Thursday, April 26, 2012

Legasi empat kurun Santa Maria Novella


PARA pekerja makmal Santa Maria Novella sedang tekun membuat barangan cenderamata lilin.


BAU harum yang menusuk hidung, menyambut pengunjung sebaik sahaja melangkah kaki ke ruang legar Santa Maria Novella di Florence, Itali.

Tempat itu merupakan makmal pembuatan minyak wangi terkemuka bagi golongan penyair, bintang filem dan hartawan wanita sejak berkurun-kurun yang lalu.

Menurut sejarah, industri pembuatan minyak wangi di situ sebenarnya bermula pada tahun 1221 oleh para biarawan yang memproses herba menjadi bahan ramuan dan salap. Perusahaan itu mengambil tempat di dalam sebuah dewan yang menawarkan panorama pusat bandar yang menakjubkan.

Kemasyhuran produk yang dihasilkan itu terus tersebar sehingga ke luar kawasan biara. Pada tahun 1612, pihak biara telah membuka pintunya kepada orang ramai di bawah syarikat keluarga Medici yang menjadi duta kepada produk wangian itu.

Ketika berkahwin dengan Raja Perancis, Henry II, Catherine de Medici (1519-1589) membawa bersama wangian berasaskan bergamot yang dinamakan sebagai Eau de la Reine, sekali gus mencetus revolusi baharu selepas ia meraih populariti dalam kalangan kerabat diraja.

Menggunakan alkohol

"Sebelum ini, minyak wangi dicampurkan dengan minyak dan cuka, tetapi golongan paderi menyarankan institusi itu menggunakan alkohol.

"Eau de la Reine merupakan minyak wangi pertama yang popular di Eropah yang dihasilkan daripada alkohol," kata pengarah komersial, Gianluca Foa.

Sehingga kini, Santa Maria Novella masih menghasilkan Eau de la Reine, yang merupakan produk pencetus kejayaan syarikat itu biarpun berhadapan dengan krisis ekonomi dunia. Pada tahun lalu sahaja, pendapatan syarikat itu meningkat sehingga 37 peratus.

Sejak berkurun-kurun yang lalu, makmal itu masih mengekalkan keaslian binaannya sehingga kini.

Bahagian tingkap dan ruang kaunter tidak pernah berubah sejak tahun 1612, walaupun golongan biarawan dipaksa meninggalkan biara ketika penjajah Itali menawannya sebagai usaha besar-besaran merampas harta benda gereja.

Ia kemudiannya dijual kepada salah seorang anak saudara ketua biarawan dan sehingga kini sebanyak empat generasi daripada keluarga yang sama telah menguruskan syarikat itu.

Sebanyak 80 peratus daripada pelanggan syarikat itu merupakan rakyat asing, seperti Sabrina yang datang dari wilayah Sichuan di China.

"Saya sangkakan ia hanya sebuah kedai biasa tetapi ia ternyata sangat hebat dan terkenal," katanya sambil menghayati lukisan dinding.

Produk yang berbeza mendapat sambutan mengalakkan di sesetengah negara. Krim calendula misalnya, mendapat permintaan menggalakkan di China, pastil pudina geranium di Jepun dan krim idralia di Korea Selatan.


PARA pelanggan sedang bertanyakan sesuatu kepada jurujual di kedai barangan Santa Maria Novella yang terletak di Florence, Itali.


Firma itu juga kini melabur dalam kerja baik pulih gereja yang terletak bersebelahan, San Niccolo, untuk menjadi sebuah arkib yang istimewa.

Tenaga manusia

Rak-rak di Santa Maria Novella dipenuhi krim kecantikan, minyak wangi, minuman keras dan lilin yang dibungkus secara ringkas namun elegan.

Sebahagian besar bahan-bahan itu berasal dari ladang herba syarikat tersebut yang terletak jauh dari biara.

Makmal utamanya yang seluas 4,500 meter persegi terletak di bahagian luar dengan mekanisme pengeluaran masih menggunakan tenaga manusia. Daripada peringkat membuat buku-buku sabun, mengukir lilin sehinggalah pelabelan, semuanya dilakukan secara manual.

Buku-buku sabun kelihatan seperti gulungan keju, dikeringkan selama dua bulan dalam kebuk yang mempunyai ruang pengudaraan.

Proses pengeluaran yang agak kompleks dan penggunaan bahan mentah terpilih secara tidak langsung dapat mengawal penghasilan produk-produk palsu.

Kualiti ketat terhadap penghasilan produk di bawah jenama Santa Maria Novella berjaya menarik ramai golongan terkenal. Antaranya, penyair, Dante dan Lord Byron, pelakon Penelope Cruz dan Monica Bellucci serta aristokrat seperti Puteri Caroline dari Monaco.

Syarikat itu tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk pengiklanan. Diperkenalkan melalui filem-filem popular seperti Hannibal lakonan Anthony Hopkins pada tahun 2006 dan filem James Bond, Casino Royale telah membantu mengukuhkan jenama itu dalam kalangan penggemarnya.

Sehingga kini, Santa Maria Novella mempunyai 200 cawangan di seluruh dunia termasuk di Auckland dan Hong Kong.

"Pada hari ini, demografi pelanggan-pelanggan Santa Maria Novella kelihatan bertambah muda dari sehari ke sehari.

"Ia satu petanda yang baik. Mereka menyalurkan keterujaan terhadap produk ini dan kelihatan bertambah muda," kata ketua eksekutif syarikat, Eugenio Alphandery.

Walau apapun sambutannya, harga yang dibayar adalah seiring dengan kualitinya. Sebotol kecil minyak wangi dijual pada harga 80 euro (RM320) dan potpuri pula dijual pada harga sekitar 15 euro (RM60).

Cenderamata paling murah? Sebuah kotak yang mengandungi pastil yang enak berharga 5 euro (RM20).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: