PERKENALAN dengan Shareeza Hashim, seorang suri rumah yang juga usahawanita online, baru-baru ini membuka peluang kepada Jurnal untuk menyaksikan penataan gaya yang dititip buat kediamannya - sebuah unit town house di kejiranan elit Bayan Villa, Seri Kembangan, Selangor.
Mengetengahkan prinsip moden dan ringkas, wanita berusia 32 tahun ini memberitahu, dia serta suaminya, Muhd. Nazri Mohd. Setefarzi, 34, lebih gemarkan ruang yang tidak sarat dengan perabot.
Mereka juga tidak menyukai ornamen kecil malah menganggap elemen hiasan itu sebagai perangkap habuk.
“Dekorasi ringkas bukan sahaja mudah dikemas tetapi ia juga lebih praktikal memandangkan anak tunggal kami, Faiz Muhd. Nazri, enam tahun, masih lasak bermain lebih-lebih lagi jika sepupu-sepupunya bertandang ke mari,” ujar Shareeza.
Mula mendiami unit ini sejak tahun 2010, Shareeza ada cerita tersendiri di sebalik penataan gaya kediamannya.
“Semasa mendapat kunci rumah ini, kami sekeluarga menetap di Miri, Sarawak.
“Ketika itu saya masih bekerja dengan Petronas, begitu juga dengan suami. Kami ambil cuti lebih kurang sebulan untuk melakukan sedikit pengubahsuaian di bahagian dapur dan menghiasnya mengikut cita rasa kami.
Ditegur
“Kami pergi ke beberapa gedung perabot dan membeli pelbagai barang di satu tempat,” beritahu Shareeza yang diberikan peluang sepenuhnya oleh Muhd. Nazri untuk menentukan rekaan perabot dan memilih kelengkapan rumah.
|
|
Memandangkan sebelum ini mereka tinggal di Miri, kesemua kelengkapan di rumah ini adalah serba baharu.
“Oleh kerana kos berpindah dan pengangkutan agak tinggi, kami mengambil keputusan untuk menjual sahaja perabot dan kelengkapan rumah di Miri.
“Hasilnya dapat juga kami gunakan untuk membeli barangan baharu di sini,” kata Shareeza.
Memilih merah, hitam dan putih gading sebagai rona asas tata rias, wanita ini ternyata lebih mementingkan kesepaduan warna daripada rekaan dan gaya perabot.
“Saya tidak cerewet dalam memilih perabot atau jenis fabrik untuk langsir asalkan warnanya sama seperti yang dimahukan,” katanya yang memberitahu tindakannya menggunakan langsir berwarna hitam pernah mendapat teguran sinikal.
Begitupun, ia tidak mematahkan semangat Shareeza untuk menghias kediaman secara berbeza.
“Saya terima teguran itu dengan fikiran terbuka. Bagi saya, apa yang lebih penting ialah kepuasan peribadi kerana saya yang banyak menghabiskan masa di rumah ini,” katanya.
Tiga balkoni
Selain langsir hitam, Shareeza turut memilih set sofa dan kabinet televisyen daripada warna yang sama. Sementara itu, set meja makan pula memperlihatkan gabungan putih gading dan hitam mendominasi ruang lantai bawah.
Selari dengan lokasi menjamu selera itu, terdapat binaan kabinet dapur yang lengkap dengan mini bar yang digarap daripada rona yang sama.
Menarik tentang rumah yang mempunyai empat bilik ini, terdapat tangga dengan tiga anak mata yang menjadi penghubung di antara lantai bawah dan tingkat atas.
Tingkat bawah rumah satu setengah tingkat ini menempatkan ruang makan, dapur, dua buah bilik air dan tiga buah bilik, dua daripadanya bilik tidur manakala satu bilik dijadikan stor. Di lantai atas pula, terdapat ruang tamu, bilik tidur utama dan ruang bekerja.
Berehat sebentar di ruang tamu yang didominasi warna hitam dan merah ini, kemasan kertas dinding daripada warna terang menaikkan lagi seri dinding sekali gus menjadikannya sebagai titik fokal di ruang terbabit.
Antara kelebihan lain di unit yang dibeli Shareeza dan suaminya ini, ia mempunyai balkoni di tiga sudut pemandangan berbeza. Balkoni utama yang terletak di sebelah ruang tamu memberi peluang kepada pemilik kediaman untuk bersantai sambil menikmati landskap taman yang mengasyikkan.
Selain tanaman pohon-pohon renek yang meredupkan ruang antara blok-blok kediaman, terdapat juga ornamen air yang membangkitkan elemen tropika di ruang tersebut.
Menginjak ke bilik tidur utama yang terletak bertentangan dengan ruang tamu, kamar ini dihias indah dengan padanan kemasan putih dan merah.
Untuk menimbulkan suasana lebih romantis, kertas dinding berwarna ungu cerah dipilih untuk melatari ruang tidur.
Sementara itu di bilik Faiz, warna biru dipilih menjadi tema. Menjelaskan lagi identiti sebagai bilik tidur kanak-kanak lelaki, katil berbentuk kereta lumba dipilih lengkap dengan miniatur adiwira di susun kemas di kepala katil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: