
BERLATAR BELAKANGKAN konsep dekorasi moden serta klasik, Hotel Holiday Villa & Suites, Subang Jaya, Selangor masih ‘segar’ walaupun bakal berusia 25 tahun tidak lama lagi.
Hotel yang menjanjikan landskap tasik memukau menawarkan lebih 300 bilik dengan harga serendah RM250.
Krew Jurnal berpeluang menetap hampir seharian di hotel tersebut.
Sebaik melangkah memasuki lobi utama, pandangan mata terus terarah kepada kolam renang besar yang bersaiz olimpik.
Untuk anak-anak jangan khuatir kerana ada kolam khas disediakan.
Tidak cukup sekadar kolam renang, anda juga boleh duduk berehat di meja dan kerusi kayu di bawah rimbunan pokok besar menghasilkan suasana yang redup.
Pokok-pokok kelapa, palma dan dukung anak pasti membuai perasaan seperti berada ditepi pantai.
Pengurus Perhubungan Awam Holiday Villa Hotel & Suites, Mazlin Abdul Malik memberitahu, jika pengunjung bernasib baik, mereka dapat melihat tupai bermain-main di sekitar kolam dan jika haiwan itu kurang bernasib baik ada yang akan terjatuh ke dalam kolam renang.
“Malah, burung-burung yang terbang dengan suara berkicau sebelum singgah di pokok kelapa dan palma di tepi kolam,” ceritanya.
Bagi mereka yang gemar bersenam, kemudahan gimnasium, gelanggang tenis, badminton, skuasy, ping pong pasti menjadi medan memerah keringat sehingga puas.
![]() |
| MANDI untuk melepaskan tekanan seharian. |
Urut tekanan
Terletak bersebelahan, Ambaras Relaxation Spa yang berkonsepkan gaya Bali klasik dan kontemporari pasti menjadi sasaran individu yang berhasrat menghilangkan lenguh-lenguh badan.
Sambil menikmati urutan suasana tenang pasti terlekat di sanubari kerana spa itu dikelilingi dengan rimbunan pohon yang menghijau serta tiupan angin sepoi-sepoi bahasa.
Terasa seperti di Bali, Indonesia kerana persekitarannya masih mengekalkan ciri tradisional.
Alunan muzik klasik selain bunyian unggas di hutan cukup melegakan walaupun sekadar dimainkan dari pemain video cakera padat.
Faktor permainan warna lampu terang dan gelap serta pencahayaan semula jadi juga antara ikon penarik spa tersebut.
Jangan pula terkejut kerana terdapat sesi urutan selama 30 minit iaitu urutan menghilang tekanan menggunakan minyak zaitun di bahagian tengkuk, bahu dan belakang badan dengan kadar RM50 sahaja.
Bersiar-siar sekitar hotel ini membuang persepsi hotel tembok bangunan semata-mata.
Patung klasik zaman Rom, air pancut, pokok sarang burung, pokok bunga kertas cukup ideal untuk mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan berkonsepkan perkahwinan dalam taman.
Meja dan kerusi berwarna hitam berukir yang bermotifkan ukiran bunga berdekatan pokok-pokok tersebut membuatkan suasana seperti di Eropah.
Tarikan kubah berpasak empat tiang berbentuk separuh bulat disulam dengan lampu-lampu hiasan adalah lokasi menarik pasangan pengantin bergambar untuk mengabadikan saat manis itu.
Hakikatnya, suasana pasti akan menjadi lebih romantis bagi mereka yang ingin bermadu kasih ditemani lampu neon dan hiasan lampu berwarna warni.
Boling dan bilik
Perbezaan utama hotel ini berbanding hotel lain ialah kemudahan pusat bermain boling moden yang dibuka bukan sahaja kepada pelanggan tetapi juga orang awam.
Harga bagi satu permainan bermula daripada RM5 hingga RM8 dengan kemudahan 10 lorong.
Sudut menikmati makanan pula terdapat restoran yang menyediakan makanan Cina dan Jepun iaitu Restoran The Inn of Four Seasons.
Soal halal bukan menjadi isu kerana semua makanan disediakan oleh ketua chef berketurunan Melayu yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam menyediakan makanan tersebut.
Jika ingin menguji suara atau bersantai bersama teman-teman sambil mendengar alunan muzik live band, pelanggan bolehlah berkunjung ke La Vida Lounge.
Sudah puas berjalan dan ingin melelapkan mata kedatangan anda ke bilik tidur akan disambut oleh kuntuman bunga ros merah, mawar dan bunga teluki yang harum semerbak baunya. Semua itu diletakkan dalam sebuah bekas putih berisi air.

Malah, konsep hiasan bilik dengan warna kuning keemasan menampilkan ciri eksklusif selain penggunaan sofa berwarna merah.
Bilik hotel juga menyediakan kemudahan dwipilihan iaitu seseorang boleh melakukan tugas tertentu dengan penggunaan meja kerja dan set sofa untuk bersantai.
Televisyen dan potret gambar berciri alam semula jadi juga menjadi pelengkap bilik.
Sebaik sahaja menyelak langsir pemandangan tasik pasti membuatkan hati anda menjadi tenang dan melupakan kesibukan tugas seharian.
Hotel ini juga bijak menggunakan karpet lantai yang berwarna garang seperti merah serta bercorak kontemporari selain penggunaan marmar berwarna-warni mengikut jenis-jenis bilik.
Uniknya, terdapat jam loceng elektronik yang membantu pelanggan bangun pagi sebagai persiapan awal agar tidak terlepas menikmati pelbagai hidangan sarapan.
Ingin tahu lebih, datanglah sendiri!

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: