Sunday, April 24, 2011

Artis hip hop warnai ISF


Aashiq Al Rasul.


DI seluruh dunia hari ini - dari Manhattan ke Johannesberg dan dari Paris ke Rio de Janeiro - muzik moden generasi muda hari ini, sangat agresif dalam mengangkat tema Allah dan Islam.

Generasi pemuzik muda pasca 11 September ini, mencipta paradoksnya yang tersendiri ; memilih untuk menyuarakan pengucapan kecintaan terhadap agama melalui muzik yang dianggap agak terasing dari persekitaran Islam.

Bagi pemuzik yang membesar di kota-kota yang sangat eksperimental dengan ekpresi seni, mereka melihat keupayaan untuk menjadikan muzik kontemporari sebagai instrumen berdakwah.

Suara keagamaan dan ketuhanan, tidak lagi bergema dalam irama muzik konvensional, yang sangat dipengaruhi oleh mood budaya atau latar negara bangsa, tetapi pengucapan mengenai Islam dan ketaqwaan pada Yang Esa dilafazkan dalam susunan muzik dan vokal masa kini.

Di New York, Amerika Syarikat, muzik hip hop dan rap yang bertemakan kepada syiar Islam sudah lama bertapak kukuh, malah hip hop yang berlandaskan pada usaha dakwah Islam ini, mampu untuk mengadakan konsert atau gignya yang tersendiri.

Di New York, yang terkenal sebagai kota seni yang cukup prolifik, anak-anak muda Islam tidak lagi berminat mencari ruang berdakwah melalui genre yang sudah mapan; sama ada pop, jazz, blues atau rock, tetapi sebaliknya cuba berkomunikasi dengan generasi mereka melalui genre hip hop dan rap.

Lalu muncullah Remarkable Current, The Narcicysts, Crème De La Ultra, Mohammad Dangerfield, Baraka Blue, Monotheism dan Native Deen.

Paling popular Native Deen, yang ditubuhkan pada tahun 2000, oleh tiga remaja Islam yang memilih genre hip hop sebagai medium untuk berdakwah.

Native Deen yang dianggotai Joshua Salaam, Abdul Malik Ahmad dan Naeem Muhammad dan hingga kini, sudah mengadakan lebih 60 konsert jelajah di seluruh dunia. Malah di Palestin, kumpulan ini dihormati kerana keberanian mereka hadir untuk mengadakan konsert pada 2006 di Baitul Maqdis sebagai tanda persaudaraan dengan penduduk Islam negara itu.

Native Deen dikenali kerana unsur ‘suara keberaniannya’ - yang dianggap sebagai suara minoriti Islam di Amerika Syarikat - malah semakin lantang mengkritik sistem sosial negara itu berikutan sikap Islamofobia selepas tragedi 11 September 2001.

Keberanian mereka untuk bersuara sangat ketara - dengar dan saksikan klip popular mereka I Don't Scared to Be Alone.

Itu Native Deen dan suasana di Amerika Syarikat - jauh di Jerman, lain senarionya. Muncul seorang artis muda hip hop yang menjadi rebutan untuk mengadakan konsert di seluruh bandar-bandar utama yang terdapat penduduk Islam.

Anak muda warga Jerman berusia 21 tahun ini sudah merantau hingga ke Switzerland semata-mata untuk mengadakan persembahan langsung bagi menghiburkan peminat yang ingin mendengar nyanyian selawat versi hip hopnya.

Budi antara nama besar bagi peminat muzik bertemakan Islam dalam bahasa ibunda Jerman. Lagu Salawat Tala al Badru Alaina, terjual 3000 unit sebaik sahaja dilancarkan.

Di Australia pula, muncul lima anak muda yang turut menawarkan muzik hip hop sebagai medium dakwah mereka. Khususnya untuk masyarakat Islam di negara itu yang majarotinya adalah penduduk berdarah Arab Lebanon.

Muda dan tampan, Brothahood melengkapkan usaha dakwah di kalangan penyanyi generasi baru Islam di seluruh dunia. Motif utama kumpulan ini jelas - mengukuhkan jati diri anak muda Islam untuk berbangga dengan Islam sebagai addin.

Hari ini di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia, perjuangan menjadikan muzik sebagai syiar Islam berkembang pesat. Ia bukan lagi dalam bentuk irama atau warisan budaya yang kekal kerana dipertahankan, tetapi langkah berani memecahkan monopoli budaya hedonism yang menguasai genre muzik anak muda hari ini.

Justeru menyedari percambahan muzik Islam yang kini bertebaran di seluruh dunia, penganjur tempatan O2tw mengambil inisiatif untuk menyatukan semua kumpulan muzik ini dalam satu persembahan di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 30 April dan 1 Mei ini.

Festival Lagu Islam ini (ISF) dianjurkan sebagai tanda menghargai usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi muzik Islam, TV Al Hijrah mengambil langkah menjadi penyiar rasmi festival tahunan yang pertama kali dianjurkan pada tahun lalu.

Selain Native Deen, Brothahood dan Budi, konsert 4 jam ini turut mengundang 11 lagi artis yang selama ini berjuang mengembangkan syiar Islam melalui kerja seni mereka.

La Rappel dan Khalid Barlhouzi (Perancis), Zain Bhika(Afrika Selatan), Bennami (Maghribi), Ziryab (Brazil), Noor, Fez Meghani & Aftab Ali (Amerika Syarikat), Aashiq Al Rasul dan Khaleel Muhammad (United Kingdom). Manakala Opick dan Debu mewakili Indonesia. Dua artis tempatan yang turut mengadakan persembahan ialah Yassin dan Brotherz.

n Penulis adalah Pengurus Besar Penerbitan TV AlHijrah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: