Tuesday, September 13, 2011

Alleycats tumpu latihan bersama OTM


David (duduk) dan anggota-anggota kumpulan Alleycats berharap konsert mereka berjalan lancar dan mendapat sambutan para penonton.


TIGA hari lagi, peminat setia kumpulan legenda tempatan, Alleycats bakal menyaksikan sekali lagi persembahan kumpulan tersebut di pentas berprestij dunia, Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Bermula 16 hingga 18 September ini, persembahan yang dinamakan Konsert Sampaikan Salam Alleycats (KSSA) itu akan menampilkan buat julung kalinya kumpulan berkenaan bergabung tenaga bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).

Justeru, penyanyi utamanya, Datuk David Arumugam ketika dihubungi memberitahu, dia bersama anggota-anggota Alleycats yang lain sedang bertungkus-lumus membuat persediaan rapi agar kerjasama sulung antara dua pihak itu berjalan lancar.

David menambah, pada penghujung sesi latihan untuk konsert itu, kumpulannya memberi fokus terhadap latihan bersama OTM kerana mereka tidak mahu kekok pada malam sebenar persembahan tersebut.

"Untuk konsert tiga malam berturut-turut itu, Alleycats akan berkongsi pentas bersama OTM. Jadi, ia akan menjadi malam penting bagi kedua-dua pihak mempamerkan persembahan yang terbaik buat para penonton yang sanggup mengeluarkan wang ringgit menonton konsert kami itu.

"Lantas, kedua-dua pihak sama ada Alleycats mahu pun OTM mahukan yang terbaik agar para penonton berpuas hati dan berbaloi menonton persembahan itu kelak," kata David mewakili kumpulannya.

Kerjasama unik

Mengulas pengalaman Alleycats berkerjasama dengan OTM pula, David mengatakan, setiap ahli kumpulannya ternyata gembira dan teruja dengan kolaborasi tersebut.

Jelasnya, gabungan antara kumpulannya bersama OTM bagi menjayakan KKSA adalah unik dan begitu berbeza berbanding dengan beberapa konsert yang pernah mereka jayakan.

Apatah lagi, ujar David, pada ketiga-tiga malam konsert itu, terdapat satu segmen yang dinamakan 1Malaysia di mana ketika itu beberapa buah lagu dalam tiga bahasa utama, Melayu, Mandarin dan Tamil akan dipersembahkan kepada para penonton.

"Lalu, gabungan ini mempunyai signifikan yang tersendiri bagi melambangkan kepelbagaian kaum dengan elemen muzik asli tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang terdapat di Malaysia.

"Segmen tersebut begitu penting kerana ia secara tidak langsung melambangkan kumpulan Alleycats yang dianggotai oleh pelbagai bangsa dan ia bertahan sehingga 43 tahun lamanya.

"Sebab itulah tumpuan penuh harus diberikan terhadap kolaborasi ini bagi benar-benar mewujudkan suasana harmoni masyarakat majmuk 1Malaysia," jelasnya kepada Hits.

Sebelum ini, selama lebih dua bulan, Alleycats menjalankan latihan di sebuah kelab, Sparx di Petaling Jaya dan mula berpindah lokasi ke IB pada hari ini untuk melakukan raptai penuh.

David berharap, latihan yang dilakukan di IB akan memantapkan lagi persediaan mereka memandangkan kecanggihan peralatan dan kelengkapan yang disediakan di pentas antara yang termoden dunia itu.

Selepas Konsert Amal Senandung Semalam pada 2008 yang berjaya mendapat sambutan ramai, David juga mahukan penganjuran konsert kali ini mengecapi kejayaan yang sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: