Sunday, December 18, 2011

Santai ditemani landskap hijau


Gambaran hijau dan moden menyambut kehadiran tetamu.


SATU ketika dahulu, nama pekan Gambang mungkin agak asing pada sebahagian besar masyarakat di Malaysia. Namun, pembukaan Bandar Resort Bukit Gambang yang terletak kira-kira lima kilometer dari pekan berkenaan mengubah segala-galanya. Daripada sebuah pekan yang dikelilingi hutan bakau, kini pekan Gambang semakin mekar sebagai destinasi percutian keluarga. Tidak hairanlah, saban minggu lokasi itu sentiasa sesak dengan kehadiran pengunjung yang mahu berlibur sambil menikmati keindahan alam semulajadi.

Melangkah ke alam moden yang dikelilingi tumbuhan semula jadi adalah gambaran yang mula-mula terfikir ketika kaki melangkah masuk ke resort Bukit Gambang ini.

Bermotifkan unsur moden, resort mewah ini mengajak kita untuk menempuhi satu pengalaman baru dan meninggalkan segala kekusutan ketika berada di kota.

Tempat peranginan dikelilingi hutan mempunyai ciri eksklusif hasil gabungan moden dan landskap tumbuhan hijau.

Ia sememangnya sesuai untuk mereka yang mengidamkan layanan mewah dan suasana damai lagi menenangkan.

Walaupun berfungsi sebagai tempat peranginan, hiasan dalamannya lebih bercirikan sebuah kediaman.

Pengurus Besar Bandar Resort Bukit Gambang, Shepard Ku mahukan sesiapa sahaja yang hadir dapat menikmati ketenangan di situ seperti berada di kediaman sendiri.

"Bukan itu sahaja mewah ini juga sesuai untuk keluarga yang inginkan kedamaian hidup di samping menikmati keindahan panorama yang diserikan dengan tumbuhan hijau. Selain bermain di Taman Tema Air Bukit Gambang dan aktiviti di hutan, kami mahu pelanggan merasai keindahan di resort ini," ujarnya.

Landskap

Pengalaman indah pasti terpahat sebaik sahaja melihat keindahan landskap taman botani.

Ia tampak lebih menarik dengan tumbuh-tumbuhan hijau kecil dan besar yang terdapat di setiap ruang.

Memberi pandangan hutan yang tenang , pengunjung pasti terpukau dengan keindahannya.

Sesuai buat mereka yang mahu mencari persekitaran yang segar dan semula jadi, resort ini melengkapkan percutian anda sekeluarga.

Pada bahagian luar resort, hampir sebahagian keluasan tanah dipenuhi dengan landskap yang indah dan meredupkan mata memandangkan.

Lebih mengasyikkan resort yang indah mempunyai kelengkapan seperti sebuah kediaman seperti bilik tidur, dapur ringkas, ruang tamu dan beranda. Biarpun sederhana, ternyata resort berwarna putih ini sesuai untuk menyambut ketibaan tetamu.

Eksklusif

Mengintai ke dalam vila, kita seperti berada di dalam kediaman sendiri.

Ruang tamu dan bilik tidur kelihatan tenteram dan eksklusif.

Tidak mahu ruang menjadi sempit dengan terlalu banyak barangan, pihak pengurusan resort hanya meletakkan barangan dan perabot memadai dengan apa yang perlu sahaja.

Ketenangan dapat diperolehi apabila melihat resort berkenaan bersih, kemas dan tidak terlalu berserabut.

Pilihan cat berwarna krim juga sesuai dengan warna perabot kayu.

Lihat sahaja dekorasi ruang tamu dan bilik tidur yang lapang dan elegan mampu memberi ketenangan.

Dengan pemandangan menerusi beranda setiap tetamu dapat mengamati keindahan tempat peranginan ini.

Tetamu dijanjikan dengan kebebasan dan penghormatan dalam hak untuk bersendirian. Pada masa yang sama tetamu dimanjakan dengan pengalaman yang khusus dicipta untuk keseronokan.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah mengunjungi Taman Tema Bukit Gambang.

Berada di taman tema itu, pengunjung boleh merasai sendiri keunikan pelbagai segmen permainan yang setiap satunya mempunyai kelainan tersendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: