Thursday, April 5, 2012

Cabaran ekstrem 15 jam


FUNG (kanan) dan Au Yong berbangga dengan hadiah masing-masing.


PADA mulanya, Fung Yoke Tan, 23, sedikitpun tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk bergelar juara. Baginya, mara ke pusingan akhir sudah cukup bermakna dan dia berazam untuk melakukan yang terbaik memandangkan kalah atau memang adalah adat pertandingan.

Namun, sebaik saja pertandingan bermula, keinginan Fung berubah. Berbekalkan semangat juang yang tinggi, pengurus acara di salah sebuah syarikat swasta itu berusaha bersungguh-sungguh untuk bersaing dengan 20 peserta yang lain.

"Perjalanan selama 15 jam di dalam kereta api mencabar mental dan fizikal. Ini disebabkan sepanjang tempoh itu saya dan para peserta perlu bertungkus-lumus melunaskan pelbagai cabaran yang ekstrem," jelas Fung yang teruja apabila memenangi hadiah utama berupa sebuah Mitsubishi Triton dalam cabaran TrainDEWmonium bersama Mountain Dew.

Pada ujian terakhir itu menyaksikan peserta menaiki keretapi khas TrainDEWmonium dari Stesen KL Sentral ke Butterworth, Pulau Pinang sebelum kembali semula ke KL Sentral.

Dalam tempoh berkenaan, mereka perlu melakukan cabaran menyusun barang mengikut aturan yang ditetapkan, mencari tag Mountain Dew pada beg yang dibawa oleh penumpang dan memecahkan belon yang ditempatkan pada tilam yang licin bagi mencari tiga keratan tanda bertulis 'Do The Dew'.

Para peserta perlu bersaing dalam kumpulan dan secara individu. Mereka yang gagal menamatkan cabaran yang ditetapkan disingkirkan setiap dua jam di stesen terpilih seperti di Kuala Kangsar, Tanjung Malim dan Taiping, Perak sehingga berbaki dua peserta terakhir iaitu Fung dan pemenang kedua, See Toh Au Yong.

"Mungkin nasib tidak menyebelahi saya kerana Fung mendahului beberapa minit sahaja. Walaupun gagal bergelar juara saya tetap gembira kerana bertemu dengan kenalan baharu dan mempelajari nilai-nilai kerja berpasukan," ujar Au Yong, 25 yang berjaya memenangi sebuah motosikal Kawasaki KLX 250S.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pemasaran Permanis, Hemalatha Ragavan, berbangga dengan semangat yang dipamerkan oleh setiap peserta. Biarpun terpaksa bersaing untuk merebut tempat pertama tetapi masing-masing tetap memainkan peranan positif apabila melakukan cabaran dalam kumpulan.

Sementara itu, 18 peserta akhir gagal meraih hadiah utama tidak pulang dengan tangan kosong. Mereka sebaliknya membawa pulang hadiah-hadiah menarik seperti telefon bimbit, komputer riba, kamera dan jam tangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: