Thursday, April 5, 2012

Final Fantasy 13-2


SELAIN Serah, dia ditemani seorang lelaki dari masa hadapan, Noel Kreiss, untuk menjalankan misi.


FINAL FANTASY merupakan siri permainan video yang telah menyentuh jiwa ramai pemain di seluruh dunia.

Sejak kejayaan dan penerimaan dari siri Final Fantasy 7, syarikat pembangunnya, Squaresoft, yang bertukar menjadi Square Enix tidak pernah berhenti dalam memenuhi kehendak masyarakat pemain permainan video dunia.

Terbaharu, Square Enix telah melancarkan siri Final Fantasy 13-2 yang merupakan kesinambungan Final Fantasy 13.

Square Enix telah mengumumkan bahawa Final Fantasy 13 termasuk dalam siri Fabula Nova Crystallis dan menggunakan enjin Crystal Tools untuk permainan video mereka.

Final Fantasy 13-2 yang dilancarkan pada tahun 2011 boleh didapati untuk konsol PlayStation 3 dan XBOX360.

Plot

Pada permulaan permainan, pemain akan terus ditunjukkan dengan imbasan penamat daripada siri sebelumnya, bermaksud Final Fantasy 13-2 adalah sambungan terus daripada Final Fantasy 13.

Serah Farron, adik perempuan kepada protagonis Final Fantasy 13, Claire Farron, telah berjaya dihidupkan semula daripada menjadi kristal dan mereka semua meraikan kejayaan tersebut.

Bagaimanapun, kejayaan itu hanya sementara. Pada hakikatnya, Serah, Claire dan rakan-rakan mereka telah diselamatkan Dewa Etro.

Gara-gara tindakan tersebut, Dewa Etro kehilangan kuasa dalam memelihara garis masa dunia dan Claire telah ditarik ke Valhalla untuk menggantikan tempat Dewa Etro sebagai dewa.

Kini, hanya Serah yang masih mempunyai memori mengenai kisah silam malah rakan-rakannya menganggap Claire telah terkorban semasa menyelamatkan dunia.

Dalam kekalutan tersebut, muncul seorang pemuda dari masa hadapan, Noel Kreiss, untuk menerangkan situasi kepada Serah. Mereka berdua telah mengambil langkah untuk mengembara bersama-sama dalam misi pencarian Claire.

Pertembungan musuh

Mekanisme permainan dalam permainan video ini mempunyai mekanisme sama seperti siri sebelumnya, Final Fantasy 13, tetapi mempunyai beberapa penambahbaikan.

Peminat setia siri Final Fantasy pasti sedar akan perubahan ketara dilakukan Square Enix. Pertembungan dengan pihak musuh kini tidak lagi dilakukan secara rawak.

Ia bermakna, pemain akan nampak kelibat musuh dan mereka diberi pilihan untuk membuat keputusan sama ada mahu melawan ataupun mengelakkan diri mereka.

Pertarungan Masa Aktif (ATB) merupakan salah satu elemen gameplay yang banyak mengubah Final Fantasy 13-2. Berbanding siri-siri sebelum ini, masa akan sentiasa bergerak semasa pertempuran dan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak, iaitu pihak musuh dan pihak pemain untuk mengorak langkah.


MASA permainan yang agak panjang mungkin membuatkan sesetengah pemain berasa kurang selesa untuk meneruskannya.


Paling penting, pemain kini diberikan pilihan pertarungan automatik (Auto - Battle) iaitu arahan yang akan membuat pilihan terbaik dalam menjatuhkan pihak lawan.

Setiap arahan akan menggunakan satu slot ATB dan beberapa arahan yang lain akan menggunakan dua atau tiga slot.

Slot ATB boleh ditambah melalui bonus level-up dan melalui senjata terkuat setiap watak.

Tambah kekuatan

Sama seperti Final Fantasy 13, pemain boleh meningkatkan kekuatan watak mereka dengan membelanjakan Crystarium Point yang diberi sebagai ganjaran selepas setiap pertempuran.

Terdapat beberapa role yang boleh diceburi dan gabungan dua atau tiga role dipanggil Paradigm Shift.

Ia sangat penting dalam menentukan kemenangan sesebuah pertempuran dan merupakan antara teras Final Fantasy 13-2.

Pertempuran adalah sama seperti Final Fantasy 13 tetapi dengan hanya dua watak protagonis, Serah Farron dan Noel Kreiss.

Slot ketiga untuk pertempuran akan diambil oleh monsters yang kini boleh dijinakkan untuk menyertai pemain.

Siri Final Fantasy tidak pernah gagal dalam mengolah plot yang sangat mendalam dan menyentuh jiwa.

Final Fantasy 13-2 merupakan satu contoh dan bukti bahawa Square Enix masih mempunyai sentuhan istimewa seperti yang digunakan dalam siri-siri sebelum ini.

Dengan grafik penuh teliti dan suasana eksotik, tidak hairan Final Fantasy 13-2 berjaya menarik ramai peminat.

Bagaimanapun, gameplay yang sangat panjang mungkin tidak sesuai untuk semua golongan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: