MESKIPUN dilahirkan di kalangan sanak saudara yang banyak menceburi bidang ketenteraan, namun ia tidak mendorong Asisten Supritendan Mohd. Hadzwan Zulkefle untuk memilih pasukan keselamatan berpakaian seragam hijau itu.
Dalam keluarga Mohd. Hadzwan kedua-dua datuk serta bapa saudara serta sepupunya berkhidmat dalam pasukan tentera namun beliau sebaliknya memilih untuk menceburkan diri pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Artikel ini juga bukanlah untuk membezakan antara polis atau tentera namun ia hanya menggambarkan betapa kedua-dua pasukan keselamatan ini menjadi pilihan sebahagian daripada ahli keluarga Mohd. Hadzwan.
Pegawai berusia 30 tahun itu memilih untuk menyertai PDRM pada tahun 2006 bagi memenuhi minatnya yang mendalam dalam bidang sains forensik.
Selain berbakti kepada agama, bangsa dan negara, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini memilih PDRM kerana pekerjaan sementara iaitu membekal bahan-bahan kimia sebelum ini masih belum memberi kepuasan buatnya.
Namun baginya, cabaran dan kepuasan itu akhirnya tercapai selepas beliau menyertai PDRM.
Tugasan pertamanya sebagai Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu sejurus tamat latihan kadet Asisten Supritendan di Maktab PDRM Cheras pada November 2006, telah digunakan sebaiknya untuk mengaplikasi pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki di UMT.
"Dalam siasatan, saya mengaplikasi prinsip sains forensik seperti sesuatu objek yang bersentuh antara satu sama lain akan meninggalkan kesan.
"Berdasarkan analogi, penjenayah dan mangsa akan meninggalkan bukti atau kesan yang boleh memberi petunjuk kes.
"Bidang sains forensik merupakan antara praktis paling efektif dalam menyelesaikan kes-kes termasuk kes-kes jenayah siber dan merentasi sempadan," katanya yang kini bertugas di salah satu unit risikan di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ketika ditemui Gaya Polis baru-baru ini.
Mohd. Hadzwan yang pernah ditugaskan sebagai Pegawai Turus Forensik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu selama setahun sejak 2009 diberi amanah untuk menyelesaikan kes ugutan membabitkan ahli politik.
"Cabaran yang dihadapi ketika menyelesaikan kes tersebut ialah kerana ugutan yang dibuat menggunakan komputer untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menggunakan nombor telefon milik seorang pembantu menteri.
"Saya terpaksa berulang-alik selama lebih sebulan dari Terengganu ke Kuala Lumpur kerana siasatan itu memerlukan saya berurusan dengan pusat telekomunikasi yang terletak di ibu negara.
"Ia bukan satu kes jenayah biasa kerana memerlukan peralatan teknologi untuk membuktikan pesalah sebenar yang menghantar SMS berbaur ugutan tersebut.
"Setiap kali menerima tugasan, saya pasang niat untuk menolong orang, jadi perasaan terbeban dan susah dengan kerja itu akan hilang dengan sendiri," katanya yang menerima surat penghargaan dari Ketua Polis Terengganu selepas berjaya menyelesaikan kes tersebut.
Selain itu katanya, pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika rusuhan yang dilakukan penyokong parti pembangkang di pantai Batu Buruk pada 2007 kerana salah seorang anggotanya cedera parah di kepala akibat dibelasah perusuh.
Bapa kepada seorang anak ini pernah melalui pengalaman yang lebih berat apabila beliau dan isteri, Siti Nur Arnee Ismail, 30, kehilangan anak pertama yang mati akibat tersedak susu di rumah pengasuh.
Kesedihan yang menyelubungi keluarganya itu akhirnya sedikit terubat dengan kehadiran permata kedua pada tahun ini baru berusia dua bulan.
Mohd. Hadzwan banyak mengisi masa lapangnya dengan sukan paintball. Baginya, sukan ekstrem seperti itu mampu mengurangkan tekanan dan merapatkan silaturahim antara rakan-rakan yang bukan dari PDRM.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: