Wednesday, April 4, 2012

Tak suka berkongsi kasih

Farahdhiya
Farahdhiya
Farahdhiya nafi gosip dilamar suami orang

PENYANYI yang popular dengan lagu Bertakhta Di Hati, Farahdhiya, 28, menafikan gosip mengatakan dirinya bakal berkahwin, apatah lagi dilamar sebagai isteri kedua. Kesal dengan fitnah yang dilemparkan, penyanyi putih gebu yang ditemui pada majlis pelancaran album Bukan Sekadar Julfekar di Saloma Bistro, baru-baru ini, bagaimanapun tidak melatah dan menganggap ia sebagai asam garam seorang selebriti. Wanita yang turut dikenali sebagai pelakon ini pada mulanya agak marah apabila kehidupan peribadinya diceroboh. Namun Farahdhiya tidak takut dan mengambil tindakan mendiamkan diri demi melindungi dirinya sendiri. Selagi maruah diri serta keluarga tidak tercalar, dia masih boleh menerima gosip itu dengan hati yang terbuka.“Saya berasakan diri saya kebal, malah saya sudah banyak mendengar cerita sebegini. Bahkan ramai orang di luar sana yang sedang memperkatakan hal ini. Sebenarnya saya rasa tidak perlu untuk menjelaskan semua itu kerana ia perkara remeh. Pekerjaan seperti saya ini memang terdedah kepada hasad dengki, dan memang ramai yang busuk hati.

“Sekeras-kerasnya saya menafikan gosip itu dan ia sememangnya tidak betul. Saya jenis yang tidak suka berkongsi, apatah lagi mahu menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat. Saya masih muda, jadi kenapa perlu terburu-buru dalam mencari pasangan? Jadi saya tidak nampak sebab saya perlu bergegas untuk mengahwini seorang lelaki yang sudah berpunya.

“Mungkin orang mengadili saya daripada kisah sebelum ini. Saya pun seperti manusia biasa lain - pernah dikecewakan, bercinta dan pelbagai lagi. Inilah hak peribadi saya dan saya rasa kisah percintaan tidak perlu untuk dikongsi.

Lagipun, sebagai perempuan, tidak manis rasanya untuk saya bercerita lebih mengenai kekasih hati. Saya pun ada perasaan segan, justeru orang ramai hanya boleh menunggu saja.
“Bagaimanapun, perkara baik seperti perkahwinan semestinya akan saya kongsi. Tiada sebab untuk saya berselindung dan sekiranya saya akan berkahwin, pasti saya akan beritahu,” katanya.

Menghormati pendiriannya, Farahdhiya akan muncul dengan album baru setelah beberapa lama menyepikan diri dari dunia nyanyian. Album yang akan dilancarkan Mei nanti memuatkan lima lagu dihasilkan sepenuhnya oleh Julfekar. Kini hanya tinggal dua lagu saja untuk dirakam, manakala selebihnya sudah pun siap.

Walaupun dilihat sering menghiasi pentas lakonan, dia akui dirinya tidak pernah melupakan dunia nyanyian kerana muzik tetap minat utama.

Cuma rezekinya dalam bidang lakonan lebih menyerlah, justeru dia menyatakan kedua-dua cabang seni itu sama penting buatnya. Tahun ini pula Farahdhiya banyak menjayakan telefilem, dan bersyukur kerana dirinya tidak pernah putus menerima tawaran.

Dia turut berasakan watak dilakonkan olehnya semakin berkembang. Sebelum ini, dia sering ditawar untuk menjayakan watak antagonis, tetapi kini watak wanita baik yang bertudung lebih banyak diberikan. Telefilem Tudung Emas dan Telekung Buat Mama yang baru dijayakan, umpamanya, mencabar kredibilitinya sebagai pelakon serba boleh.

Biarpun dia perlu meningkatkan usahanya dua kali ganda kerana watak sebegitu diakui agak susah untuk dijiwai, Farahdhiya gembira kerana setakat ini dia menerima tindak balas positif daripada peminat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: