Wednesday, April 25, 2012

Persengketaan jadi tarikan pelancong

Landasan keretapi yang dibina dari Seoul di Korea Selatan sehingga ke bandar berhampiran sempadan Korea Utara hasil sumbangan orang ramai, tetapi akhirnya kerajaan rejim komunis itu tidak membenarkan keretapi melalui negaranya.

SELAIN Pulau Jeju yang diibaratkan sebagai Hawai Korea, pelancong yang berkunjung ke Korea Selatan pastinya tidak akan melepaskan peluang melihat sendiri keadaan sempadan dua buah negara yang tidak reda bersengketa.

Jadi bila diberitahu saya ditugaskan membuat liputan berita di Seoul, Korea Selatan, perkara pertama yang terlintas difikiran adalah untuk melihat sendiri keadaan di sempadan Korea Selatan dan Korea Utara.

Berada di sempadan mana-mana negara memang sesuatu yang agak membimbangkan. Apa sahaja boleh berlaku, apatah lagi Korea Selatan saling bermusuhan dengan Korea Utara mempunyai senjata pemusnah nuklear.

Sebaik tiba di Seoul untuk membuat liputan Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear, saya mula bertanya-tanya cara untuk ke sempadan berkenaan.

Seorang pemandu pelancong memberitahu, jika mahu menyewa kereta untuk perjalanan ke sempadan bayaran yang dikenakan adalah sekitar AS$50. Bayaran itu agak mahal, tetapi demi mencapai matlamat penulis sanggup lakukan apa sahaja.

Namun saya bernasib baik setelah bertanya dengan pelbagai pihak termasuk pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Korea dan pegawai Kedutaan Besar Indonesia di Korea, penulis dimaklumkan terdapat agensi pelancongan yang membawa pelancong ke kawasan berkenaan.

Setelah selesai membuat liputan sidang kemuncak itu, keesokan hari ketika wartawan Malaysia yang lain telah pulang, inilah peluang untuk untuk menjelajah ke kawasan sempadan.

Seawal pukul 7 pagi saya bertanya kepada pihak hotel jika mereka ada menyediakan pakej pelancongan tersebut.

Petugas di kaunter memberitahu hotel berkenaan tidak menyediakan pakej tersebut, tetapi bersedia memberi bantuan dengan memberi nombor telefon ejen yang berkenaan.

Ejen berkenaan segera dihubungi dan dia memaklumkan saya perlu tunggu di hotel pada pukul 8 pagi untuk ke sempadan yang agak jauh perjalanannya.

Memang dinasihatkan kepada mereka yang mahu ke sempadan tersebut perlu keluar pada awal pagi kerana ia akan mengambil masa kira-kira separuh hari.

Dua perkara yang menarik perhatian ketika menyertai lawatan itu ialah terowong yang digali oleh Korea Utara untuk menyerang Korea Selatan, landasan keretapi yang dibina oleh rakyat Korea Selatan hingga ke Korea Utara dan perkampungan perdamaian di kawasan sempadan.

Stesen keretapi itu atau dikenali sebagai stesen keretapi terakhir Korea Selatan terdapat papan tanda yang memaparkan senarai panjang pemberi sumbangan bagi pembinaan landasan keretapi dari Seoul iaitu ibu negara Korea Selatan hingga ke Pyongyang, ibu negara Korea Utara.

Senarai yang begitu panjang dan tidak dapat dipastikan jumlahnya itu menunjukkan betapa bangsa Korea terus berharap bahawa suatu hari nanti kedua-dua buah negara melupakan perbezaan fahaman dan kembali bersatu sebagai satu bangsa seperti sebelum dua buah negara itu dipisahkan oleh fahaman Komunis di Korea Utara dan Demokrasi di Korea Selatan.

Pembinaan landasan itu sebenarnya telah sampai ke bandar paling hampir dengan sempadan kedua-dua buah negara di Korea Utara. Bagaimanapun setelah pembinaan itu selesai rejim komunis itu tidak membenarkan keretapi masuk ke negara berkenaan.

Pada masa ini stesen keretapi itu tinggal lengang dan hanya sesekali sahaja keretapi tiba dengan penumpang tidak sampai 10 orang dan kebanyakan masa stesen keretapi yang mungkin yang paling bersih di dunia itu hanya dikunjungi pelancong.

Saya yang mengunjungi kawasan sempadan kedua-dua negara itu dapat merasakan bagaimana pedihnya apabila satu bangsa yang hanya dibezakan dengan fahaman terpaksa berbunuh antara sendiri.

Di kawasan sempadan berkenaan juga terdapat sebuah perkampungan di mana terdapat kira-kira 500 penduduk yang menjalankan aktiviti pertanian seperti tanaman padi dan ginseng. Dikatakan ginseng yang dihasilkan dari kawasan berkenaan adalah yang paling bermutu tinggi dan dijual kepada kerajaan semuanya.

Penduduk kampung berkenaan terdiri daripada anggota tentera yang telah pencen dan diberi sebidang tanah untuk mereka tinggal dan menjalankan aktiviti pertanian. Selain ia bertujuan bagi menghargai jasa anggota tentera, ia juga menjadikan kawasan atau zon penampan kepada serangan Korea Utara.

Ini adalah kerana negara komunis itu amat benci tentera Amerika Syarikat dan tentera Korea Selatan dan serangan sering dilakukan kerana sentimen itu. Setelah kampung itu diwujudkan ia telah berjaya meredakan serangan Korea Utara. Justeru itu kampung tersebut lebih dikenali sebagai kampung perdamaian.

Anak-anak di kawasan berkenaan hanya disediakan kemudahan persekolahan sekolah rendah sahaja dan mereka terpaksa keluar apabila memasuki sekolah menengah.

Mereka pula tidak boleh memiliki tanah yang diberikan kerajaan selama-lamanya. Mereka perlu meninggalkan kampung tersebut apabila bapa mereka meninggal dunia.

Antara barangan yang boleh dibeli di kampung berkenaan selain daripada arak yang terkenal dengan kadar alkohol yang tinggi dari Korea Utara, para pelancong boleh membeli kacang soya berkualiti tinggi yang bersalut coklat dan produk-produk makanan penduduk tempatan.

Bagi pelancong yang mahu sampai ke kawasan di garisan sempadan kedua-dua buah negara mereka perlu membuat permohonan terlebih awal dan pasti mereka bukan warganegara Korea Selatan atau Amerika Syarikat kerana mereka tidak dibenarkan masuk.

Seketika dahulu pelancong pernah dibenarkan masuk sehingga ke Korea Utara, tetapi ia dihentikan apabila seorang pelancong ditembak oleh tentera Korea Utara kerana disyaki seorang perisik.

Jadi jika mahu sampai ke sempadan di mana kawalan kedua-dua dapat dilihat, kadangkala mereka saling memaki hamun dan meludah perlu diuruskan lebih awal untuk mendapatkan kebenaran.

Bagaimanapun di kawasan itu warganegara Korea Selatan dan Amerika Syarikat tidak dibenarkan masuk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: