BEBERAPA bulan lalu, hidupan laut penuh warna-warni menghiasi landskap salah satu daripada taman terumbu karang menakjubkan di Asia. Bagaimanapun, kegiatan nelayan haram yang menggunakan bahan letupan atau sianida untuk membunuh hasil tangkapan di taman berkenaan telah menyebabkan khazanah lautan tersebut berubah sama sekali.
Tapak tersebut merupakan antara beberapa kawasan yang diceroboh di Taman Negara Komodo. Ia merupakan zon rizab seluas 202 hektar di timur Indonesia. Kawasan tersebut cukup terkenal dengan komodo yang merupakan cicak terbesar di dunia.
Selain daripada reptilia itu, kawasan terpencil tersebut juga menempatkan pelbagai spesies dan hidupan laut menarik seperti batu karang yang berwarna merah serta kuning pendarfluor.
Di situ juga menjadi habitat sotong kurita bermata jalur hijau limau dan ular laut hitam serta biru.
Menurut pengusaha aktiviti selam skuba dan ahli pemuliharaan, kerajaan tidak melakukan penguatkuasaan secukupnya untuk membendung aktiviti nelayan haram di sempadan taman negara itu, sedangkan ia diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) .
Mereka berkata, penguatkuasaan merosot dengan mendadak berikutan kumpulan alam sekitar dari Amerika Syarikat (AS) yang membendung amalan perikanan tanpa etika, telah meninggalkan zon itu dua tahun lalu.
Bagaimanapun, pegawai-pegawai tempatan membidas kenyataan tersebut dengan mengatakan terdapat puluhan tangkapan telah dilakukan, malah berdepan beberapa insiden tembak-menembak dengan suspek sehingga maut.
Nelayan haram
Seorang jurulatih skuba dan jurugambar dalam air profesional yang telah melakukan beratus-ratus lawatan ke kawasan itu, Michael Ishak, berkata, dia melihat lebih banyak nelayan haram pada tahun ini berbanding tahun-tahun lalu.
Pada bulan lalu, dia telah kembali ke salah satu kawasan yang digemarinya iaitu Tatawa Besar yang terkenal dengan panorama warna-warni ikan kepala batu, ikan basslet dan penyu.
Michael terkejut apabila mendapati kira-kira 500 meter persegi kawasan terumbu telah tercemar.
"Pada mulanya saya terfikir, tidak mungkin perkara itu terjadi dan menyangka telah menyelam di lokasi yang salah. Bagaimanapun, ia merupakan lokasi yang sama. Semua terumbu karang keras telah diletupkan malah diterbalikkan tetapi ada yang masih hidup. Saya tidak pernah melihat keadaan ini," katanya.
Batu-batu terumbu karang yang terdapat di taman negara sepatutnya dilindungi, tetapi nelayan-nelayan tertarik dengan kawasan berkenaan kerana terdapat ikan-ikan popular tempatan yang mempunyai nilai eksport tinggi seperti kerapu dan siakap.
Dalam pada itu, semakin banyak ikan mati di lantai laut dan terapung di permukaan lautan dan ia dapat dilihat dengan jelas oleh pengusaha selam skuba.
"Masalah utama adalah nelayan seolah-olah bebas memasuki Taman Negara Komodo dengan mengabaikan peraturan penggunaan sumber," kata saintis perikanan, Jos Pet, yang pernah berkerja bersama beberapa kumpulan pemuliharaan marin di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.
Dia berkata, mereka bagaikan mengosongkan tapak khazanah dunia tersebut.
Sementara itu, ketua taman berkenaan, Sustyo Iriyono, berkata, masalah tersebut sengaja diperbesarkan dan menafikan dakwaan tentang kelemahan aspek penguatkuasaan.
Dia berkata, renjer telah menahan lebih daripada 60 nelayan dalam tempoh dua tahun, termasuk kumpulan lelaki ditangkap pada bulan lalu selepas mereka kelihatan menjalankan pengeboman ikan di perairan bahagian barat taman itu.
Insiden serangan
Bahkan dia menambah, salah seorang daripada suspek telah ditembak dan terbunuh selepas nelayan-nelayan cuba melarikan diri dengan membaling bom ikan pada renjer. Tiga lagi termasuk remaja berusia 13 tahun mengalami cedera ringan.
"Tidak ada orang boleh mengatakan saya tidak bertindak tegas dalam membendung orang yang menghancurkan lokasi selaman!" tegasnya.
Dia menambah, taman tersebut merupakan salah satu daripada beberapa lokasi di Indonesia yang kerap dipantau bagi mengawal aktiviti pengeboman ikan.
Bagaimanapun, penyelam-penyelam berkata, penguatkuasaan telah menurun secara mendadak sejak tahun 2010 apabila kerajaan mengambil alih operasi taman berkenaan.
Sejak dua dekad lalu, The Nature Conservancy, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di AS telah membantu kerajaan menangani isu penangkapan ikan yang membawa kemusnahan.
Pada tahun 2005, pihak kerajaan telah memberi permit selama 30 tahun kepada The Nature Conservancy dan Bank Dunia untuk mengendalikan kemudahan pelancongan taman tersebut dengan harapan ia mampu menjana pendapatan sendiri. Bagaimanapun, perjanjian itu telah dibatalkan pada tahun 2010.
Operator-operator selaman dan jurugambar dalam air telah meminta The Nature Conservancy serta pertubuhan seumpamanya seperti Dana Alam Sedunia (WWF) Indonesia kembali ke Taman Negara Komodo untuk membantu usaha memulihara kawasan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: