KESAL...Mohammad Fauzi menunjukkan tangan dan laporan perubatannya.
PUTRAJAYA: Seorang lelaki mendakwa Hospital Putrajaya tidak memberikan rawatan sepatutnya selepas dia terbabit kemalangan, sekali gus menanggung risiko hilang upaya terhadap kecuaian itu.
Kakitangan swasta, Mohammad Fauzi Abdul Halim, 41, mendakwa kejadian itu berlaku pada 28 Ogos tahun lalu selepas dia mengalami kemalangan disebabkan motosikalnya melanggar besi di kawasan Lebuhraya Maju Expressway Putrajaya-Kuala Lumpur.
Menurutnya, ketika itu dia bersama anak sulungnya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyelesaikan beberapa urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Saya tak perasan ada besi di jalan dan melanggarnya menyebabkan saya dan anak perempuan jatuh di jalan. Kejadian itu menyebabkan tangan kiri saya luka dan berdarah dan menelefon ambulans untuk menghantar kami ke Hospital Putrajaya.
“Ketika rawatan, doktor meminta saya menjalani X-ray serta diberikan ubat tanpa memberitahu apa-apa masalah yang dihadapi. Saya dibenarkan pulang ke rumah pada hari sama,” katanya yang mengadu perkara itu kepada Harian Metro di sini.
Mohammad Fauzi mendakwa, sebaik pulang ke rumah dia berasa sakit dan pedih pada bahagian luka berkenaan dan disebabkan tidak berpuas hati dia mendapatkan rawatan di dua klinik panel sebulan selepas kejadian.
“Bagaimanapun, saya dinasihatkan merujuk ke hospital untuk mengetahui lebih lanjut masalah dihadapi. Seterusnya, saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Januari lalu untuk rawatan susulan.
“Selepas menjalani X-ray, doktor mengesahkan saya menghadapi masalah pada tangan kiri. Saya tidak berpuas hati dengan pihak Hospital Putrajaya kerana tidak memaklumkan masalah itu lebih awal ketika menerima rawatan di sana,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya, Dr Mohd Anis Haron ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima aduan Mohammad Fauzi dan membuat siasatan lanjut mengenai perkara itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: