Tuesday, April 24, 2012

‘Ambillah nyawaku’

SAKIT...Suraya menunjukkan kulit badan Noor Ashikin  yang melepuh dan berdarah.
SAKIT...Suraya menunjukkan kulit badan Noor Ashikin yang melepuh dan berdarah.

SUNGAI PETANI: “Saya sedih melihat keadaannya kerana setiap hari dia (Noor Ashikin) memohon kepada Tuhan agar ambil saja nyawanya kerana tidak tahan menanggung derita akibat kegatalan pada badannya yang dialami sejak Julai tahun lalu,” kata Suraya Maidin, 45, ibu kepada Noor Ashikin Mohd Irwan, 17, yang kulitnya melepuh dan berdarah tanpa diketahui puncanya.

Keadaan itu menyebabkan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari (SMKKJ) di sini, tidak ke sekolah kerana sukar memakai pakaian berikutan kulit badannya tertanggal dan berdarah sehingga tidak mampu menahan kesakitan.


Suraya yang berniaga nasi lemak berkata, penyakit Noor Ashikin mula dikesan selepas dia mengadu gatal seluruh badan sepulang dari sekolah dan apabila membuka baju, mendapati seluruh kulit badannya menggelembung dan selepas itu pecah.

Menurutnya, sejak itu seluruh tubuh anaknya sentiasa berdarah dan Noor Ashikin tidak boleh terdedah kepada keadaan panas kerana kulitnya akan kembali menggelembung dan pecah serta berdarah menyebabkannya meraung kesakitan.


Noor Ashikin masih menerima rawatan susulan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sejak awal bulan ini.


Suraya yang juga ibu tunggal dan tinggal di Flet Paya Nahu di sini berkata, sejak mengalami penyakit itu, Nor Ashikin sudah beberapa kali dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan HSAH bagi menerima rawatan, tetapi doktor pakar gagal mengenal pasti penyakit anaknya.

“Sebelum ini, dia pernah dirawat selama sebulan di HSB dan rawatan susulan di HSAH selepas penyakitnya didapati berkurangan. Bagaimanapun, selepas seminggu keluar hospital, penyakit itu datang kembali menyebabkan anak saya dimasukkan semula ke hospital.


“Terbaru, 8 April lalu apabila dia dimasukkan ke HSAH akibat kulitnya tertanggal dan seluruh badannya berdarah.

“Dia kini masih dirawat di HSAH dan keadaannya semakin beransur pulih, tetapi beberapa bahagian tubuh yang tertutup seperti ketiak, pinggang dan kedua-dua paha masih berdarah.


“Saya sedih melihat keadaannya yang menanggung penderitaan. Tidurnya juga tidak lena kerana sakit, malah tempat tidurnya perlu dilapik dengan plastik bagi mengelak kulitnya yang tertanggal, melekat,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin, yang memohon sesiapa saja membantu mencari cara menyembuhkan penyakit anaknya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: