kitar semula pembungkus minuman dalam kalangan masyarakat.

Pengarah Komunikasi dan Alam Sekitar Tetra Pak Malaysia, Singapura dan Filipina, Terrynz Tan berkata, sebenarnya masih ramai yang tidak menyedari bahawa pembungkus minuman di dalam kotak boleh dikitar semula.

"Secara umum, masyarakat hanya tahu barang-barang yang boleh dikitar semula terdiri daripada kertas, kaca atau pun botol plastik. Tetapi mereka tidak tahu bahawa kotak minuman juga boleh dijadikan bahan untuk kitar semula.

"Justeru, kami mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini semata-mata mahu meningkat kesedaran tentang betapa pentingnya kitar semula kotak pembungkus minuman yang digunakan sehari-hari," ujar Terrynz ketika ditemui Kosmo!.

Program pasu angkat


AKSI seorang warga Amerika Syarikat, Brian Candler (berbaju hijau) ketika cuba menyahut cabaran meleperkan kotak minuman dalam tempoh lima saat.


Menurutnya lagi, program yang bertujuan meraikan sambutan Hari Bumi yang disambut pada 22 April setiap tahun itu turut memberi manfaat kepada Persatuan Alam Semula Jadi Malaysia melalui penanaman pokok secara terancang dan sistematik.

Sebagai syarikat pemprosesan makanan dan penyelesaian pembungkusan terkemuka di dunia, Tetra Pak komited untuk mempromosikan budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Paling penting, kami mahu meningkatkan lagi kadar kitar semula kotak minuman di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif untuk kepentingan generasi akan datang," jelas Terrnyz sambil menunjukkan tiga langkah mudah meleperkan kotak minuman yang telah kosong.

Sementara itu, Pengurus Alam Sekitar Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd., Manjula Murugesan memberitahu, terdapat tiga kaedah untuk pengunjung menyertai program pokok pasu angkat yang ditawarkan.

"Pertama mereka perlu berjaya dalam cabaran Flip, Flap & Flat iaitu meleperkan lima kotak minuman Tetra Pak yang kosong dalam tempoh lima saat. Kedua, mereka juga boleh membuat pertukaran untuk mendapatkan sepasu pokok dengan sepuluh kotak minuman yang telah digunakan tanpa mengira jenama atau saiz.

KREATIF dan comel. Antara koleksi kraf yang dihasilkan daripada kotak minuman terbuang.


"Akhir sekali, jika kedua-dua langkah di atas tidak dapat dipenuhi, pengunjung hanya perlu menyumbang RM10 untuk keperluan dana Persatuan Alam Semula Jadi Malaysia dan membawa pulang sebatang pokok untuk ditanam," terang Manjula.

Tambahnya lagi, pengunjung juga akan menerima satu paket minuman UHT percuma dengan setiap batang pokok angkat yang dimiliki di samping mengambil bahagian dalam pelbagai acara menarik yang diadakan sepanjang program tersebut.

"Antaranya, termasuklah mewarna muka dan tangan selain menghasilkan kraf tangan kreatif daripada kotak minuman seperti robot atau apa-apa ciptaan yang diimaginasi sendiri," kata Manjula sambil memberitahu tema program itu ialah Life of a Carton, Tetra Pak Way.

1 comment:

  1. bestnyer....asal...xtau ek?? nk kumpul la kotak tetrapak ni...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: