Thursday, April 5, 2012

Diet positif peserta NHK

PARA ibu bapa dan guru yang menghadiri sesi khas NHK tekun mendengar penerangan daripada Pakar Pemakanan, Dr. Zawiah mengenai cara terbaik memberikan pemakanan optimum kepada kanak-kanak.


PRIHATIN mengenai kepentingan pengambilan nutrisi yang seimbang dalam kalangan kanak-kanak di negara ini, Nestle (Malaysia) Berhad melancarkan Kajian Intervensi Nestle Healthy Kids (NHK) pada Ogos 2010. Kajian tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM).

Selepas setahun, mereka mendapati kanak-kanak yang terlibat dalam kajian tersebut sudah pun menunjukkan hasil yang memberangsangkan dengan peningkatan pengetahuan, sikap dan amalan terhadap pemakanan.

Program NHK adalah satu usaha intervensi selama tiga tahun yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pemakanan dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak sekolah.

Hasil kajian intervensi tersebut dibentangkan oleh Presiden NSM, Dr. Tee E. Siong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Program NHK kepada ibu bapa dan guru yang dianjurkan oleh Nestle Malaysia baru-baru ini.

Beliau melaporkan bahawa kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak menunjukkan peningkatan dalam skor pengetahuan mereka untuk kesemua enam modul pendidikan pemakanan dan kesihatan yang diajar.

"Pelaksanaan Program NHK tepat pada masanya, memandangkan orang ramai dan kerajaan kini sangat prihatin terhadap kes penyakit tidak berjangkit yang kian meningkat. Penyakit yang dimaksudkan termasuklah diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi," kata Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle, Zainun Nur Abdul Rauf.

Tambahnya, ia penting bagi Nestle bukan sahaja untuk memastikan produk keluaran Nestle membantu mengurangkan masalah kesihatan, tetapi menggalakkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat dalam kalangan pengguna.

"Nestle memberi sumbangan dari segi pengetahuan pemakanan dengan menggunakan pendidikan sebagai kaedah untuk membantu kanak-kanak memahami nilai pemakanan dan aktiviti fizikal yang akan memperkasakan mereka dalam membuat pilihan yang tepat berkaitan tabiat pemakanan," ujarnya.

Pembentangan yang dilakukan oleh E. Siong kemudian diikuti dengan perbincangan panel oleh pakar-pakar pemakanan, Profesor Dr. Norimah A. Karim, Naib Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia; Dr. Zawiah Hashim, salah seorang daripada Ahli Majlis Persatuan Kajian Obesiti Malaysia dan Dr. Chin Yit Siew daripada Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia.


HADIRIN berpeluang merasai salad sayuran campur yang enak hasil air tangan chef terkenal, Florence.


"Kanak-kanak adalah masa depan negara. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil peranan mencorakkan pemakanan anak masing-masing agar ia seimbang dan berkhasiat. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu menjadi contoh untuk mempraktikkan pemakanan sihat setiap hari selain menjalani kehidupan aktif," kata E. Siong.

Ibu bapa dan guru juga diberi peluang untuk melihat modul tahun 2012 dan berkesempatan memberikan maklum balas mengenai program tersebut.

Selain itu, terdapat juga demonstrasi masakan oleh chef selebriti Florence Tan yang menunjukkan cara mudah untuk menyediakan makanan berkhasiat untuk kanak-kanak.

Menu yang diketengahkan Florence ialah sayuran campur dengan sos plum, smoothie tembikai susu dan penkek pisang tinggi serat.

Program berkenaan mencakupi kira-kira 2,600 orang pelajar berusia antara tujuh hingga 12 tahun menerusi bengkel, siri jelajah dan program intervensi. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai program tersebut, para pengguna boleh melayari laman web di www.healthykids.org.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: