MENGENALI figura yang seorang ini sebelum dia punya apa-apa lagi. Kalau tidak silap, dia baru berusia 18 tahun atau lebih tepat pada 1999. Mohammad Zalimei Ishak (Remy Ishak), 30, ketika itu, seorang yang cukup pemalu dan tidak banyak bercakap (sekarang pun masih sama cuma lebih berkeyakinan).
“Dalam hidup saya cuba jadi seorang yang lebih bagus. Untuk mencapainya kita perlu berubah daripada terus berada di takuk lama. Saya ambil penghijrahan Rasulullah s.a.w sebagai inspirasi dan kekuatan. Penghijrahan yang saya lakukan untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik dan mengubah nasib keluarga.
“Dalam bidang lain juga kita boleh mencari masa depan, namun seperti yang kita tahu pekerjaan di Malaysia agak terhad. Memasuki dunia seni, hajat yang sudah sekian lama terpendam sejak berada di kampung lagi. Apa yang saya peroleh hari ini hasil sahutan cabaran teman-teman yang pernah memandang remeh impian saya.
“Terima kasih kepada mereka, kalau tidak dicabar mungkin saya masih di takuk lama. Kekecewaan yang saya lalui dalam kehidupan dalam banyak perkara juga menguatkan lagi keinginan saya untuk menjadi bintang yang dikenali. Dulu, saya sering ‘ditolak’ wanita walaupun saya tahu saya mampu mencintai sepenuh hati.
“Apapun, kegagalan masa silam tidak bererti kita akan gagal selamanya. Saya rasa tidak salah seseorang mempunyai angan-angan dan impian tetapi perlukan kesabaran dan keazaman untuk mencapainya,” katanya.
Untuk berada di tahap sekarang ini, Remy melalui pelbagai kesukaran dan apabila dirinya diterima, timbul rasa kecewa apabila ada pula pihak cuba menghancurkan kariernya dengan menabur pelbagai fitnah.
Apabila dia mengambil tindakan untuk tidak memberi sebarang ‘respons’ kepada setiap isu yang diperkatakan, dituduh pula dirinya seorang yang ‘arrogant’.
“Bukan ‘arrogant’, saya cuma tak suka bercakap mengenai hal yang tidak tahu pucuk pangkalnya. Jika sesuatu cerita itu sendiri tidak benar, kenapa harus saya menjawab, sekali gus memanjangkan hal yang tak ada.
“Saya lebih suka seandainya fokus diberi kepada kerja yang saya lakukan. Bagaimanapun, sekarang ini saya sedang belajar untuk membiasakan diri dengan hal sebegini dan cuba menerima asam garam dunia seni yang penuh ragam,” katanya.
Mula aktif pada 2006, Remy sudah membintangi lebih lima filem antaranya Anak Halal, Duhai Si Pari Pari, Cun, Nur Kasih The Movie termasuk Aku, Kau Dan Dia. Drama serta telefilem pula seperti Sindarella, Obsesi, Awan Dania, Arjuna, Suraya, Iktikaf, Jalan Pintas Ke Neraka, Takbiratul Ihram dan Sesuci Kasih.
Menghala topik pada bidang kerjaya, tanggal 14 April yang lalu buat pertama kali Remy memasuki set penggambaran filem Bravo 5 arahan Mohd Latiff Zami atau Yeop Hitler.
Bravo 5 adalah sebuah filem ketenteraan yang hadir mengisi kekosongan filem bergenre seumpamanya seperti Leftenan Adnan, arahan Aziz M Osman yang menghiasi pawagam pada 31 Ogos 2000.
“Saya tertarik menerima tawaran ini kerana terpaut pada jalan ceritanya. Sejak Leftenan Adnan, setahu saya tiada filem yang mengangkat kehebatan Komando Melayu yang berjuang demi bangsa dan negara. Ia bukan kisah benar, tetapi diinspirasikan daripada tragedi kisah benar sekitar 1980-an.
“Kalau kita bercakap mengenai filem aksi, selalunya yang dihidangkan kepada penonton adalah naskhah mempamerkan kehidupan gengster dan pacuan empat roda. Walhal, filem aksi itu boleh diperluaskan skop penceritaannya.
“Dalam cerita ini, saya memegang watak sebagai Leftenan Azri, ketua Ronda Kumpulan Kecil (RKK). Leftenan Azri seorang yang merendah diri, namun ada ketegasan dalam sifatnya yang lembut. Azri menghormati orang bawahannya.
“Lazimnya, seorang Leftenan digambarkan sebagai individu yang yang garang. Filem ini menawarkan satu lagi penghayatan yang berbeza buat saya khususnya dalam menjiwai perwatakan seorang askar,” katanya.
Sebagai persediaan mental dan fizikal menghadapi tuntutan di set penggambaran, Remy mengikuti latihan asas ketenteraan di Kem Sungai Udang, Melaka.
“Selama seminggu saya di sana, kalau ikutkan tidak cukup. Tetapi bersyukur jugalah kerana asas ketenteraan tidak semudah disangka. Menerusi latihan yang turut disertai beberapa pelakon lain dapat membantu kami menjiwai perwatakan seorang tentera apabila memasuki set penggambaran.
“Seawal jam 7 pagi hingga 7 malam, kami yang lengkap berpakaian tentera sudah bersiap sedia menjalani latihan asas ketenteraan seperti taktik serang hendap dalam hutan dan cara memegang senjata ‘cobain’. Pada sebelah malam pula diadakan demonstrasi cara penggunaan senjata dengan betul.
“Dari segi karakter, saya rasa tidak begitu sukar kerana ayah saya dulu seorang tentera. Jadi perwatakan seorang tentera dari segi bahasa tubuh dan percakapan, boleh dikatakan saya sudah faham.
“Selepas melalui semua proses yang sangat sukar ini, saya harap ia dapat membantu persembahan saya dalam Bravo 5,” katanya.
Berkonsepkan 1Malaysia, selain Remy, filem ini turut dibintangi Beto Kusyairy, Shashi Tharan, Xavier dan pendatang baru, Farid.
Ia menelan belanja yang agak besar kerana kelengkapan penggambaran seperti kamera digunakan dua buah sekali gus.
Selesai penggambaran filem Bravo 5, Remy terikat pula dengan penggambaran drama episod terbitan Filmscape iaitu Cinta Jangan Pergi untuk siaran TV9.
Sebelum kedua-dua peluang berkenaan dilaksanakan, pemuda kelahiran Negeri Sembilan itu baru saja selesai penggambaran filem 13 episod, Cinta Dalam Hati yang bakal ditayangkan di RTM.
Malah, ada pihak meramalkan nama Remy kembali melonjak sebaik kemunculan filem Jiwa Taiko arahan pengarah filem pecah panggung, Ombak Rindu iaitu Osman Ali, yang menjengah pawagam 14 Jun ini.
Ditanya, apakah kepentingan antara filem dan drama sehinggakan Remy masih merebut peluang kedua-duanya walaupun namanya sudah layak memberi tumpuan pada filem saja, jejaka ini berkata, drama adalah ruang dia membina persediaan.
“Filem membawa kita meneroka dunia yang sedikit berbeza daripada drama. Drama saya gunakan sebagai ‘platform’ untuk belajar mendalami pelbagai karakter.
“Ia sebagai kelas atau persediaan sebelum saya melangkah ke filem. Filem pula ada ‘nilai’ berbeza daripada drama kerana apabila suatu hari nanti apabila kita sudah tiada, ia tetap dimainkan di televisyen.
“Maknanya, penat lelah dan hasil kerja kita dalam membangunkan industri perfileman masih dapat dikongsi dan dipertontonkan kepada masyarakat,” kata duta jenama Dashing itu.
Sebelum mengakhiri perbualan, Remy yang baru saja menyambut ulang tahun ke-30 pada 11 April lalu, tidak meletakkan tempoh untuk mengakhiri zaman bujang.
“Apabila saatnya tiba saya pasti akan berkahwin kerana semua orang mahu mempunyai keluarga,” katanya yang menjalinkan hubungan dengan pelakon putih gebu, Tiz Zaqyah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: