
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Marwan Ma’som (gambar) berkata, kios jalanan bergerak itu merupakan kerjasama Thinking Green dan TPM Engineering Sdn Bhd, di mana unit pertamanya dijangka dilancarkan bulan depan, dengan tawaran harga RM35,000 setiap satu.
Menurutnya, sasaran utama pelanggan kios tersebut ialah dari sektor makanan dan minuman, industri runcit, penjaja jalanan atasan serta pengguna perkhidmatan bergerak lain.
“Kami berharap produk ini akan diterima di pasaran negara supaya masyarakat kita sedar tentang keperluan untuk melindungi dan memulihara alam sekitar.
“Dengan pelancaran kumpulan pertama kios bergerak, kami yakin dapat meneruskan perniagaan dan memberi inspirasi untuk bekerja lebih keras demi mencapai matlamat jangka panjang kami,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.
Marwan berkata, syarikatnya memperuntukkan hampir RM100,000 untuk penyelidikan dan pembangunan bagi mencipta produk teknologi hijau yang inovatif.
Beliau yakin dengan prospek masa depan reka bentuk, perkhidmatan dan produk inovatif yang bakal menjadi peneraju pembangunan teknologi hijau di negara ini menjelang 2015.
Selain itu, beliau juga melihat potensi pasaran eksport luar negara antaranya Australia, Timur Tengah dan Singapura.
Sejak mula beroperasi pada Oktober lalu, Thinking Green telah membangunkan enam produk yang menyepadukan teknologi suria ke dalam reka bentuk untuk menjadikannya mampu beroperasi sendiri dan secara berasingan.
Produk kuasa suria keluarannya termasuk kios jalanan bergerak (V1 dan V2), lampu jalan raya kuasa suria, perhentian bas, jaket keselamatan dan tandas awam yang eko lestari.
Thinking Green turut bercadang memberi tumpuan kepada pembangunan produk baru dengan mempelbagaikan operasi untuk menghasilkan panel suria skala kecil.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: