
LAHIR sebagai insan kelainan upaya pastinya menimbulkan dilema dalam diri, apatah lagi jika perlu bersaing dengan rakan-rakan sebaya yang membesar dalam persekitaran sama.
Sungguhpun keadaan diri tidak sempurna seperti teman-teman lain namun tidak adil jika mahu menyalahkan takdir semata-mata.
Berbekalkan keyakinan tinggi ditambah pula dengan sokongan padu daripada keluarga, Aqlam Jafri membuktikan pemegang status OKU juga boleh berjaya.
Bekas graduan Ijazah Teknologi Maklumat dari Universiti Gallaudet, Amerika Syarikat (AS) ini bukan sahaja cemerlang dalam pengajiannya bahkan kini beliau menyandang jawatan Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.
Bagaimanapun, untuk berada di tahap sekarang, banyak cabaran yang perlu dilalui lelaki berusia 42 tahun yang mengalami kecacatan pendengaran sejak lahir ini.
Baru-baru ini, Jurnal berkesempatan bertemu dengan Aqlam di kediamannya.
Bertemankan isteri, Hafidah Awaludin, 39, perbualan kami petang itu berjalan lancar.
Hafidah yang juga jurubahasa sepenuh masa di Persatuan Orang Pekak Kebangsaan (NSD) bertindak menjadi penterjemah.
“Ketika berusia tiga tahun, saya dimasukkan ke tadika yang dikendalikan NSD sebelum dimasukkan ke tadika biasa di Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor dua tahun selepas itu.
Kebakaran
“Walaupun tidak mampu mendengar, saya boleh membaca gerak bibir dengan baik, kerana itu saya diterima masuk ke kelas biasa sepanjang bersekolah rendah.
“Saya selalu jadi mangsa buli, tapi saya tidak ambil hati sebab saya masih ada sahabat baik,” kata Aqlam.
Masalah pendengarannya menjadi semakin teruk ketika dia memasuki Sekolah Menengah Taman Sea di Petaling Jaya.
“Saya pelik kenapa hanya saya yang memakai alat bantuan pendengaran sedangkan rakan-rakan yang lain tidak.
“Saya juga tidak dapat menangkap apa yang guru ajar kerana tiada visual bantuan mengajar.
“Saya hanya bergantung kepada gerak bibir cikgu tetapi apabila guru bercakap laju, saya sering ketinggalan.
“Apabila ada guru yang menegur dan dicadangkan masuk ke sekolah khas untuk orang pekak, ketika itu baru saya sedar, saya sebenarnya pekak,” ujarnya.
Enggan menunggu lama, selepas tamat tingkatan lima Aqlam terus mendaftar di Sekolah Menegah Pedidikan Khas Pulau Pinang (SMPKPP).
Di sana beliau dilatih menggunakan bahasa isyarat sehingga mampu menguasai Kod Tangan Bahasa Malaysia dan Bahasa Isyarat Malaysia.
“Selepas mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk kali kedua, saya memohon untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan di Kolej Tun Abdul Razak namun ketiadaan kemudahan untuk orang pekak menghalang impian saya itu,” kata Aqlam.
Ekoran itu, ibu bapanya mengambil inisiatif menghantarnya ke AS atas perbelanjaan sendiri.
“Di AS, banyak kemudahan yang disediakan untuk OKU, malah di sana terdapat komuniti besar khusus untuk orang pekak.
“Melalui komuniti tersebut, saya dapat berkongsi banyak pengalaman dengan rakan-rakan pekak yang datang dari seluruh dunia,” katanya yang diterima bekerja sebagai pegawai penyelidik di Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) selepas tamat pengajian.
Semasa bertugas di situ, Aqlam ada kenangan yang tidak boleh dilupakan hingga ke hari ini.
“Pada suatu hari, ada latihan kebakaran dijalankan di pejabat. Ketika itu saya sedang leka mengumpul maklumat menggunakan komputer.
“Saya hanya tahu sesuatu sedang berlaku apabila menyedari pejabat ditinggalkan kosong.
“Selepas rakan-rakan kembali ke pejabat sejam kemudian, barulah saya tahu ada latihan kebakaran yang dijalankan.
“Mereka pelik mengapa saya tidak turun. Saya tidak boleh mendengar bunyi siren, jadi saya tidak tahu apa yang berlaku. Mujur juga itu bukan kebakaran yang sebenar.
Sulam cinta
“Jika tidak, sudah tentu saya terperangkap dalam api yang marak,” katanya.
Selepas kejadian itu, majikan Aqlam mengambil langkah berjaga-jaga dengan memasang lampu amaran berwarna merah dan menyediakan papan notis berwarna putih yang mudah dilihat dan dibaca,” katanya yang hanya bekerja selama tujuh tahun di situ.
Biarpun sangat meminati bidang teknologi maklumat, Aqlam dengan rela hati melepaskan jawatan di MIMOS.
“Bapa mengharapkan saya bekerja di JKM. Selepas berbual panjang, saya ambil keputusan untuk melepaskan jawatan di MIMOS.
“Walaupun ia bukan bidang yang saya minati dari kecil, tetapi bekerja di JKM adalah perkara yang cukup menggembirakan.
“Apabila ditugaskan di bahagian Warga Tua dan Keluarga, saya akui ia sedikit sebanyak mengubah persepsi dan pendirian saya.
“Saya lebih menghargai setiap masa yang diluangkan bersama keluarga,” kata bapa kepada Arif Mustafa ini.
Memandangkan Aqlam hanya boleh berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat, secara tidak langsung Arif yang kini berusia 11 tahun juga mahir berbual menggunakan kod jari.
“Saya mengajar Arif menggunakan bahasa isyarat sejak umurnya dua tahun lagi.
“Jika dia ingin meminta susu, secara automatik dia akan menggenggam tangan,” kata Aqlam.
Lelaki berkulit cerah ini turut mengakui, ketika anaknya masih kecil, dia sering diburu rasa bimbang apabila terpaksa tinggal berdua dengan anaknya.
“Saya tidak yakin saya mampu menjaga Arif dengan baik terutamanya pada waktu malam kerana saya mungkin tidak sedar dia menangis.
“Lantaran itu, saya letakkan Arif di bawah asuhan ibu saya sehingga usianya mencecah dua tahun. Selepas itu, baru saya lebih yakin untuk menjaganya,” ujar Aqlam sambil memandang isterinya.
Tatkala ditanya tentang hubungan cinta pasangan ini, Hafidah memberitahu, Aqlam adalah suami terbaik untuknya.
“Kami berkenalan pada tahun 1991 ketika sama-sama menghadiri Kem Belia Khas di Port Dickson.
“Dari situ kami menjadi kawan baik dan sentiasa berhubung melalui SMS.
“Kami sedar hubungan ini semakin intim walaupun tidak perlu diungkap dengan kata-kata,” jelasnya yang mengambil masa selama 10 tahun untuk mengenali suaminya dengan lebih mendalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: