Sunday, December 18, 2011

Kuning jagung buat Norzita riang




BIASANYA wanita meminati warna lembut merah jambu atau kuning air tetapi lain pula dengan Norzita Mahdzir. Ibu empat anak ini suka benar dengan warna kuning terang.

Pantang melihat barang perhiasan berwarna itu, dia sanggup menghabiskan duit untuk memilikinya. Sayangnya, tidak banyak perhiasan atau barangan yang dihasilkan dalam warna kuning. Lantaran dia memberi tumpuan kepada hanya satu barang iaitu perhiasan replika tumbuhan yang juga makanan popular rakyat Malaysia - jagung.

Sejak 1998, Norzita mengumpul perhiasan replika jagung pelbagai saiz. Yang pasti, ia berwarna kuning!

Bermula daripada gambar dan bekas tisu, kini dia berjaya mengumpul lebih 100 koleksi jagung.

"Saya perhatikan ramai kawan suka menghias ruang dapur atau tempat makan dengan replika buah-buahan seperti anggur, epal dan sebagainya. Oleh kerana mahu mencari kelainan di samping minat terhadap benda berwarna kuning, saya cuba kumpul jagung,'' katanya.

Misi mencari jagung diteruskan setiap kali dia ada kelapangan atau bercuti di tempat orang. Setiap tempat yang dilawati, pasti ada saja ole-ole jagung dibawa pulang.

Norzita juga tidak menetapkan harga untuk setiap koleksinya asalkan ia menarik dan belum pernah dimiliki.

Antara replika jagung yang dimiliki kini berbentuk mangkuk, tabung syiling, mainan, pinggan, klip dan rantai kunci. Kebanyakannya diperbuat daripada seramik, logam dan kayu.

Ditanya kesukaran mendapatkan koleksinya, kakitangan Unit Cukai Pintu Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) ini memberitahu, pada peringkat awal replika jagung yang diperoleh agak terhad.

Namun, dengan bantuan sanak-saudara dan juga rakan-rakan yang mengetahui tentang minatnya, koleksi itu semakin bertambah.

"Banyak juga daripada koleksi ini diperoleh daripada rakan-rakan yang menghadiahkan sempena hari-hari istimewa,'' katanya.

Norzita kini turut berbangga kerana minat mengumpul 'jagung' dikongsi bersama empat anaknya yang berusia antara 9 hingga 24 tahun.

Dengan perkembangan teknologi komunikasi, banyak koleksi jagung kini diperoleh menerusi rakan laman web sosial Facebook.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: