Monday, June 7, 2010

Wanita bekerja bantu ekonomi




Menurut Laporan Pembangunan Manusia Asia-Pasifik 2010 (AHDR) jika kadar penggajian wanita ditingkatkan kepada 70 peratus, negara seperti Malaysia, India dan Indonesia akan menyaksikan peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara dua dan empat peratus.

Penggajian wanita pada kadar ini hanya boleh disaksikan di negara maju berbanding penyertaan wanita dalam tenaga kerja pada kadar yang lebih kecil merentasi Asia Pasifik yang menyebabkan rantau itu kerugian US$89 bilion setiap tahun.

Laporan yang bertema "Kuasa, Suara dan Hak: Titik Perubahan bagi Kesamaan Gender di Asia dan Pasifik", ditaja oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP).

"Sementara perbahasan mengenai kesamaan gender semakin dilihat daripada perspektif hak asasi manusia, terdapat semakin banyak bukti bahawa kesaksamaan gender baik untuk ekonomi," kata wakil negara UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Kamal Malhotra di dalam laporan itu.

Negara-negara di rantau yang banyak berusaha untuk menggunakan bakat dan kapasiti wanita telah mara jauh daripada aspek pembangunan manusia. Negara-negara yang masih berpegang kepada ketidaksamaan gender menghadapi ketidakstabilan sosial dan kerugian ekonomi.

Rantau Asia-Pasifik menyaksikan pertumbuhan meluas serta pembangunan pesat dalam dekad kebelakangan ini.

Daripada segi kemajuan kesamaan gender, banyak yang boleh dibanggakan seperti capaian yang lebih baik dalam pendidikan untuk kanak-kanak perempuan, penggajian lebih ramai wanita dan dasar yang dibangunkan demi kesamaan gender.

Walaupun terdapat kemajuan ketara dalam banyak bidang, terlalu banyak aspek dan diskriminasi gender masih wujud di semua rantau dan negara.

Wanita di rantau Asia-Pasifik menghadapi defisit teruk daripada segi kuasa, suara dan hak.

Di sebaliknya, Asia Timur juga mengorak kemajuan signifikan, termasuk kadar purata tertinggi di dunia bagi penyertaan wanita dalam ekonomi.

Kadar ini berbeza dengan ketara terutama dalam kalangan wilayah kecil, bagaimanapun, kualiti dan hak yang berkaitan dengan penggajian masih menjadi persoalan.

Kajian yang diketuai Dr Anuradha Rajivan, Penyelaras Program Serantau UNDP, Unit Laporan Pembangunan Manusia, Pusat Serantau bagi Asia Pasifik, juga menunjukkan wanita masih berpendapatan kurang daripada lelaki.

Walaupun terdapat undang-undang yang menjamin gaji saksama, jurang pendapatan antara lelaki dan wanita ialah antara 54 peratus dan 90 peratus.

Daripada segi kuasa ekonomi, sejumlah 67 peratus wanita Asia Timur turut serta dalam pasukan tenaga kerja, melebihi purata global iaitu 53 peratus, tetapi wanita di Asia Selatan pula ketinggalan agak jauh iaitu lebih kurang 36 peratus.

Majoriti wanita di rantau, sehingga 85 peratus dari Asia Selatan, berada dalam kategori penggajian "tidak stabil" seperti dalam ekonomi tidak rasmi atau bekerja sendiri dengan pendapatan rendah, jauh lebih tinggi daripada purata global sebanyak 53 peratus.

Lebih 65 peratus daripada penggajian wanita di Asia Selatan dan lebih 40 peratus di Asia Timur ialah dalam bidang pertanian.

Bagaimanapun, wanita di rantau Asia Pasifik hanya mengetuai tujuh peratus di ladang berbanding 20 peratus di kebanyakan rantau lain dunia.

Di peringkat global, Asia mempunyai bilangan peminjam kredit mikro paling ramai sekali dan peratusan tertinggi peminjam yang terdiri daripada wanita miskin. Di Asia, 98 peratus daripada peminjam kredit mikro pada 2006 ialah wanita, berbanding 66 peratus di Afrika dan 62 peratus di Amerika Latin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: