Friday, September 30, 2011

Najwa Latif buang ayah?

Belum pun setahun menempa nama dalam arena muzik tempatan, Najwa Latif dihambat kontroversi apabila gadis berusia 16 tahun ini dikatakan sudah tidak berhubung dengan ayah kandungnya sejak beberapa bulan yang lalu.

Bukan itu sahaja, malah penyanyi Cinta Muka Buku ini, dikatakan telah membuang ayah kandungannya dalam kehidupannya. Perkara ini berlaku berikutan satu krisis keluarga yang berlaku dan Najwa tidak dapat menerima tindakan ayahnya ketika itu.

Krisis ini dikatakan berpunca daripada teguran ayah Najwa terhadap dia dan kakaknya, Syafiqa yang bertindak sebagai pengurusnya. Zass mendapatkan ayah Najwa, Abdul Latif Ismail bagi mendapatkan kepastian mengenai perkara itu.

Namun, Abdul Latif seorang guru di Kota tinggi, Johor, ini tidak mahu memberikan sebarang komen berhubung perkara berkenaan, tetapi berharap dapat bertemu anak-anaknya sebelum berangkat ke Tanah Suci pada awal Oktober ini.

"Saya tidak mahu cakap apa-apa. Saya bimbang, masyarakat akan berfikir bukan-bukan mengenai keluarga saya dan anak-anak saya. Lagi pula Najwa sedang membina namanya. Apa yang berlaku, saya reda, mungkin ini sudah ditetapkan kepada saya.

"Cuma saya harap sangat dapat bertemu anak-anak saya sebelum ke sana. Saya tidak tahu apa nasib kita nanti. Adakah sihat, sakit atau menemui ajal di sana.

"Saya berdoa dapat berjumpa dengan anak-anak saya, itu sahaja," katanya yang tidak mahu berbicara mengenai masalah yang melanda keluarganya itu.

Najwa ketika ditemui berkata, isu itu terlalu peribadi kerana melibatkan keluarga dan enggan mengulas lanjut.

"Saya minta maaf, ini terlalu peribadi untuk diceritakan. Saya lebih selesa menutup mulut dan tidak mahu memberi sebarang komen. Jika ada pihak yang mahu bercakap, itu terpulang.

"Tetapi saya lebih selesa berdiam diri dan memberi fokus kepada pelajaran dan kerjaya saya yang baru bermula. Saya tidak mahu campurkan kisah keluarga, pelajaran dan kerjaya," katanya.

Mengakui ibu bapanya sudah empat tahun berpisah, Najwa berharap cerita ini dapat dihentikan dan tidak mengundang apa-apa spekulasi lagi.

Ditanya adakah permintaan ayahnya untuk bertemunya serta adik beradiknya akan terlaksana, Najwa hanya terdiam.

"Seperti yang saya jelaskan, perkara ini terlalu peribadi. Sukar untuk saya katakan ya atau tidak. Cuma apa yang boleh saya katakan, buat masa ini, hati kami masih belum bersedia," katanya yang ditemani kakaknya Syafiqa.

Sementara itu, wakil syarikat rakamannya NAR Records Azahari yang turut menemani Najwa dengan 'selamba' mencelah perbualan dan mahu cerita ini tidak dikeluarkan. Ditanya mengenai sejauh mana syarikat rakaman mengetahui hal ini, jawabnya:

"Kami memang tahu mengenai masalah keluarganya tapi kami tidak mahu masuk campur dengan masalah mereka dan biar mereka urus sendiri," katanya dengan nada agak keras.

Najwa juga menerima anugerah Bakat Anak Muda Selangor baru-baru ini akan muncul dengan single keduanya Carta Hati.

Filem Ombak Rindu bakal cetus fenomena

Selepas kejayaan filem Lagenda Budak Setan (LBS) yang memberi impak sebagai sebuah filem drama percintaan yang pecah panggung, mendorong pihak Tarantella Pictures untuk meneruskan fenomena mengadaptasi novel ke medium filem.

Jalan cerita dan konfliknya agak melankolik dengan kisah perjalanan hidup dan percintaan yang disulam dengan emosi dan tragis dalam novel karya Fauziah Ashari yang dihasilkan kira-kira 12 tahun lalu, begitu menarik perhatian Tarantella untuk diadaptasikan.

Cerita yang membawa tema drama percintaan ini memulakan penggambarannya mulai pertengahan Julai tahun lalu, menggunakan lokasi sekitar Kuala Lumpur, Alor Setar, Yan, Kuala Kerpan, Langkawi, Padang Besar (Perlis) dan Danok (Thailand). Ombak Rindu yang ditangani Osman Ali ini, diterajui oleh Aaron Aziz sambil diapit dua aktres terkenal tanah air, Lisa Surihani dan Maya Karin.

Jika Sharad Sharaz sudah berjaya mengangkat novel LBS ke filem, kejayaan itu mahu diulang oleh Osman Ali untuk percaturan terbarunya ini.

Bagi Osman Ali, yang juga antara pembaca naskah tulisan Fauziah itu, mengakui tawaran mengangkat karya sarat emosi itu ke medium lebih luas sebagai cabaran besar untuknya menterjemah pengorbanan cinta wanita dari sisi berbeza.

“Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, saya menyahut cabaran Sharad Sharan selaku penerbit untuk menggarap novel yang diikuti ramai peminat.

Kisahnya masih menjurus kepada pergolakan hidup Izzah, kemelut dalam diri Hariz, kini merasai cinta isterinya itu selain tersepit antara permintaan keluarga dan kemahuan diri. Bagaimana pun, kronologi kisah masih tiada perubahan, cuma ia lebih sarat dengan emosi,” katanya.

Osman mengakui, antara cabaran lain adalah ‘meMelayukan’ aktres berdarah kacukan, Maya Karin yang menunjangi filem ini baik dari segi karakter, penampilan mahu pun lenggok percakapannya malah dalam kisah ini Izzah dizahirkan bertudung selain pandai mengaji.

Pengarah ini menggunakan kepakaran Ellie Suriati sebagai pembimbing barisan pelakon untuk membentuk Maya sebagai Izzah serta ‘melarikan’ Lisa Surihani dengan karakter gadis agresif dan ia tidak sesukar disangka, malahan menakjubkan apabila masing-masing cukup menyerlah.

“Kami sengaja meletakkan Maya sebagai gadis kampung manakala, Lisa menjadi agresif untuk mencari kelainan kerana sebelum ini belum pernah mereka mendapat watak yang sangat kontras. Karakter berlawanan ini antara warna yang menyerlahkan lagi perjalanan Ombak Rindu.

“Selain watak, keutamaan saya adalah syot cantik namun bagi saya antara momen yang cukup mencabar adalah penggambaran di tengah laut di Langkawi di mana satu kren besar di pasang semata-mata mahu mengambil sudut terbaik babak dalam kapal layar,” katanya mengenai filem yang mengambil masa 45 hari untuk disempurnakan itu.

Osman yang mengakui cukup teruja dengan pembikinan Ombak Rindu menyatakan Izzah sebagai simbolik nasib kaum wanita yang sering menjadi mangsa keadaan, ingin dicintai namun perasaan itu kadang-kadang menuntut pengorbanan yang tidak berpenghujung.

Cinta dan kasih sayang masih merupakan tema pokok dalam kisah yang menyayat hati ini. Bermula dari zaman remaja Izzah di kampung, berdepan dengan masalah hidup dan keluarga, sehinggalah ke alam perkahwinannya tdilanda masalah.

Kegadisannya direnggut lelaki durjana akibat sikap tidak bertanggungjawab bapa saudaranya yang menjualnya dek kerana hutang judi.

Sebagai perempuan, Izzah juga mendambakan kasih sayang sejati. Apakah Izzah memang dilahirkan untuk menderita selamanya? Masih adakah cinta untuk dirinya? Saksikan apa yang berlaku selanjutnya di pawagam 1 Disember ini.

Wardina jadi mentor Diana

Dengan izin ALLAH SWT, saban hari semakin ramai artis wanita tempatan yang berhijrah ke arah imej Muslimah. Mungkin sudah tiba masanya untuk mereka mengubah hala hidup masing-masing.

Selepas tekad membuat keputusan untuk bertudung pada 19 September, Isnin lalu, pelakon yang juga model, Diana Amir, 25, berkata, hidupnya kini semakin tenang selepas melakukan penghijrahan besar dalam dirinya itu.

Di sebalik penghijrahan itu, selain keluarga, ada insan lain yang sedia memberi dorongan kepada Diana. Insan itu bukanlah asing dalam industri seni, tetapi cukup terkenal dengan imejnya yang sopan santun serta berwibawa tinggi. Nama Wardina Safiyyah, 32, menjadi sebutan sejak Diana mula melakukan penghijrahan. Menerusi portal hiburan dan laman sosial Twitter, Wardina tidak putus-putus memberi sokongan kepada Diana.

Akui Diana, Wardina banyak membantunya, baik dari segi nasihat, ilmu agama dan berkongsi pengalaman menjalani kehidupan wanita Muslimah. Malah, persahabatan antara mereka bertambah erat. Bagi Diana, Wardina adalah mentornya kini.

“Kak Wardina artis pertama yang ucap tahniah kepada saya. Semasa menerima ucapan itu, saya rasa sangat terharu apabila artis senior sepertinya sudi menjadi penasihat saya.

“Dia juga memperkenalkan saya kepada beberapa rakannya yang aktif dengan aktiviti usrah anjurannya setiap minggu.

“Insya-ALLAH, saya akan sertai usrah yang akan datang. Dengan bimbingan guru agama yang ada, saya dapat mendalami Islam,” kata Diana yang pernah bekerjasama dengan Wardina menerusi drama Impian Illyana tajaan Sunsilk pada 2004.

Diana berkata, dia turut kagum dengan Wardina yang memberikannya ayat suci al-Quran untuk dijadikan pegangan dan ingatan.

“Sungguh telah datang kepadamu pelajaran al-Quran dari Tuhanmu. Penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada (jiwa). Dan petunjuk serta rahmat bagi orang beriman”

Demikian ayat suci yang dipetik daripada surah Yunus, ayat 57.

Daripada terjemahan ayat tersebut, Diana mengakui jiwanya tersentuh tatkala membacanya.

“Sayu hati saya apabila pertama kali membacanya. Ketika itu, baru saya tahu betapa kerdilnya saya di mata Yang Maha Esa,” katanya yang kini semakin banyak membaca buku berkenaan ilmu agama.

Sementara, Wardina meluahkan rasa gembira dengan keputusan Diana untuk berhijrah di usia yang muda. Kata Wardina, sebagai artis senior, dia tidak keberatan untuk mendorong dan memberi tunjuk ajar kepada Diana mendalami agama Islam.

"Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mendorong sesama artis. Apatah lagi saya menganggapnya seperti adik. Malah kami juga sudah lama kenal. Dengan penghijrahan barunya ini, akan membuatkan kami lebih rapat. Saya akan cuba bantu apa yang termampu," kata Wardina.


Merancang ke tanah suci


Seiring dengan penghijrahannya, pelakon flem 3,2,1 Cinta ini merancang untuk ke tanah suci bagi mendekati dirinya kepada ALLAH SWT.

“Insya-ALLAH, sekiranya ada rezeki dan tiada halangan, saya bercadang ingin ke tanah suci untuk mengerjakan Umrah pada awal tahun depan sebab saya diberitahu satu agensi bahawa ketika ini tiada kekosongan.

“Saya akan pergi dengan siapa, itu tidak pasti lagi. Tetapi jika berkemampuan, saya ingin bawa sekali ibu dan bapa saya. Harap-harap saya dapat mencari ketenangan jiwa yang sebenar di sana.

“Bukan itu saja, saya juga takut nikmat hidayah yang diberi Yang Maha Esa ini ditarik balik. Sebab itu saya berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu agama walaupun sibuk dengan karier,” katanya dalam satu sesi fotografi bersama Zass.


Tidak buang kawan lama

Bukan sahaja perwatakannya berubah selepas bertudung, malah Diana menceritakan aktiviti sehariannya turut berbeza daripada sebelum ini yang sering menghabiskan waktu terluang dengan rakan-rakan di luar.

Katanya, kegiatan melepaknya juga sudah dikurangkan buat sementara waktu memandangkan Diana sibuk mempelajari ilmu agama Islam, tetapi tidak sesekali untuk pelakon berusia 25 tahun ini membuang rakannya daripada hidupnya.

“Sekarang saya lebih menjaga adab dan pertuturan kerana bagi saya, bertudung bukan sahaja di luaran, tetapi dalam hati juga perlu berhijab.

“Rata-rata, semua rakan menyambut baik penghijrahan saya ini dan mereka ada juga minta saya kongsikan pengalaman dan pendapat untuk turut berubah. Saya sayang ahli keluarga dan kawan-kawan semua.

“Tolong jangan salah sangka, saya berubah bukan kerana fesyen dan tudung semata-mata,” tegasnya.

PruBSN hasrat kuasai pasaran

Prudential BSN Takaful berhasrat menguasai pasaran takaful di negara ini dengan menjadi nombor satu dalam segmen tersebut seiring dengan pengenalan produk terbarunya, PruBSN Link Series.

Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Bhd, Azim Mithani berkata, pihaknya mencatatkan penguasaan pasaran 26 peratus pada suku pertama tahun ini, dengan kedudukan nombor dua dalam pasaran takaful.

Menurutnya, pelan perlindungan PruBSN Link Series adalah satu produk inovatif dengan tiga pelan unik; SmartLink, FirstLink dan TakafulLink yang direka khas untuk setiap peringkat umur.

“Sebagai peneraju pasaran Takaful, kami berasa perlu untuk memperkenalkan produk sesuai dengan pelbagai sasaran pasaran yang bukan hanya dapat menambah pilihan produk yang kami tawarkan, bahkan menawarkan produk kepada pelbagai segmen pelanggan dalam pelan perlindungan dan pelaburan.

“Justeru, sempena sambutan ulang tahun kelima kami tahun ini, Prudential BSN Takaful memperkenalkan produk yang menyediakan perlindungan bernilai dan menawarkan kepada pelanggan untuk memilih jenis pelan perlindungan dan pelaburan yang mereka inginkan,” katanya semasa pelancaran produk itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Kajian Produk Prudential BSN Takaful Bhd, Zailan Arshad.

Azim berkata, pihaknya juga menyasarkan produk baru itu dapat mencapai kejayaan sama seperti PruBSN Takafulink yang bersaiz kira-kira 90 peratus.

Puchong jadi bandar judi


PREMIS tingkat dua rumah kedai di sekitar kawasan pusat bandar Puchong banyak dijadikan pusat mesin judi haram.


PUCHONG – Di sebalik pembangunan pesat di bandar ini, ia rupa-rupanya menjadi syurga kepada sindiket mesin judi haram yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di sekitar kawasan berkenaan.

Tinjauan Kosmo! di kawasan pusat bandar, Puchong Perdana dan Puchong Permai sahaja mendapati terdapat lebih daripada 10 premis haram yang kebanyakannya beroperasi di premis rumah kedai.

Berselindung di sebalik papan tanda perniagaan, pemilik pusat judi haram didakwa semakin bermaharajalela apabila berani membuka perniagaan selama 24 jam sehari semata-mata mahu mengaut keuntungan besar.

Malangnya, mereka yang menjadi mangsa adalah golongan remaja dan pelajar sekolah yang merupakan pengunjung tegar ke premis itu.

Menurut sumber, pemilik premis kebanyakannya menyewa bilik di tingkat dua premis rumah kedai dan mengubahsuainya menjadi bilik memuatkan mesin-mesin slot judi.

Selain itu, pemilik premis memasang kamera litar tertutup bagi memantau serbuan pihak berkuasa selain mengupah Tonto yang sentiasa mundar-mandir berhampiran kawasan premis terbabit.


BANGUNAN rumah kedai ini juga menjadi lokasi banyak premis mesin judi haram yang dikunjungi pelajar sekolah di sekitar Puchong.


Seorang penduduk, Ismail Hamzah, 41, berkata, dia sendiri pernah melihat pelajar sekolah yang memakai pakaian seragam masuk ke premis tersebut pada waktu persekolahan.

Menurutnya, gejala yang berlaku menunjukkan pemilik premis tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa yang melarang mereka di bawah usia 18 tahun mengunjungi pusat hiburan mahupun perjudian.

“Kalau sudah berniaga secara haram, apa sahaja mereka akan lakukan asalkan dapat untung. Keadaan ini jika dibiarkan sudah pasti akan menyebabkan berlakunya gejala sosial dan ponteng sekolah yang semakin serius di bandar ini,” katanya di sini semalam.

Larang petani guna kalsium karbida


Mohamed idris menunjukkan buah-buahan tempatan yang selalu diperam oleh petani dengan menggunakan kalsium karbida di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Amalan memeram buah-buahan menggunakan kalsium karbida di kalangan petani di negara ini didakwa mampu menghilangkan daya ingatan pengguna termasuk kecacatan bayi ketika lahir.

Hasil kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) itu mendapati bahan kimia tersebut kini digunakan secara meluas oleh petani yang mengusahakan tanaman pisang, betik, nenas, cempedak, mangga dan ciku supaya cepat ranum sebenarnya merbahaya.

Difahamkan, secara umumnya penggunaan kalsium karbida adalah untuk kerja-kerja kimpalan, memateri keluli besi dan berfungsi menyalakan api pelita.

Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata, pemakanan buah yang diperam dengan bahan kimia arsenik dan fosforus itu bukan sahaja beracun kepada pengguna malah boleh memudaratkan kepada mereka yang mengendalikannya.

“Antara kesannya kepada saraf dalam jangka masa pendek adalah sakit kepala, pening, mengantuk dan kejang otot manakala jangka panjangnya pula ialah hilang daya ingatan.

“CAP terperanjat berikutan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Kesihatan Malaysia masih belum membendung bahaya ini sungguhpun telah dibangkitkan sejak 36 tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

MASkargo tingkat dagangan di Asia


JAMALUDIN (kanan) dan Naib Presiden Operasi Kargo MASkargo, Ibrahim Salleh memeriksa kargo yang dibawa dari Narita menggunakan pesawat A330-200F baharu di Bayan Lepas kelmarin.


GEORGE TOWN – MASkargo Sdn. Bhd. (MASkargo) menjangkakan pertumbuhan dagangan sebanyak 25 peratus melalui penerbangan di rantau Asia pada tahun 2012, sekaligus membuka pasaran baharu di negara ini.

Naib Presiden Kanan Pengurusannya, Jamaludin Ismail berkata, langkah strategik itu diambil bagi memperkukuhkan lagi pasaran dengan negara-negara terbabit ekoran kemerosotan ekonomi yang melanda Eropah baru-baru ini.

Menurut beliau, dengan perolehan empat pesawat baharu jenis Airbus A330-200F, ia mampu membawa kepada perubahan positif dalam modul perniagaan dan operasi MASKargo.

“Pesawat pertama untuk kategori saiz sederhana ini tiba hari ini (Khamis) manakala selebihnya akan diterima pada bulan November ini, Januari dan April tahun depan.

“Pesawat A330-200F ini dijangka meningkatkan kapasiti penerbangan melalui penerbangan ke Jakarta di Indonesia, Narita, Jepun; Hong Kong; Shanghai, China; Amsterdam, Netherlands; Sharjah, Emiriah Arab Bersatu dan Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas majlis ketibaan pesawat pertama Airbus A330-200F dari Narita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas di sini malam kelmarin.

Agrobank peruntuk RM10 juta untuk graduan


WAN MOHD. FADZMI (kanan) menyerahkan zakat perniagaan Agrobank Pulau Pinang kepada Pengurus Besar PUZPP, Dr. Azman Abd. Samad (kiri) dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir di Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Agrobank telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menjayakan program Skim Usahawan Tani Komersial Siswazah (SUTKS) yang ditawarkan kepada graduan universiti tempatan.

Presiden Agrobank, Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman berkata, peruntukan tersebut merupakan tambahan kepada jumlah sama yang telah diberikan untuk menjayakan skim tersebut tahun lalu.

Jelasnya, peruntukan itu akan diberikan dalam bentuk pinjaman kepada pemohon yang layak berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan oleh pihak bank berkenaan.

"Melihatkan kejayaan (pinjaman) tahun lalu, kini kami memperuntukkan RM10 juta untuk diberikan kepada golongan siswazah yang ingin menjalankan perniagaan berasaskan pertanian.

"Setiap pemohon layak mendapat pinjaman sehingga RM50,000 yang akan diberikan secara berperingkat berdasarkan tahap kemajuan perniagaan mereka," katanya selepas merasmikan cawangan Ar-Rahnu Agrobank Bukit Mertajam di sini semalam.

Pada majlis yang sama, beliau telah menyerahkan zakat perniagaan Agrobank Pulau Pinang bernilai RM52,935 kepada Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZPP) dan RM42,622 kepada golongan asnaf dalam bentuk bantuan wang tunai, komputer riba dan bantuan perniagaan.

Pemandu teksi acu pistol samun penumpang


AYOB (kanan) memerhatikan anggota polis memeriksa teksi yang dinaiki dua lelaki yang membawa dua pucuk pistol dan peluru selepas ditahan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, George Town kelmarin.


GEORGE TOWN - Kegiatan jahat seorang pemandu teksi dan rakannya menyamun pelancong asing dan meninggalkan mangsa di kawasan sunyi sejak beberapa bulan lalu tumpas apabila mereka ditahan dalam operasi khas polis di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Cheong Eu di sini kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 38 dan 58 tahun yang bersenjatakan dua pucuk pistol itu ditahan pada pukul 11.45 malam ketika hendak melakukan jenayah dalam teksi yang dinaiki dari Seberang Perai.

Dalam serbuan oleh anggota Cawangan Kongsi Gelap Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu, polis merampas pistol automatik jenis Baretta dan Browning bersama kelopak serta 29 butir peluru kaliber 9mm.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, polis menemui pistol itu di tepi pinggang dan belakang badan dua suspek itu.

Katanya, modus operandi suspek adalah mengambil penumpang terutama pelancong asing dan membawa mereka ke kawasan sunyi untuk disamun sebelum ditinggalkan.

Jelasnya, mereka yang mempunyai rekod jenayah berkaitan bunuh, curi dan dadah ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Lelaki lupus mayat dijel 80 bulan


MOSHAROF (dua dari kanan) dijatuhi hukuman penjara 80 bulan selepas mengaku melupus mayat dua beranak di Mahkamah Majistret Ampang Jaya semalam.


AMPANG JAYA - Seorang lelaki warga Bangladesh dihukum penjara 80 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah atas dua pertuduhan melupuskan mayat seorang wanita dan anak lelakinya di sebuah apartmen di sini bulan lalu.

Majistret Wan Karimah Wan Ab. Ghani memutuskan, tertuduh Mosharof Hossain, 23, dihukum penjara 40 bulan bagi setiap pertuduhan dan menjalani hukuman secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 15 Ogos lalu.

Mosharof didakwa melupuskan mayat wanita Indonesia, Siti Sando, 35, dan anaknya, Mohd. Shukri, 2, pada pukul 11.20 pagi 29 Julai lalu dan pukul 11 pagi 3 Ogos 2011 di rumah Nombor 40, Tingkat 5, Blok Chrysaa, Pangsapuri Astaria, Taman Kosas di sini.

Cuma sempat cat 20 minit


BULATAN menunjukkan palang kren yang patah hingga mengakibatkan Taskimin maut manakala rakannya parah di Banda Hilir, Melaka semalam.


MELAKA – Kerja-kerja mengecat di sini yang dilakukan enam pekerja menggunakan tiga buah kren sejak kelmarin dicemari insiden berdarah apabila seorang maut manakala seorang lagi parah selepas salah satu tiang kenderaan itu patah semalam.

Insiden pukul 10 pagi itu menyebabkan seorang warga Indonesia, Taskimin (gambar), 24, mati di tempat kejadian selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter. Rakan senegaranya, Sustrino, 34, cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Melaka.

Difahamkan, ketika itu, mereka baru 20 minit mengecat bangunan pusat beli-belah Dataran Pahlawan Megamall, Banda Hilir di sini. Kren yang patah itu dikatakan telah digunakan selama 10 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah berkata, kedua-dua mangsa terjatuh ke kaki lima sebuah bank berdekatan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila beban dalam sangkar tidak seimbang dengan kekuatan palang kren yang membawa mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Muhyiddin sarankan SAR diserap di bawah Kementerian Pelajaran


MUHYIDDIN (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Pengerusi Majlis Madrashah Al-Attas Arabiah, Syed Ali Mohamed Al-Attas sempena ulang tahun ke-100 madrasah itu di Ulu Tiram semalam.


JOHOR BAHRU - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan agar Sekolah Agama Rakyat (SAR) khususnya di Johor menyertai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pelajaran bagi membolehkan mereka menikmati peruntukan dan bantuan Kerajaan Pusat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, di samping itu guru-guru SAR akan mendapat tawaran skim gaji yang lebih baik.

"Saya percaya kita perlu bincang sedikit masa lagi, kalau dapat dipersetujui ke Bawah Duli Tuanku (Sultan Johor) sebagai ketua agama.

"Pihak Kerajaan Pusat akan menyediakan peruntukan yang sesuai untuk meningkatkan tahap pendidikan sekolah agama mengikut skim gaji sama dengan sekolah kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 SABK Madrashah Al-Attas Arabiah Johor di Ulu Tiram di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perbincangan di peringkat kerajaan negeri dan Pusat telah dibuat untuk menyerapkan SAR ke dalam SABK.

Katanya, kerjasama antara Kerajaan Pusat dan negeri itu adalah penting ke arah membangunkan sistem pendidikan agama dalam kalangan pelajar.

Mengenai SABK Madrashah Al-Attas Arabiah, Muhyiddin berkata, ia merupakan sekolah agama rakyat yang pertama di Johor menandatangani perjanjian persefahaman dengan Kementerian Pelajaran untuk berdaftar di bawah SABK.

Beliau memberitahu, sekolah berkenaan telah menikmati pelbagai bantuan yang disalurkan kementerian sama seperti sekolah-sekolah harian yang lain merangkumi keperluan guru-guru terlatih, kemudahan pembelajaran, buku teks dan biasiswa.

Sempena sambutan 100 tahun penubuhan madrasah itu, beliau turut bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM270,000 bagi membantu meningkatkan prasarana sekolah tersebut.

Mohd. Raffie bersyukur tidak buta


MUHD. Khairun Aseh (kiri) melawat mangsa simbahan asid, Mohd. Raffie Abdul Latiff di Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Tiada kata mampu diucapkan oleh seorang jurujual minyak wangi yang menjadi mangsa simbahan asid pada hari kelapan Ramadan lalu selain bersyukur kerana mata kanannya berjaya diselamatkan.

Bagi Mohd. Raffie Abdul Latiff, 28, kejayaan sekumpulan doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan pembedahan ke atas mata kanannya sehingga kembali pulih amat tidak diduga sama sekali.

Pembedahan tersebut diketuai oleh Ketua Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif HKL, Dr. Normala Basiron yang sebelum ini turut merawat mangsa renjatan elektrik, Muhamad Hairuman Miskon, 22.

Malah lebih menggembirakan jurujual minyak wangi itu apabila kulit badannya yang melecur akibat terkena asid juga semakin pulih.

"Sejak tragedi itu, saya sudah pasrah mata kanan saya akan buta tetapi tak sangka pula ia boleh pulih. Jadi kedua-dua mata boleh melihat kembali.

"Terima kasih banyak-banyak kepada semua tenaga pekerja HKL terutamanya di Unit Rawatan Kebakaran kerana menjaga saya selama ini," katanya.

Pengebom sembunyi di Malaysia

DERETAN motosikal yang musnah akibat letupan bom di kawasan hiburan Jalan Charoen Khet, Sungai Golok pada 16 September lalu. Gambar kecil, Suhaidi.


KOTA BHARU – Polis sedang giat mengumpul maklumat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan yang menyatakan bahawa dalang yang melakukan siri letupan bom di Sungai Golok, Thailand dipercayai sedang bersembunyi di negara ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, polis tidak akan berdiam diri jika dakwaan tersebut benar seperti didakwa pihak berkuasa Thailand.

Bagaimanapun, kata beliau, setakat ini pihaknya tidak menemui sebarang bukti yang mengesahkan dakwaan tersebut.

“Polis Kelantan sedang membuat risikan berhubung perkara itu bersama-sama polis Thailand. Kita (polis) akan mendapatkan maklumat lanjut dan kita sama sekali tidak akan berdiam diri dan akan mengatur strategi. Segala maklumat ini penting bagi polis Kelantan.

“Kalau benar mereka berada di negara ini, kita akan tangkap. Setakat ini dalam siasatan kita tidak jumpa mana-mana (individu) yang dimaksudkan itu,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Pemakaian Pangkat Bagi Anggota di sini, semalam.

'Bukan hilang tapi jatuh bilik air' - Shahir


SHAHIR masih menegaskan dia dan Rozita tidak lebih daripada kawan biasa.


TIDAK habis-habis kontroversi timbul berkenaan juara program Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi.

Sebelum ini dia yang digosip bercinta dengan aktres jelita Rozita Che Wan pernah menghilangkan diri dan alasan yang diberi ketika itu dia mempunyai masalah kesihatan.

Kemudian, dia dikatakan menghilangkan diri sekali lagi dan kononnya ingin bersara daripada menjadi anak seni.

Pilih produk untuk jadi duta



SITI SALEHA, klasik namanya. Formula yang digunakannya untuk menapak dalam dunia seni bermula daripada berlakon iklan, dilantik menjadi duta kepada beberapa produk dan kemudiannya terlibat dalam dunia lakonan, sehingga hari ini, namanya 'meletup' biarpun masih dianggap pucuk muda yang baru berputik.

Drama bersiri Nora Elena yang ditayangkan untuk slot Akasia di TV3 bagaimanapun secara total telah memperkenalkan figura genit itu kepada khalayak tentang siapa sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum yang baru berusia 21 tahun itu.

Apapun, populariti yang diraih pada hari ini bukan calang-calang nilainya. Ada pengorbanan yang perlu ditempuh untuk berada di aras terkini.

Perlu bersedia untuk menjadi figura umum yang pastinya akan ditatap walau di mana dia berada, Saleha juga harus akur kadangkala privasinya direnggut buat tatapan umum.

Namun, lebih selesa untuk tidak membicarakan perihal kehidupan peribadinya berbanding kerjaya yang dibina, pertemuan bersama Siti Saleha baru-baru ini lebih banyak melihat skop optimisme selaku artis baharu.

Bermula dengan bidang lakonan iklan mahupun jurucakap produk, pastinya Saleha tidak boleh lari daripada lingkaran yang sudah dibikinnya itu. Namun ada syarat yang ditetapkannya.

"Kalau saya diberikan peluang untuk menjadi duta atau jurucakap pastinya tidak akan ditolak, tapi saya akan melihat juga kepada kesesuaian sesuatu produk dengan saya.

"Memandangkan kelompok peminat di negara kita kebanyakannya orang Melayu, maka seboleh-bolehnya saya tidak mahu terlibat dengan iklan atau produk yang menjadikan diri saya sebagai simbol seks," katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Malah, ujarnya tidak menjadi hal sekiranya dia diminta untuk memakai tudung untuk penggambaran drama ataupun iklan dan akuinya juga dia cukup selesa.

"Jelas sekali saya pernah memakai tudung dalam beberapa lakonan saya sebelum ini seperti Ustaz Amirul dan Alif Ba Ta, jadi pastinya tidak ada masalah untuk saya berkaitan isu itu," tambah gadis kacukan British-Belanda-Melayu itu.


FIGURA genit ini mempunyai cita-cita memiliki syarikat produksi sendiri di masa depan.


Sama juga seperti soal berpakaian, Saleha menegaskan dia tidak ada sebarang masalah untuk memilih mana-mana pereka pakaian yang sudi menajanya, namun perlu sesuai dengan imej yang diciptanya selama ini.

Enggan menerima pakaian yang terlalu seksi atau menjolok mata, Saleha mengakui dia kadangkala sedikit cerewet dengan solekan yang dikenakan.

"Saya bukan seorang yang demanding, sama seperti berlakon drama atau iklan, apa yang datang semuanya rezeki untuk saya, tapi tengok keadaan juga terutama berkaitan dengan solekan. Ada kalanya saya kurang selesa dengan solekan yang tidak kena atau sesuai dengan saya," getus pelajar jurusan komunikasi di Kolej Inti, Subang, Selangor itu lagi.

Anugerah Industri Muzik

Saleha ketika ditanya tentang keinginannya untuk menceburi bidang lain selain lakonan seperti pengacaraan atau nyanyian mengakui dia sememangnya berminat untuk menjadi pengacara.

"Tugas pertama sebagai pengacara adalah mengendalikan satu episod gerbang Anugerah Industri Muzik (AIM) yang akan mengetengahkan mengenai para karyawan muzik yang meraih pencalonan tahun ini.

"Memang saya minat bidang pengacaraan tapi seboleh-bolehnya saya ingin mengendalikannya dalam bahasa Inggeris memandangkan itu keselesaan saya berkomunikasi dengan lebih jelas," katanya yang bakal tampil dengan filem Pukul Habis pada penghujung tahun ini.

Pukul Habis merupakan filem pertama lakonannya dan watak yang diberikannya adalah dambaannya selama ini.

"Dalam filem ini saya memegang watak wanita yang perlu melakukan aksi bertarung. Jika selama ini peminat melihat saya sebagai seorang yang feminin tetapi menerusi filem ini saya mempersiapkan diri dengan ilmu kickboxing untuk menjayakan watak," ujarnya yang bakal bergandingan dengan Aaron Aziz dan Johan Raja Lawak dalam Pukul Habis.

Antara Klang dan United Kingdom


SITI SALEHA beraksi bersama beberapa model untuk iklan pewangi Echanteur Paris.


Tidak kisah untuk berulang-alik dari kampung ayahnya, Mohd. Baharum Abdul Rahman, 60, di Klang, Selangor ke kediaman ibunya, Tracey Johnson atau nama Islamnya Aisyah Abdullah, 49, di United Kingdom (UK), Saleha sudah kalis dengan dugaan yang ditempuhinya itu sejak berusia 10 tahun.

"Dari kecil lagi, apabila kawan-kawan datang ke rumah dan bertanyakan di mana ibu saya, sudah menjadi kelaziman untuk saya berikan jawapan yang sama.

"Ini dugaan yang saya tempuh dek penceraian kedua-dua ibu dan bapa saya, tapi syukur buat masa sekarang sekiranya ada masa saya akan pulang ke UK melawat ibu saya dan dia juga ada kalanya akan pulang ke Malaysia dan mungkin juga mengejutkan saya dengan imejnya yang bertudung," kata adik kepada vokalis kumpulan Bunkface, Sam, 24, itu.

Begitu pun, cerita Saleha, pernah bapanya memberikan kelonggaran untuk dia menetap bersama ibunya di UK, namun dia memilih untuk setia menjaga bapanya di Klang.

"Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), ayah pernah menyuruh saya tinggal bersama ibu di UK tapi rasanya saya sudah selesa di sini, bersama karier yang sudah kukuh, agak canggung jika saya memilih untuk hidup di sana. Lagipun, saya boleh menjaga ayah di sini," bicara si cantik menyusun frasa.

Ditanya apakah perkembangan dirinya dalam tempoh 10 tahun akan datang, Saleha nyata sudah ada gambaran yang jelas.

"Saya sekarang sedang menghabiskan pelajaran, supaya 10 tahun lagi saya mahu gembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya.

"Kalau boleh saya ingin buka sebuah syarikat produksi yang secara amnya boleh mengeluarkan produk iklan saya sendiri.

"Mungkin juga pada masa itu saya sudah berkahwin, menjadi 10 pelakon wanita terbaik Malaysia dan kalau ada rezeki akan melebarkan sayap ke negara jiran seperti Indonesia dan Filipina," tuturnya menutup bualan.

Safee nafi dakwaan

SAFEE tetap bertekad untuk mengembangkan karier bola sepaknya.


“BUKAN saya tidak sudi untuk kembali semula (menjalani latihan) bersama Cardiff City tetapi jadual saya begitu ketat ketika ini.

“Justeru, dakwaan kononnya saya (berpatah arang berkerat rotan) dengan kelab itu sememangnya tidak berasas.

Demikian kata penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali yang menafikan dakwaan kononnya dia ‘merajuk’ untuk kembali menjalani latihan bersama kelab England, Cardiff City selepas ini.

Desas-desus negatif itu timbul dalam kalangan peminat bola sepak tempatan ekoran kenyataan Safee yang dikatakan ingin mencuba nasib untuk beraksi bersama kelab Australia pula selepas ini sebaik selamat menjejakkan kaki di tanah air kelmarin.

Spekulasi tersebut diperkuatkan dengan peluang Safee yang dikata- kan pudar untuk menyarung jersi The Bluebirds lantaran masalah permit kerja walaupun mendapat khabar gembira daripada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang memberi jaminan untuk membantu ‘David Bec- kham Malaysia’ itu mengatasi masalah berkenaan jika Cardiff mahu melamarnya.

Meskipun dikhabarkan akan dipanggil untuk dinilai semula selama dua minggu lagi oleh pengendali The Bluebirds, Malky Mackay yang dilaporkan berminat dengan kesungguhan, disiplin dan skil Safee sebelum ini, pemain kelahiran Kajang, Selangor itu juga tidak pasti sama ada ia boleh dilaksanakan pada waktu terdekat.

“Jadual saya begitu ketat. Selain mewakili (bekas pasukan) Selangor bagi aksi Piala Sultan Selangor (esok), saya juga akan ke Australia (mewakili skuad kebangsaan) bagi perlawanan persahabatan.

“Kalau ikutkan hati memang saya mahu kembali semula ke Cardiff. Bukan senang untuk menjalani lati- han bersama pemain-pemain yang hebat di sana dan jika tidak terpilih pun, saya langsung tidak menyesal.

“Tetapi saya sendiri tidak pasti bila saya boleh menyertai semula latihan di sana,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Safee sebelum ini selesai menja- lani sesi pemilihan selama dua minggu bersama skuad kendalian Malky Mackay itu sejak pertengahan September lalu sebaik mendapat ‘lampu hijau’ daripada maji- kannya, Pelita Jaya.

Menurut Safee, dia belum membuat sebarang perbincangan lanjut dengan pemilik Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee berhubung perkara itu, selain tidak menolak kemungkinan akan merujuk perkara tersebut kepada Pelita Jaya terlebih dahulu sebelum boleh mengulas lanjut.

“Saya juga tidak pasti bila akan kembali ke Indonesia kerana Pelita Jaya pastinya memerlukan khidmat saya sebelum Liga Indonesia bermula (10 Oktober ini), jadi kita tengok dahulu macam mana,” kata- nya yang mengakui masih keletihan selepas menempuhi penerbangan yang panjang dari London kelmarin.

Ketika ditanya mengenai keingi- nannya beraksi di Australia, jelas Safee: “Sebagai pemain, saya mempunyai sasaran sendiri untuk beraksi di pentas yang lebih baik, ter- utamanya di Australia dan Eropah bagi mengembangkan karier saya.

“Tetapi ia bukan bermakna saya tidak lagi mahu menyarung jersi Cardiff, justeru saya harap semuanya faham,” katanya memohon tidak disalahertikan.

Loji penapisan minyak Shell di Singapura terbakar

ASAP tebal dapat dilihat dengan jelas di Pulau Bukom selepas fasiliti minyak itu terbakar.


SINGAPURA - Sebuah loji penapisan minyak utama Shell milik syarikat tenaga gergasi Anglo-Dutch terbakar dan membuatkan anggota bomba bertungkus-lumus untuk memadamkannya.

"Kami percaya ia adalah kemalangan. Satu siasatan penuh akan dilakukan sebaik saja api berjaya dipadamkan," kata wakil syarikat tersebut dalam satu kenyataan.

Kebakaran tersebut bermula semalam di kilang penapis Shell di Pulau Bukom yang terletak lima kilometer dari Singapura. Pegawai yang tidak terlibat diarahkan keluar dari tempat tersebut.

Seramai 100 orang anggota bomba dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan 250 pegawai terlatih Shell berusaha sepanjang malam untuk memadamkan api.

Loji tersebut merupakan pusat penapisan minyak Shell terbesar di dunia dari segi kapasiti penyulingan bahan mentah, menghasilkan bahan api, pelincir dan bahan kimia khusus dengan kebanyakannya untuk dieksport.

Menurut Shell, seorang anggota bombanya mengalami cedera ringan, sementara lima orang lagi anggota bomba berdepan masalah kesihatan lain.

SCDF turut menggunakan 21 buah pesawat pembawa air untuk menyejukkan kawasan kebakaran bagi mengelakkan tangki simpanan berhampiran terdedah kepada suhu tinggi.

Rakyat Cuba sudah boleh jual beli kereta lama


ANTARA kereta lama yang
masih digunakan secara
meluas di Havana.


HAVANA - Pihak berkuasa Cuba membenarkan jualan kereta di antara individu mulai semalam, selepas diharamkan selama 50 tahun yang membuatkan negara komunis itu bagaikan muzium kereta-kereta vintaj.

Sebelum ini, rakyat Cuba hanya boleh menjual kereta yang dibina sebelum revolusi negara itu pada tahun 1959. Undang-undang baharu yang diterbitkan dalam Warta Rasmi itu dilihat sebagai sebahagian daripada siri pembaharuan yang dilakukan oleh Presiden Cuba, Raul Castro untuk mengurangkan kawalan kerajaan ke atas ekonomi dan menggalakkan perniagaan berskala kecil.

Undang-undang itu membolehkan pemindahan milik kenderaan dibuat bagi tujuan jual beli atau sumbangan dalam kalangan rakyat atau warga asing yang menetap di Cuba.

Bagaimanapun, rakyat biasa masih dilarang daripada membeli kereta baharu. Namun mereka yang membeli kereta buatan Rusia melalui majikan masing-masing sebelum tahun 1990 kini boleh menjualnya secara sah.

"Ini merupakan salah satu keputusan terbaik untuk rakyat. Kereta adalah keperluan, bukannya barang mewah," kata seorang penjual barang kemas, Angel Garcia, 40, yang memandu kereta era Soviet, Moskvich.

Paris menangis, Prince terkejut


Michael Amir


LOS ANGELES - Dua orang kakitangan Micheal Jackson memberitahu Mahkamah Tinggi Los Angeles mengenai keadaan cemas untuk menyelamatkan Raja Pop itu, ketika anak-kanaknya mula menangis dan bagaimana doktor Conrad Murray cuba untuk mengada-adakan cerita beberapa minit selepas bintang tersebut meninggal dunia.

Pada hari kedua perbicaraan, mahkamah turut diberitahu bahawa Murray berulang-ulang kali mendakwa Jackson berada dalam keadaan sihat, beberapa minggu sebelum kematiannya pada 25 Jun 2009.

Saksi-saksi itu juga menyatakan Jackson sering berjumpa dengan doktor Arnold Klein kerana sakit kulit. Dia juga kadangkala dilihat bercakap dengan perlahan dan sukar difahami.

Pengakuan paling menyedihkan datang daripada pembantu peribadi Jackson, Michael Amir Williams. Dia masih ingat menerima panggilan telefon daripada Murray yang cemas dan memintanya segera datang ke rumah sewa Jackson di Hombly Hills. Jackson meninggal dunia pada usia 50 tahun akibat dos berlebihan ubat sedatif propofol.

Perbicaraan kes Jackson bermula pada Selasa lalu dengan pihak pendakwa mendakwa Murray bersalah kerana cuai dan mengakibatkan kematian Jackson. Sementara peguam Murray menyatakan Jackson mati akibat sikapnya sendiri yang mengambil ubat secara berlebihan.

Semalam, imej mayat Jackson dengan mata terbuka disiarkan. Malah, rakaman audio yang menunjukkan penyanyi itu telah diberi ubat turut didedahkan.

Selepas Jackson disahkan mati di hospital UCLA, Williams mengakui bahawa ada berbual dengan Murray. "Dia (Murray) memberitahu ada satu krim di dalam bilik Micheal yang dia tidak mahu orang lain tahu mengenainya. Dia juga meminta saya untuk menumpangkannya untuk mengambil krim tersebut. Tetapi saya menolaknya," kata Williams.

Murray juga didakwa mengarahkan supaya ubat-ubatan termasuklah beberapa botol propofol dikeluarkan dari bilik Jackson sebelum polis sampai.

Sementara itu, ketua keselamatan Jackson, Faheem Muhammad masih ingat bagaimana reaksi anak Jackson yang terkejut apabila melihat bapa mereka meninggal dunia.

"Paris terduduk menangis, manakala Prince berdiri tanpa bersuara dengan wajah sangat terkejut," kata Muhammad.

Murray, 58, berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun sekiranya didapati bersalah oleh sepasukan juri.

Penjara lama jadi tarikan pelancong


SEORANG kanak-kanak melihat patung banduan yang dipamerkan di salah satu lokap di muzium terbabit.


GREEN ISLAND, Taiwan - Penjara yang menempatkan penjenayah tegar dan tahanan politik di Pulau Green yang terletak di pantai timur Taiwan merupakan lokasi paling ditakuti suatu ketika dahulu.

Di sana, beribu-ribu banduan dipenjarakan dengan sebahagian daripada mereka menemui ajal. Namun kini, ia menjadi destinasi pelancongan utama kerana pemandangan cukup indah dan sejarah hitam yang dimilikinya.

"Ketika saya kecil, ayah suka menakutkan saya untuk dihantar ke Pulau Green sekiranya tidak menjaga tingkah laku. Sekarang saya berpeluang melihatnya dan mengakui ia sungguh menakutkan apabila memikirkan bagaimana banduan tinggal beramai-ramai di dalam lokap yang kecil," jelas seorang pengunjung ke penjara yang kini sudah diubah menjadi sebuah muzium, Vicky Liu, 22.

Muzium tersebut mengumpul dan mempamerkan artifak dari tahun 1951 hingga 1987. Antaranya ialah lukisan yang menunjukkan banduan dipukul dengan buluh panjang atau dipaksa melutut di atas serpihan kaca. Pada satu masa, penjara itu pernah menempatkan sehingga 2,000 orang banduan.

"Kami mahu menjadikan penjara ini sebagai satu bangunan yang diingati," kata ketua muzium terbabit, Cheng Sheng-hsing.

Beberapa buah kedai di bandar Jhongliao turut menjual barangan cenderahati bertemakan penjara. Misalnya, lakaran kartun sekumpulan banduan yang sedang merancang untuk melarikan diri.

Amazon perkenal tablet terbaharu Kindle Fire


PENGANALISIS melihat kemunculan Kindle Fire boleh membuatkan pengeluar komputer tablet yang lain seperti Apple dan Samsung menurunkan harga produk mereka.


NEW YORK - Amazon kelmarin memperkenalkan komputer tablet sesentuh keluarannya yang akan dijual di Amerika Syarikat (AS).

Kindle Fire yang mempunyai fungsi seumpama iPad keluaran Apple itu dijual pada harga $199 (RM635), separuh harga lebih murah berbanding iPad yang ada di pasaran sekarang.

Model asas Kindle sebelum ini digunakan untuk membaca eBooks. Namun, gajet terbaharu itu akan menggabungkan ciri tersebut dengan kemampuan untuk memainkan muzik, filem dan melayari Internet.

Pengguna juga boleh mengakses lebih 18 juta filem, program televisyen, lagu, aplikasi, permainan video, buku dan majalah menerusi laman web Amazon.

Gajet tersebut mempunyai skrin bersaiz tujuh inci, berbanding iPad 2 iaitu 9.2 inci. Tidak seperti iPad, Kindle Fire tidak mempunyai kamera atau aplikasi untuk membuat panggilan video.

"Kindle Fire akan membawa semua hasil kerja yang diusahakan di Amazon selama 15 tahun ke dalam satu perkhidmatan bersepadu untuk pengguna.

"Ia menawarkan permainan, muzik, carian laman web dan buku pada harga hanya $199 (RM635). Ini merupakan produk premium yang ditawarkan pada harga bukan premium. Kami akan menjual jutaan unit Kindle Fire," kata Ketua Eksekutif Amazon, Jeff Bezos.

Bangkai paus terdampar di padang


BANGKAI seekor ikan paus Sei di atas padang di tebing Muara Humber, England kelmarin.


YORKSHIRE, Britain - Bangkai seekor ikan paus yang didapati terdampar di sebuah padang dan terletak kira-kira 800 meter dari pesisir pantai di Humber Estuary di sini mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pakar haiwan.

Ikan paus betina sepanjang lebih 10 meter (m) itu adalah daripada spesies Sei dan jarang terperangkap di perairan Britain.

"Ia mungkin terperangkap kerana air cetek ," kata seorang pegawai persatuan hidupan liar Yorkshire, Andy Gibson.

Tambahnya, sepanjang tempoh 20 tahun, hanya tiga ekor paus tersebut pernah terperangkap di Britain.

"Keadaannya amat menyedihkan. Ia berada di dalam air yang cetek iaitu pada kedalaman 1.2m ke 1.6m menyebabkannya sukar untuk berenang," kata Andy.

Paus tersebut merupakan paus terbaru yang mati di kawasan perairan itu. Pada awal bulan ini, seekor paus muda daripada spesies Fin terperangkap di Immingham, timur laut Lincolnshire.

Kereta mampu baca fikiran manusia


TEKNOLOGI automotif dibangunkan untuk mencipta persekitaran pemanduan yang lebih selamat di jalan raya.


GENEVA, Switzerland - Gergasi automobil Jepun, Nissan dan sebuah universiti di Switzerland sedang membangunkan kereta yang mampu mengimbas fikiran manusia dan membuatkan kenderaan tersebut bersedia untuk langkah seterusnya.

"Ideanya adalah untuk menggabungkan kepintaran kenderaan dan pemandu bagi menghasilkan persekitaran pemanduan yang selamat," kata profesor daripada Swiss Teknologi Universiti EPFL, R. Millan.

Projek itu menggunakan penilaian aktiviti otak, corak pergerakan mata dan pengimbas di sekeliling kenderaan menggunakan alat pengesan untuk meramalkan tindakan pemandu.

Kenderaan itu kemudian akan bersedia membelok dengan memperlahankan pergerakan jika perlu, atau berada sedikit ke kiri atau kanan.

Jurucakap EPFL berkata, penyelidikan itu mengambil masa selama empat tahun. "Kami harap prototaip akan siap apabila tiba penghujung tempoh itu," katanya.

Pacak penyapu sebagai tanda protes rasuah


PEMANDANGAN 594 penyapu yang dipacak di hadapan bangunan Parlimen Brazil di ibu negara Brazil, Brasilia kelmarin.


BRASILIA, Brazil - Sekumpulan aktivis membuat demonstrasi dengan memacak 594 batang penyapu di hadapan bangunan Kongres Kebangsaan Brazil di sini.

Tindakan kumpulan aktivis hak asasi manusia, dikenali sebagai Pergerakan Sungai Keamanan itu dibuat sebagai simbolik bagi menggesa pemerintah membasmi gejala rasuah di Brazil.

Jumlah penyapu yang dipacak itu bersamaan dengan jumlah timbalan dan senator yang menganggotai Kongres Kebangsaan Brazil.

Demonstrasi yang sama pernah dilakukan di pantai Copacabana di bandar raya Rio de Janeiro awal bulan ini.

4,000 coli digantung di atas jambatan


ORANG ramai berjalan di atas jambatan Hot Metal Bridge di bandar raya Pittsburgh yang digantung dengan 4,000 helai coli kelmarin.


PITTSBURGH, Amerika Syarikat (AS) - Sebanyak 4,000 helai coli digantung di sepanjang sebuah jambatan di sini dalam kempen meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit barah payu dara, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Coli berbagai saiz dan beraneka warna itu berkibar ditiup angin selepas digantung di atas wayar jambatan Hot Metal Bridge yang menghubungkan sungai Monongahela dengan pusat bandar raya ini, negeri Pennsylvania.

Semua coli tersebut akan digantung selama tiga minggu bermula kelmarin sebelum pakaian dalam itu dicuci dan didermakan ke beberapa rumah perlindungan wanita.

Coli-coli itu dibekalkan oleh pihak pengurusan syarikat pakaian tempatan, American Eagle Outfitters yang bertanggungjawab mencetuskan idea untuk mengadakan kempen tersebut.

Selepas coli-coli itu digantung kelmarin, ia berjaya menarik perhatian para pengguna jambatan berkenaan serta pihak media.

"Saya langsung tidak menyangka akan melihat sebegitu banyak coli. Kempen ini hebat. Saya berhenti untuk merakam pemandangan unik ini," kata seorang pengguna jambatan tersebut, Monica Minetola.

Kisah pilu mangsa buruh paksa

ADA kalangan pelaut migran ini terkandas di laut selama tujuh bulan hingga setahun.


KALI pertama Hla Myint melihat laut ketika dia dibawa penyeludup buruh paksaan ke pesisir laut Thailand selepas meredah hutan selama seminggu dari Myanmar.

Dalam keterujaan membayangkan pekerjaan yang bakal diterima, Myint terpaksa akur apabila mendapat tahu dirinya telah terjerat dalam kancah pemerdagangan manusia.

Tujuh bulan membanting tulang di atas bot bagaikan neraka dunia buat Myint kerana setiap jam dan waktu, pasti ada anak kapal akan dipukul dan diseksa oleh kapten termasuk dirinya.

Namun, tiada apa yang mampu mereka lakukan melainkan setia menebar pukat ke laut bagi meneruskan kehidupan atau nyawa mereka melayang di tangan manusia-manusia tidak berperikemanusiaan itu.

Dengan hanya satu das tembakan di kepala, rakan Myint mati disaksikan anak-anak kapal lain sebagai pengajaran agar tidak sekali-kali cuba melarikan diri.

Namun, insiden itu sedikit pun tidak menggentarkan perasaan Myint untuk terus bertahan di atas bot itu malah dia nekad terjun ke dalam laut yang bergelora sambil berpaut pada boya selama lima jam sebelum tiba ke daratan.

Kisah Myint itu merupakan antara jilid yang terkandung dalam kisah mangsa-mangsa pemerdagangan manusia Thailand yang dikerah bekerja dalam industri perikanan negara itu.

Kini hidup Myint lebih aman. Kini dia berkhidmat dalam kumpulan sukarelawan tempatan yang bertujuan membebaskan mangsa-mangsa penghambaan.

Ketika informasi ini dicatat, Myint sebenarnya dalam cubaan menyelamatkan empat anak muda Myanmar yang sedang bersembunyi di sebalik semak berhampiran pinggir pantai bandar Rayong selepas berjaya meloloskan diri dari sebuah bilik berkunci.

Ketakutan dan trauma dapat dilihat dari raut wajah seorang remaja lelaki yang baharu sahaja diselamatkan Myint yang sekadar membatukan diri tanpa sepatah kata.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini menggesa Thailand membanteras kegiatan pemerdagangan manusia dengan lebih agresif kerana penghambaan dalam industri perikanan negara itu semakin meruncing.

Survival tengah laut


PELAUT migran dikerah bekerja selama 20 jam sehari tanpa cuti dan berehat secara curi-curi.


Sirirat Ayuwathana dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia yang bertanggungjawab ke atas isu tersebut menyatakan bahawa pihak berkuasa sedia maklum terhadap masalah itu. Mereka sedang merangka penubuhan suruhanjaya bagi pendaftaran semua bot nelayan dan anak kapal.

"Kita tidak tahu apa yang berlaku selepas bot-bot itu meninggalkan pelabuhan. Anak-anak kapal itu mungkin didera ataupun dikurung. Kapten memiliki kuasa mutlak ke atas bot, dan mereka mungkin menyalahgunakan kuasa itu," ujar Sirirat.

Berdasarkan laporan Organisasi Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM), survival di tengah laut memang sukar apatah lagi mangsa terpaksa bekerja sehingga 20 jam sehari, tujuh hari seminggu dan hanya mampu mencuri waktu untuk makan dan berehat sementara menunggu pukat diangkat.

Lebih menyayat hati apabila ada dalam kalangan mangsa yang berumahkan bot-bot itu untuk tempoh menjangkau tujuh bulan hingga setahun tanpa pulang ke darat.

Kapten-kapten bot dan kapal akan mendapatkan khidmat kapal induk bagi mengisi minyak dan mengambil anak kapal baharu, menidakkan cubaan mangsa untuk bebas.

Sementara itu, wakil Pertubuhan Human Rights Watch, Phil Robertson yang menyediakan laporan IOM itu berkata, polis marin di satu kawasan pinggir pantai menemui 10 mayat setiap bulan yang terdampar di tepi pantai. mayat-mayat itu dipercayai mangsa kekejaman majikan.

Dikerah bekerja

"Ribuan mangsa dikerah bekerja di laut sejak sedekad yang lalu dan industri ini beroperasi tanpa undang-undang lebih-lebih lagi dengan adanya orang tengah, membuatkan masalah ini semakin kritikal," jelas Roberston.


DIANGGARKAN seramai 10,000 orang terperangkap dalam kancah pemerdagangan manusia di kebanyakan negara di dunia


Tambahnya, jika perlu kerajaan dan pengguna perlu memboikot industri perikanan negara itu sehingga ia benar-benar dipulihkan.

Kajian 2009 oleh United Nations Inter-Agency Project (UNIAP) berhubung pemerdagangan manusia pula mendapati, lebih daripada separuh pekerja migran Kemboja yang diperhambakan dalam industri perikanan Thailand pernah menyaksikan kapten mereka membunuh beberapa anak kapal.

Namun, kehadiran mangsa-mangsa penghambaan itu sebenarnya memainkan peranan penting dalam menaikkan ekonomi Thailand dalam sektor perikanan dan negara itu amat bergantung kepada hasil perolehan buruh-buruh paksaan tersebut.

Industri perikanan Thailand sememangnya lubuk emas buat ekonomi negara itu. Berdasarkan angka rasmi, 16.95 bilion baht (RM1.7 bilion) hasil laut diperoleh Thailand pada tahun 2010, tambahan pula pengimport mereka terdiri dari negara-negara maju seperti China, Amerika Syarikat, Jepun serta negara Kesatuan Eropah.

Sehingga hari ini, terdapat 35,000 migran mendaftar secara rasmi sebagai pelaut dengan majoriti dari Myanmar dan Kemboja.

Ahli politik Thailand turut menjelaskan, kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan berkhidmat dalam industri perikanan mendorong majikan mengambil mangsa pemerdagangan manusia sebagai pekerja.

Mana Sripitak dari Persatuan Perikanan Kebangsaan Thailand pula menyatakan, tuduhan ke atas industri perikanan negara itu adalah tidak berasas memandangkan kebanyakan mangsa berkhidmat secara sukarela.

Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengawasi Thailand selama dua tahun berturut-turut berdasarkan laporan-laporan berhubung aktiviti pemerdagangan manusia di negara itu yang semakin meruncing.

Dianggarkan seramai 10,000 orang terperangkap dalam kancah pemerdagangan manusia di kebanyakan negara di dunia saban tahun dan ia membabitkan pelbagai jenis penghambaan termasuklah eksploitasi seks.

Dalam lawatan baru-baru ini ke Thailand berhubung aktiviti pemerdagangan manusia oleh pelapor khas PBB, Joy Ngozi Ezeilo menyatakan negara itu tidak mengambil tindakan tegas dalam mengekang masalah itu daripada terus menular.

Kelangsungan hidup


MANGSA pemerdagangan manusia ini akan dipukul, diseksa dan dibunuh jika cuba melarikan diri.


"Imuniti yang dimiliki penyeludup-penyeludup ini terutama pakatan sulit mereka bersama agensi-agensi penguat kuasa tempatan melemahkan usaha kerajaan serta keberkesanan polisi dan program bagi menggempur masalah tersebut," ujarnya.

Berbalik kepada kisah mangsa, seorang lagi lelaki yang berjaya melepaskan diri yang hanya mahu dikenali dengan nama Myo Oo, menyingkap kembali kisah pahit itu.

Dia membayar orang tengah 1,000 baht (RM102) bagi membawa dirinya ke Thailand, dengan harapan dia dan adik lelakinya berusia 16 tahun dapat bekerja kilang di Bangkok dan bertemu dua kakak mereka yang menetap di situ.

Selepas lima hari merentasi belantara, dua beradik itu dimuatkan ke dalam sebuah trak untuk dibawa ke Rayong dan akhirnya mereka terpisah. Ketakutan menghantui Myo Oo apabila memba yangkan nasib adik lelakinya itu yang kemungkinan besar tidak dapat membebaskan diri daripada cengkaman majikannya.

"Mereka (majikan) mengugut untuk membunuh kami jika cuba melarikan diri dan mereka memang serius tentang perkara tersebut memandangkan sebutir peluru hanya boleh didapati pada harga 25 baht (RM2.60) sahaja," ujarnya yang berusia 20 tahun.

Kata Myo Oo, dia dan adiknya sedar halangan yang bakal dihadapi saat berhijrah ke Thailand namun realitinya lebih sukar daripada yang dibayangkan.

"Saya tidak pernah menyangka saya perlu hidup dalam kegusaran dan sering diselubungi ketakutan," ujarnya.

Bagaimanapun, Myo Oo enggan identiti sebenarnya didedahkan bagi mengelakkan diusir dari Thailand oleh pihak berkuasa tempatan.

Apa yang dia dan rakan-rakannya inginkan adalah mendapat pekerjaan yang mampu menjamin kelangsungan hidup di Bangkok dan selagi kaki mampu melangkah, selagi itu tiada erti putus asa dalam diri mereka.

Buku sifu seni Emi



JARI-JEMARINYA cermat membengkokkan dawai-dawai perak menggunakan playar sehingga menjadi bentuk yang menarik.

Formasi daripada dawai-dawai logam berharga yang dipateri kemas itu kemudian diserikan dengan hiasan batu-batu permata. Lalu, terhasillah aksesori yang berestetika hasil kreativiti seorang pria.

Melihat Mohd. Hilmi Kamarulzaman, 26, membentuk dawai-dawai logam menjadi aksesori kelihatan mudah, ia tidak semudah yang dilihat.

Menyingkap profil anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur itu minatnya terhadap seni gubahan dawai atau wire art bermula enam tahun lalu.

“Cinta saya pada seni gubahan dawai ini bermula ketika mengunjungi kedai buku Kinokuniya selepas membelek buku mengenainya.

“Saya sangat berminat terhadap seni ini dan belajar mengenai asasnya melalui buku sahaja sebelum mula bereksperimen membuat aksesori perhiasan wanita,” kata graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Kelana Jaya dalam jurusan Pengurusan Hospitaliti.


MEMBUAT seni gubahan dawai perlukan kesabaran, ketekunan dan daya kreativiti yang tinggi.


Sebelum berkecimpung dalam seni gubahan dawai ini, Mohd. Hilmi atau lebih dikenali dengan nama seninya Emi Kaz terlebih dahulu berjinak-jinak dalam bidang solekan pada umur 19 tahun.

Beliau mempelajari ilmu solekan ketika mengambil Diploma Solekan Kecantikan Profesional di Akademi Solekan di XpressionMaster sebelum melanjutkan pengajiannya di Unitar.

Setelah tamat diploma solekan, Emi ‘bertatih’ dengan mengutip pengalaman demi pengalaman sehingga namanya dikenali.

“Saya menggemari bidang fesyen tetapi saya tidak tahu menjahit, melukis pun tidak tahu. Jadi saya mengambil keputusan bergiat serius dalam seni gubahan dawai ini.

“Saya tidak mengikuti mana-mana kelas untuk mempelajari mengenai seni ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menjadikan buku sebagai sifunya 100 peratus, Emi mula membina keyakinan meneruskan survival hidup melalui seni yang mula ‘membeli’ hatinya itu.

Emi mengambil masa tiga tahun untuk menguasai asas selain membina kemahirannya sendiri dalam seni tersebut dan mula membuat aksesori yang lebih rumit serta kompleks sejak tiga tahun lalu.

“Saya juga membuat tutorial dalam talian yang kini merupakan salah satu tutorial seni gubahan dawai yang terlaris di Asia.

“Sebetulnya saya mula serius menjalankan bisnes ini empat tahun lalu. Bermula dengan menjual aksesori hasil seni gubahan dawai pada rakan-rakan ibu saya, kawan-kawan dan ahli keluarga selebihnya lebih kepada mengajar asas seni gubahan dawai kepada mereka yang berminat,” ujarnya.

Kelas seni


ANTARA peralatan yang digunakan untuk membuat seni gubahan dawai.


Menurutnya, bisnes tersebut tidak memerlukan modal yang besar seperti bisnes-bisnes yang lain.

“Ia juga membolehkan saya mengekspresikan diri dalam berkarya.

“Banyak masa saya dihabiskan melakukan tutorial dalam talian selain melakukan kelas seni gubahan dawai ini pada hujung minggu mengikut permintaan di beading.com.my di Wangsa Maju,” katanya memberitahu kelas hujung minggu selama empat hingga lima jam itu dikenakan yuran sebanyak RM138 turut menyediakan material dan peralatan.

Tidak lokek untuk berkongsi ilmu, Emi mempunyai ramai pelajar yang terdiri daripada orang tempatan dan orang luar dari Singapura, Korea dan Mauritius yang berminat untuk mempelajari mengenai seni gubahan dawai.

Mendapat sokongan penuh keluarganya, Emi tidak merasakan dirinya kecil apabila menceburi bidang yang diminatinya sedang kawan-kawan lain punya profesion kolar putih.

“Saya bangga dengan apa yang saya lakukan. Terasa betapa sukarnya mencari duit titik peluh sendiri sebagai modal membeli dawai-dawai logam berharga seperti perak, tembaga, emas dan batu-batu permata seperti topaz dan ametis tanpa membuat sebarang pinjaman dari bank.

“Semua kepayahan berbayar apabila ada orang menghargai aksesori yang dijual. Seni ini jarang diketengahkan di negara ini, jadi ambil masa sedikit untuk menarik minat orang ramai,” ujarnya.

Logam berharga


SALAH satu cara digunakan untuk menghasilkan aksesori daripada seni gubahan dawai.


Ketika ditebak soalan mengenai apakah keistimewaan Emi Kaz berbanding mereka yang menceburi seni gubahan dawai ini, Emi dengan yakin memberitahu, bahawa dia satu-satunya individu di Malaysia yang membuat seni gubahan dawai menggunakan dawai logam berharga.

Kerumitan menghasilkan sesuatu aksesori itu membuatkan ia mengambil masa yang lama.

Aksesori yang rumit mengambil masa seminggu sementara yang lain boleh disiapkan dalam masa empat hari sahaja, manakala aksesori yang mudah boleh disiapkan sebanyak enam unit dalam masa sehari.

Harga aksesori yang diperbuat daripada dawai logam dijual pada harga antara RM80 hingga RM300. Jualan dalam talian pula kebanyakannya dibeli oleh pelanggan dari Amerika Syarikat.

“Setiap kali membuat sesuatu aksesori itu, perasaannya berbeza-beza dan kerana itu jugalah ia tidak ada duplikasi, jika ada yang sama pun cuma 70 peratus persamaan.

“Jika berlaku sedikit kecacatan, saya akan buka balik apa yang telah dihasilkan kerana tiada istilah cincai dalam kamus hidup saya apabila menghasilkan sesuatu aksesori. Bagi saya, setiap aksesori yang dihasilkan itu menggambarkan siapa saya,” katanya sambil memberitahu seseorang yang mahu menjadi artis seni gubahan dawai perlu ada minat, kreativiti, kesabaran dan ketelitian.

Tambahnya, saki-baki dawai logam berharga tersebut tidak dibuang begitu sahaja kerana ia boleh dilebur untuk diguna semula.

Bagi meningkatkan kemahirannya dalam seni gubahan dawai, Emi sering menjadikan majalah sebagai sumber utama menjana idea-idea baharu. Dia sanggup membelanjakan antara RM30 hingga RM300 sebulan untuk membeli majalah yang berkaitan dengan seni gubahan dawai.

“Saya mahu buktikan walaupun melibatkan diri dalam bisnes ini, saya mampu mengukir nama dan dikenali melalui hasil kerja saya selain menyimpan cita-cita untuk membuka akademi seni gubahan dawai ini dalam tempoh sedekad.

“Buat masa ini saya hanya membuat aksesori untuk dihantar di beberapa kedai dan butik seperti Butik Kita-Kita selain sibuk membuat rekaan untuk koleksi terbaharu,” ujarnya yang memperoleh pendapatan antara RM2,500 hingga RM4,500 sebulan.

Keluarga sokong minat dan usaha Emi


SEBAHAGIAN daripada batu permata yang digunakan dalam pembuatan aksesori dawai.


KERAP KALI kita mendengar kisah jika seseorang anak teruna itu meminati bidang fesyen, kecantikan dan seni, pasti mendapat tentangan keluarga pada awalnya kerana ibu bapa lebih suka anak teruna mereka berkecimpung dalam dalam kerjaya yang lebih maskulin.

Namun, dalam kes Mohd. Hilmi atau Emi ini berlainan sekali kerana keluarganya memberikan sokongan penuh terhadap minatnya dalam bidang seni lebih-lebih lagi dalam bidang solekan dan seni gubahan wayar.

Ibunya, Mariam Mohamad, 55, memberitahu, minat anak sulungnya itu dalam seni gubahan dawai hanya bermula enam tahun lepas kerana Emi tidak menunjukkan minatnya ke arah seni ketika kecil.

"Cuma, mula-mula Emi mula minat dalam bidang solekan pada zaman remajanya dan selalu menyolek untuk majlis makan malam, pertunangan dan perkahwinan.

"Sejak menceburi seni gubahan dawai ini, Emi sentiasa ada idea-idea baharu," ceritanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, minat mendalam Emi terhadap seni tersebut tidak tahu diwarisi daripada siapa kerana dirinya sendiri tidak begitu meminati bidang seni.


LOKET yang mendapat sentuhan seni Emi.


"Tidak tahu pula daripada mana dia warisi. Kalau diikutkan, saya tak reti sangat seni-seni ini kerana tangan keras.

"Kalau Emi tidak pulang ke rumah, saya tahulah yang dia tidur di studio seninya bagi menyiapkan kerja-kerja seni gubahan dawainya di sana," ujarnya ramah.

Selain Emi, adik perempuannya juga meminati bidang seni tetapi cabang yang berbeza kerana minatnya lebih menjurus kepada fesyen.

"Selaku ibu bapa, kita perlu sokong minat anak-anak dan bukannya paksa mereka melakukan sesuatu yang mereka tidak minat.

"Kebanyakan ibu bapa cenderung menyuruh anak-anak mengambil jurusan pilihan mereka sedangkan anak-anak meminati bidang lain," katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk melihat hasil seni gubahan dawai ilham Emi, boleh mengunjungi blog Emi di emikaz.blogspot.com dan ke http://www.etsy.com/shop/EmiKaz?ref=seller_info bagi yang mahu membeli koleksi rekaannya.

Skil memasak remaja autisme


CHEF HOONG (dua dari kanan) melihat dua orang remaja memotong ayam sebelum proses memasak diteruskan.


KEBIASAANNYA chef di kebanyakan restoran menghabiskan masa mereka menyediakan masakan di dapur bagi memastikan para pengunjung restoran berpuas hati dengan makanan yang dipesan.

Namun, Chef Lim Ching Shiung atau lebih dikenali dengan gelaran Chef Hoong dalam industri makanan dan minuman dan kini berkhidmat di CHYNIIS Restaurant mahu melakukan kelainan.

Setelah mencapai apa yang diingini dan berjaya dalam bidang masakan, Chef Hoong mengambil keputusan berehat seketika untuk membantu anak-anak remaja yang mengalami masalah pembelajaran sebagai salah satu sumbangannya terhadap masyarakat.

Dia ingin melakukan sesuatu selepas mengetahui mengenai Generating Opportunity for Learning Disables (GOLD) iaitu sebuah pusat bagi anak-anak muda yang menghidap masalah autisme. Tanpa berfikir panjang dia menawarkan diri untuk mengadakan sesi masakan bersama anak-anak istimewa tersebut.

Pengalaman berharga


HASIL hidangan ayam masak masam manis air tangan remaja autisme.


Autisme merupakan kecelaruan perkembangan pervasif (pervasive developmental disorder) yang melibatkan fungsi otak.

Chef dari Tawau, Sabah yang terkenal dengan masakan mi udang sejak 12 tahun lalu itu memberitahu, meluangkan masa bersama anak-anak autisme merupakan pengalaman yang sangat berharga.

"Saya sangat teruja melihat anak-anak ini bersungguh-sungguh belajar walaupun mereka menghidap autisme.

"Mereka tidak menjadikan kekurangan yang dialami sebagai halangan untuk melakukan perkara yang mereka ingini," katanya selepas mengajar lapan anak-anak autisme menyediakan hidangan sup dan ayam masak masam manis.

Kelas tersebut diadakan dengan harapan para peserta akan menawarkan diri untuk menyediakan masakan istimewa buat orang tersayang terutamanya pada Hari Ibu dan Hari Bapa.

Pada mulanya, Chef Hoong agak khuatir sama ada remaja autisme yang mengambil bahagian itu boleh mengendalikan pisau untuk membuang tulang pada ayam.

"Saya risau jika mereka tercedera dan hilang kawalan diri ketika menggunakan pisau. Namun, saya berasa lega apabila mereka berjaya melakukan tugasan dengan baik sekali," ujarnya.

Autisme dianggap sebagai kecacatan neurologi dan bukan gangguan kecacatan psikiatri, walaupun ciri-ciri biasa termasuk masalah dengan perhubungan sosial, komunikasi, emosi dan juga pola biasa berkaitan minat, aktiviti dan perangai.


DARI kiri: S. Dineshwaran, Gavin dan Muhammad Baihaqi, Chef Hoong dan Goh Su Yin tekun membuat kerja-kerja di dapur.


Ia juga melibatkan masalah integrasi deria. Biasanya, autisme boleh dikenal pasti pada usia seawal tiga tahun. Dianggarkan bahawa autisme membabitkan dalam dua hingga enam kes setiap 1,000 orang. Masalah itu juga empat kali lebih kerap dialami kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Pada masa kini, autisme boleh dirawat tetapi tidak dapat dipulihkan. Diagnosis dan latihan awal amat penting bagi perkembangan masa hadapan kanak-kanak.

Menurut koordinator pusat tersebut, Juairiah Johari, buat masa ini dua peserta iaitu S. Dineshwaran, 18, dan M. Kogilavani, 17, sedang menjalani latihan sebagai pembantu dapur di Pusat Perubatan Sunway.

"Nadiah Syazwani Kamarulzaman, 19, dan Muhammad Baihaqi Abdul Rani pula sudah menjadi pembantu dapur pelatih di Hotel Sunway Resort & Spa.

"Dua orang pelajar lagi menjalani latihan di Universiti Sunway di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Pengurusan Percutian.

"Anda pasti akan terkejut apabila melihat mereka dapat melakukan tugasan dengan baik," kata Juairiah meyakinkan Chef Hoong.

Tambahnya, apabila mereka menamatkan latihan masing-masing September ini, kesemua mereka akan mencari peluang pekerjaan sebagai kakitangan dapur.

Melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh anak-anak remaja autisme ini, Chef Hoong memasang impian agar salah seorang daripada mereka menjadi chef yang berjaya dan dikenali suatu hari nanti.

"Adalah sesuatu yang sukar untuk mencapai peringkat tertinggi dalam kerjaya, namun kita akan berpuas hati apabila melihat orang gembira menikmati hidangan yang kita sediakan," ujarnya.

Menu signatur


DUDUK, dari kiri: Lee Airene, Juairiah, Chef Hoong, Joyce Chin dan Pearly Chin bergambar bersama remaja autisme selepas tamat sesi memasak.


Di Restoran Chyniis di SStwo Mall, Chef Hoong memperkenalkan pelbagai masakan Cina tempatan selain mi udang Chyniis yang merupakan hidangan signaturnya.

Antara hidangan lainnya termasuklah man tou buatan sendiri, kaktus dengan tauhu dan burdock, udang galah panggang bersama dang gui dan mentega serta ayam rangup tanpa tulang.

Kompleks GOLD@3C yang terletak di Jalan PJS 11/2 dikendalikan oleh sukarelawan dan guru-guru pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway. Di situ, mereka meluangkan waktu petang mereka untuk menyampaikan ilmu kemahiran hidup kepada anak-anak remaja autisme.

Pusat tersebut yang dibuka pada tahun 2006 dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Buat masa ini, seramai 30 ahli menyertai sesi latihan pelbagai kemahiran yang disediakan.

Seorang guru, Lee Airene berharap dapat mencari sukarelawan yang dapat meluangkan masa untuk membaca buku bersama para remaja di pusat berkenaan atau membantu mereka membuat kad ucapan.

Tetap sihat selepas derma darah beratus kali



SUDAH lumrah, jika ada perajurit terkorban ketika menjalankan tugas atau tewas di perbatasan diangkat sebagai wira negara. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa di negara ini masih ramai wira yang tidak mahu diangkat sedemikian.

Wira ini bukan terkorban dek pertumpahan darah tetapi berkorban menderma darah secara sukarela untuk menyelamatkan nyawa individu lain yang tidak mereka kenali tanpa mengira darjat, bangsa dan agama.

Wira sebegini banyak berjasa menyelamatkan nyawa individu lain dengan hanya menderma darah kerana bagi mereka, setitis darah mampu menyelamatkan nyawa.

Namun, tidak kurang juga yang tidak mahu mengikut jejak wira-wira ini dengan pelbagai alasan yang adakalanya tidak boleh diterima oleh norma akal.

Walaupun banyak cerita kurang enak mengenai menderma darah hinggap ke cuping telinganya, Chee Cheng Son, 40, tidak pernah ambil peduli.

“Saya sendiri sudah sudah 62 kali menderma. Syukur kerana setakat ini badan saya tidak menunjukkan simptom lesu mahupun pertambahan berat badan.

“Malah, saya rasa lebih sihat dan cergas kerana badan saya akan mengeluarkan darah yang baharu bagi menggantikan darah yang saya telah dermakan,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Berpegang kepada prinsip, More you donate, the healthier you are, Cheng Son mula terpanggil menderma darah ketika ramai orang memerlukan darah angkara denggi beberapa tahun lalu.

Cheng Son juga pernah dikatakan gila oleh rakan-rakan kerana menderma darah menggunakan kaedah aferesis dua minggu sekali. Namun, kata-kata tersebut dibiarkan bagai angin lalu kerana dirinya gembira setiap kali menjejakkan kaki di Pusat Darah Negara.

“Ini salah satu cara saya berkhidmat untuk negara. Banyak nyawa boleh dibantu dengan pertolongan tidak seberapa daripada saya ini,” katanya sambil menyeru semua warga Malaysia untuk menderma darah.

Ikut jejak ibu

V. Arvindren, 27, menetap di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur boleh dikatakan masih ‘hijau’ dalam pendermaan darah kerana anak muda tersebut baru kali kelima menderma darah.

“Saya datang ke sini tiga bulan sekali jika keadaan kesihatan saya mengizinkan untuk berbuat demikian. Dulu, saya selalu melihat ibu menderma darah. Namun, sejak menghidap kencing manis, ibu tidak lagi layak untuk menderma darah. Kini, saya pula terpanggil untuk meneruskan perjuangannya itu,” katanya yang mula menderma darah pada tahun 2005.

Tidak mudah percaya dengan cerita-cerita mitos mengenai keburukan menderma darah kerana ia tidak benar sama sekali malah, dia berazam mahu menderma dengan lebih kerap.

“Jangan percaya apa yang anda dengar daripada mulut ke mulut. Rasai sendiri pengalaman menderma darah dan nilailah sendiri. Saya sendiri akan menderma darah sehingga keadaan diri saya mengizinkan, mana tahu suatu hari nanti ahli keluarga saya sendiri memerlukan darah,” ujarnya.

Tidak dinafikan bahawa ada segelintir masyarakat yang berminat untuk menderma darah namun, hasrat tersebut terbantut gara-gara ada cerita kurang enak mengenainya.

Penulis sendiri pernah bertemu empat mata bersama seorang pesara tentera laut, Donald Charles Pereira, 60, yang telah menderma darah sebanyak 420 kali sejak tahun 1968, di Karnival Hari Penderma Darah Sedunia 2011 pada Jun lalu.

Menurutnya, dia pertama kali menderma darah di Hospital Assunta, Petaling Jaya kerana salah seorang rakannya terlibat dengan kemalangan. Dia masih tidak jemu menderma darah kerana ia menyihatkan tubuhnya.

“Kebanyakan orang kata menderma darah boleh menyebabkan gemuk tetapi, ia sekadar alasan semata-mata kerana tidak mahu menderma darah,” katanya yang aktif bermain badminton dan berjoging.

Seorang lagi penderma darah, Chin Jeck Leng, 50, yang sudah menderma darah sebanyak 344 kali ketika itu memberitahu membantu orang dengan memberikan wang sangat mudah berbanding menderma darah.

Jeck Leng bertekad menderma darah sebaik mencecah 18 tahun iaitu usia layak menderma selepas ibunya menghadapi kesukaran mendapatkan darah untuk menjalani pembedahan pada usianya 12 tahun.


ARVINDREN sudah lima kali menderma darah kerana mengikut jejak ibunya.


“Sebahagian daripada penderma mungkin berasa sedikit letih selepas menderma, namun keadaan tersebut adalah sesuatu yang dijangkakan dan bersifat sementara kerana sistem badan penderma akan mengambil sedikit masa untuk pemulihan bagi menggantikan jumlah darah yang telah didermakan,” kata Pengarah Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Roshida Hassan.

Ujarnya, pengambilan lebih banyak air dan rehat yang secukupnya dapat mengatasi masalah tersebut, selain mengambil pil zat besi dan asid folik yang dibekalkan oleh Pusat Darah Negara dan tabung darah hospital-hospital untuk proses penggantian semula sel darah merah.

“Mereka ini silent hero yang banyak membantu menyelamatkan nyawa tanpa kita sedari. Kita perlukan ramai hero seperti ini. Respons terhadap pendermaan darah sangat menggalakkan kerana sudah ramai yang tampil kehadapan untuk berbuat demikian,” katanya.

Situasi tersebut dapat dilihat melalui jumlah kutipan darah yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sebagai contoh, pada tahun 2001 jumlah kutipan darah di seluruh negara adalah sebanyak 384,711 berbanding 590,517 pada tahun 2010.

Jenis pendermaan darah

Menurutnya, tidak semua orang layak untuk menderma darah kerana terdapat beberapa kriteria perlu dipenuhi sebelum seseorang itu menderma darah.

Antara kriteria yang ditetapkan ialah seseorang itu perlu berumur di antara 18 tahun hingga 60 tahun, mempunyai berat badan minimum 45 kilogram, tidak mempunyai masalah kesihatan, tidur sekurang-kurangnya lima jam sebelum hari pendermaan, kadar zat besi darah antara 12.5 g/dL - 18.0 g/dL dan tidak termasuk dalam golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV, hepatitis dan sifilis.

Kriteria tersebut ditetapkan bagi memastikan penderma tidak memudaratkan dirinya sendiri apabila menderma dan darah yang diberikan untuk kegunaan pesakit adalah selamat dan berkualiti.

“Secara amnya ada dua jenis pendermaan darah iaitu darah utuh (whole blood) dan aferesis. Kedua-dua jenis pendermaan darah ini adalah sama dari segi kelayakan yang diperlukan tetapi proses pengambilan darah tersebut agak berbeza.

“Pendermaan darah utuh ialah pendermaan darah secara keseluruhannya. Darah ini akan diproses kepada komponen-komponen tertentu selepas pendermaan,” katanya.

Jelasnya lagi, pendermaan aferesis pula adalah pendermaan komponen-komponen darah yang spesifik sahaja sama ada plasma, platelet (sel pembeku darah) atau kedua-duanya sekali. Ia hanya boleh dijalankan di pusat pendermaan darah sahaja kerana pendermaan ini memerlukan mesin khas.

Pengumpulan darah daripada penderma sehinggalah diberikan kepada pesakit adalah satu rangkaian proses yang begitu penting dan mesti menepati pelbagai prosedur kualiti yang ketat kerana darah adalah bahan biologikal yang mudah rosak.

Selepas darah diambil daripada penderma, penyimpanan dan pengangkutan darah mestilah dikekalkan pada suhu 20-24°C sehinggalah darah tersebut sampai ke makmal pemprosesan.

“Suhu dan cara penyimpanan pecahan produk darah adalah berbeza, sebagai contoh plasma disimpan pada suhu -30°C, sel pembeku darah 20-24°C dan sebagainya.

“Jangka hayat produk darah adalah berbeza. Sel darah merah dapat bertahan sehingga 42 hari, sel pembekuan darah hanya lima hari sahaja dan plasma pula mampu bertahan selama dua tahun pada suhu -30°C,” jelasnya.

Menyentuh mengenai stok bekalan darah, Roshida memberitahu bekalan stok darah kini mencukupi hasil daripada kerjasama erat para penderma darah dan penganjur kempen derma darah yang begitu komited membantu.

“Bekalan darah biasanya akan susut sedikit apabila tiba musim perayaan, namun tidaklah sehingga tahap kritikal kerana penderma-penderma pulang bercuti” katanya sambil menyeru semua rakyat Malaysia di seluruh negara tampil menderma darah tidak kira di mana mereka berada kerana sumbangan mereka mampu menyelamatkan nyawa.

Medan uji bakat mengandam


ROSMAN bangga menjadi lelaki yang memiliki bakat andaman.


SUATU ketika dahulu, kerjaya mengandam cukup sinonim dengan kaum Hawa. Namun, label mak andam itu tidak lagi sesuai diguna pakai apabila bidang itu didominasi oleh lelaki.

Hari ini, kerjaya mengandam semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Bukan sahaja kerana bayarannya yang lumayan, malah ia turut membuka peluang bekerjasama dengan individu-individu ternama.

Sehubungan itu, Butik One Touch Wedding Beauty, Banting menganjurkan pertandingan andaman di Gold Coast Morib Resort baru-baru ini. Dengan tema Ratu Sehari, pertandingan tersebut mengetengahkan bakat-bakat andaman yang diperoleh jurusolek-jurusolek tempatan di sekitar Banting dan Klang.

Profil sendiri

Menyedari peluang buat jurusolek tempatan agak terpencil, inisiatif butik tersebut diharapkan dapat membantu mereka menerima tempahan andaman yang lebih banyak pada masa akan datang.

Pemilik serta pengasas butik tersebut, Shahrizah Azrin Shahrin, 32, memberitahu, jurusolek-jurusolek yang mendapat tempat dalam pertandingan tersebut secara automatik akan memiliki profil sendiri dalam katalog butik tersebut.

“Selaku butik yang fokus kepada majlis perkahwinan, pakej yang kami sediakan merangkumi semua aspek. Begitu juga dengan khidmat tukang andam, menerusi pertandingan ini kita dapat membantu mereka mendapatkan pelanggan dengan lebih mudah.


SHUHADA mendapat inspirasi sehari sebelum pertandingan.


“Apabila ada pelanggan yang berminat dengan hasil kerja mereka, kita akan memanggil mereka untuk memenuhi permintaan pelanggan,” jelasnya yang telah berkecimpung lebih lima tahun dalam dunia andaman.

Pada pertandingan hari itu, seramai sembilan peserta dari Banting dan Klang, Selangor mengambil bahagian. Setiap daripada mereka perlu menyiapkan solekan dalam masa satu jam setengah.

Penilaian yang dibuat oleh empat juri terdiri daripada jurusolek-jurusolek profesional yang memberi pemarkahan berdasarkan enam kriteria.

Pemarkahan diberi mengikut teknik solekan, kreativiti, kekemasan, peragaan, baju dan masa yang digunakan menyiapkan tugasan.

Peserta dari Klang, Norshuhada Abd. Hamid, 30, muncul juara pada malam itu apabila seri solekan pengantin yang diaplikasikan pada wajah modelnya menggamit hati juri dan penonton yang hadir pada malam itu.

Pengalaman enam tahun sebagai jurusolek bebas membuatkan Shuhada tampil rileks dan santai sepanjang pertandingan itu berlangsung.

“Saya mendapat inspirasi sehari sebelum pertandingan kerana saya mengetahui tentang pertandingan ini agak lewat. Tetapi berkat usaha dan minat yang mendalam terhadap bidang andaman, saya cuba hasilkan yang terbaik dan Alhamdulillah ia membuahkan hasil,” ujarnya yang kini telah setahun menjadi pengusaha butik pengantin.

Selain solekan kemas, perhiasan tradisional yang digunakan Shuhada juga dikatakan menjadi tarikan juri buat dirinya memenangi pertandingan malam itu.

Harapan ibu tunggal itu agar kemenangan yang diperoleh itu dapat membuka ruang lebih luas bagi dirinya mengembangkan sayapnya ke ibu kota pula.

Serlahkan bakat


BIDANG andaman kini mampu memberi pendapatan lumayan.


Sementara itu, satu-satunya peserta lelaki pada malam itu, Rosman Abd. Rahman, 46, menyifatkan pertandingan tersebut sebagai satu medan buat dirinya menyerlahkan bakat andamannya kepada masyarakat khususnya penduduk Banting.

“Sebelum terjun ke dalam bidang andaman, saya telah membuka salun di Petaling Jaya dan masih beroperasi masuk tahun kelapan.

“Kemudian saya mula berjinak-jinak dengan dunia andaman lima tahun yang lalu dan dalam tempoh itu saya telah banyak menyolek artis-artis ternama tanah air,” jelasnya yang kini menetap di Kampung Permatang Pasir, Banting.

Pada awalnya ramai yang menjangka Rosman akan memenangi pertandingan tersebut berikutan pakaian dan aksesori yang digunakan agak menyerlah berbanding peserta lain.

Walaupun hanya memenangi tempat ketiga, bapa kepada seorang anak itu tetap berpuas hati dan menjadikan pertandingan tersebut sebagai pengalaman berharga.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan khidmat tukang andam serta perkhidmatan lain yang disediakan butik One Touch Wedding Beauty bolehlah menghubungi talian 012-258 3776.

Nyah pneumokokal daripada anak


BAKTERIA streptococcus pneumoniae di bawah pembesaran mikroskop.


PENYAKIT pneumokokal adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus. Ia boleh menyerang pelbagai bahagian tubuh, termasuk otak, paru-paru dan telinga dan menyebabkan penyakit yang serius dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.

Penyakit yang mudah berjangkit itu merebak melalui titisan yang dilepaskan ke udara melalui bersin, batuk atau hubungan rapat dengan orang yang dijangkiti. Ia lebih lazim terjadi dalam kalangan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di Malaysia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sebanyak satu juta kanak-kanak mati setiap tahun akibat penyakit pneumokokal di seluruh dunia. Kajian-kajian tentang penyakit pneumokokal di Malaysia menunjukkan bahawa pneumonia merupakan kejadian klinikal yang paling biasa kadar morbiditi namun penyebab kematian paling tinggi bagi bayi dan kanak-kanak kecil.

Siapakah yang berisiko tinggi?

Secara umumnya, sesiapa sahaja boleh dijangkiti penyakit ini. Antara kumpulan-kumpulan ini termasuk:

*Kanak-kanak yang berusia di antara 2 hingga 24 bulan terutama mereka yang mengalami masalah perubatan yang kronik seperti menghidap penyakit peparu (kecuali asma), jantung, buah pinggang atau hati.

*Orang dewasa yang berusia 65 tahun dan ke atas.

*Mereka yang menghidap kanser atau jangkitan HIV yang melemahkan sistem imun.

*Mereka yang mengalami kegagalan fungsi limfa, contohnya selepas pembuangan limfa dalam talasemia atau berikutan trauma.

Bahaya pneumokokus

Pneumokokus boleh mengakibatkan pelbagai jangkitan. Secara amnya, terdapat dua jenis penyakit pneumokokal iaitu penyakit invasif dan tidak invasif.

Penyakit invasif adalah lebih serius dan menyebabkan penyakit dalam organ utama atau dalam darah termasuklah:

Pneumonia pneumokokal

*Penyakit invasif pneumokokal yang paling lazim boleh bermula dengan demam dan diikuti rasa sejuk, batuk, sesak nafas, pernafasan laju, sakit dada dan kelesuan.

Bacteraemia (Jangkitan kuman dalam darah)

*Satu komplikasi serius yang berlaku apabila bakteria merebak dan menjangkiti darah.

*Jika tidak dirawat, ia boleh menjejaskan fungsi organ-organ utama yang menyebabkan kegagalan buah pinggang dan jantung selain menyebabkan kejutan septik. Kejutan septik mengakibatkan kehilangan fungsi atau kegagalan pelbagai organ dan boleh mengancam nyawa.


USAH memandang ringan akan penyakit ini kerana ia penyebab kematian tertinggi dalam kalangan kanak-kanak.


Meningitis (Radang lapisan

meninges otak dan saraf tunjang)

*Satu keadaan yang sangat serius apabila meninges disebut sebagai men-in'-jeez mengalami keradangan.

*Kanak-kanak yang dijangkiti menunjukkan gejala seperti sakit kepala yang teruk, muntah, demam tinggi, leher yang tegang, menjadi sensitif terhadap cahaya, kekeliruan dan rasa mengantuk.

*Jika tidak dirawati, komplikasi lain seperti sawan, rasa mengantuk yang bertambah dan koma.

*Meningitis mencatatkan salah satu daripada kadar kematian yang paling tinggi, dengan kebanyakan kes melibatkan kanak-kanak berusia setahun kebawah.

Kedua-dua bacteraemia dan meningitis merupakan penyakit yang boleh membawa maut dalam masa beberapa jam. Bayi dan kanak-kanak kecil menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit ini kerana mereka mempunyai tahap antibodi yang rendah.

Sebaliknya, penyakit tidak invasif berlaku di luar organ-organ utama dan darah. Ini termasuk:

Otitis media (Jangkitan bahagian telinga tengah)

*Jangkitan ini biasanya berlaku bersama dengan jangkitan bahagian atas saluran pernafasan, seperti selesema.

*Kanak-kanak boleh mengalami sakit telinga, kesukaran tidur, kesukaran mendengar atau bertindak balas terhadap bunyi, hilang keseimbangan, sakit kepala, demam dan cecair atau nanah mengalir keluar dari telinga.

*Otitis media yang kerap akan mengakibatkan komplikasi yang serius seperti masalah pendengaran, perkembangan pertuturan yang lambat dan penyebaran jangkitan ke tisu-tisu yang berhampiran seperti otak.

Sinusitis (Jangkitan sinus)

*Pneumokokus boleh menyebabkan keradangan sinus dan rongga hidung. Seseorang itu boleh mengalami sakit kepala, tekanan di bahagian muka, tekanan, kesakitan, demam, hingus yang berwarna kuning dan kehijauan, hidung tersumbat, sakit kerongkong atau batuk.

Pencegahan

Pengamalan tabiat kebersihan yang baik di rumah dan di pusat jagaan kanak-kanak boleh membantu membendung penyebaran penyakit ini. Melatih anak anda untuk membersih tangannya dengan teliti apabila tangan kotor adalah amalan yang baik selain menghindari perkongsian cawan, sudu dan garpu. Pusat jagaan kanak-kanak juga perlu memastikan kanak-kanak yang kurang sihat tidak menghadiri pusat jagaan kerana kanak-kanak adalah lebih cenderung untuk dijangkiti akibat pendedahan yang meningkat kepada bakteria.

Walaupun penyakit pneumokokal boleh dirawati dengan antibiotik, ia berkemungkinan sudah terlambat dan kebanyakan kes penyakit pneumokokal invasif yang membawa maut boleh sebenarnya dicegah dengan vaksinasi.

Vaksinasi amat disyorkan untuk mencegah penyakit pneumokokal invasif dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah.

Terdapat dua jenis vaksin terhadap penyakit pneumokokal iaitu vaksin polisakarida dan vaksin konjugasi. Vaksinasi adalah cara utama dalam pencegahan banyak penyakit, dan seterusnya mengelakkan penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang tidak perlu.

Ibu bapa mungkin berasa risau tentang kesan sampingan yang mungkin timbul akibat daripada vaksinasi, yang biasanya sedikit dan minor pada dasarnya. Vaksinasi masih merupakan pengawal terbaik terhadap penyakit yang berpotensi untuk membunuh atau menyebabkan kecacatan berjuta-juta kanak-kanak dan orang dewasa untuk seumur hidupnya.

Anda mempunyai pilihan untuk mengelakkan kematian dan komplikasi yang serius; tingkatkan kuasa terhadap pneumokokus hari ini!