Wednesday, June 2, 2010

Bukan muzik orang kaya




NAMA Rachel Guerzo, 35, barangkali masih belum mekar di persada seni walaupun wanita itu sudah berkecimpung dalam bidang seni suara sejak dua dekad lalu.

Berbanding nama-nama besar penyanyi jazz lain seperti Sheila Majid, Noryn Aziz dan Atilia, Rachel mungkin kurang dikenali. Beliau lebih selesa membuat persembahan berskala kecil seperti di majlis makan malam korporat, kelab-kelab atau di hotel-hotel terkemuka.

Namun, sejak empat tahun lalu cucu kepada Alfonso Soliano iaitu pengasas, komposer dan penggubah untuk Orkes Radio Malaya itu mula memberi tumpuan kepada muzik jazz untuk melebarkan impian dan legasi datuknya dalam bidang muzik.

Buktinya pada 27 April lalu, Rachel berjaya mengalunkan suara gemersiknya di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) sambil disaksikan oleh 800 orang peminat muzik jazz. Ia juga merupakan persembahan terakhir untuk DFP musim 2009/2010 yang juga telah menampilkan kumpulan Double Take dan Noryn Aziz.

Anak kepada pemain saksofon, Salvador Guerzo dan pemain piano, Francisca Soliano itu juga lebih banyak menyampaikan lagu Melayu jazz berbanding Inggeris pada malam persembahannya memandangkan keluarga Soliano memang dikenali dengan membawakan lagu-lagu Melayu yang disuntik elemen jazz.

Rachel juga mengejutkan tetamu kerana berjaya menyampaikan lagu sambil bermain piano dengan baik.

"Saya memang serasi bermain piano sambil menyanyi. Memang sukar kerana kita bukan sahaja perlu fokus pada nyanyian tetapi dalam masa yang sama kena bermain piano dengan baik," katanya yang mahir bermain piano sejak umurnya lima tahun.

Bercerita mengenai penglibatannya dalam bidang muzik jazz, semuanya di atas dorongan mendiang datuknya. Sejak kecil, datuknya mendedahkan Rachel dengan muzik. Selepas datuknya meninggal ketika Rachel berumur 16 tahun, dia mula menjadi penyanyi latar untuk penyanyi Salamiah Hassan selama dua tahun.

Selepas melanjutkan pelajaran ke Western Australia Academy of Performing Arts (WAAPA), Universiti Edith Cowan, Australia selama dua tahun, Rachel pulang ke tanah air dan bekerja sebagai penerbit muzik di bawah syarikat rakaman video Freddie Fernandez.

Pada masa yang sama, Rachel mula menyanyi di kelab-kelab dan hotel-hotel terkemuka sambil bermain piano.

Memiliki bakat menyanyi yang unik, Rachel dipelawa oleh pemuzik Farid Ali mengembangkan kariernya dalam bidang muzik Jazz.


RACHEL lebih banyak menyampaikan lagu dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris.


"Kalau diikutkan, menyanyi di kelab-kelab dan hotel-hotel lagi memberi kepuasan kepada saya. Tetapi, disebabkan ingin melebarkan karier ke peringkat yang lebih jauh dan memperjuangkan muzik nuansa ini, saya memilih untuk merakamkan album," katanya yang menerbitkan album pertamanya, No Black Tie.

Rachel juga merakamkan semula lagu-lagu ciptaan Soliano dan pemuzik-pemuzik Malaysia tersohor seperti Jimmy Boyle untuk dimuatkan dalam album sulungnya yang telah diedarkan pada Disember tahun lalu.

Album tersebut merupakan kolaborasi jazz pertama yang dihasilkan di Malaysia dengan lagu-lagu komposer tempatan lantaran Rachel ingin menonjolkan genre muzik yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Zain Azman dan Julie Sudiro.

Jelas Rachel, muzik jazz sebenarnya lebih sukar berbanding genre muzik lain. Seseorang penyanyi perlu cekap dan kreatif untuk mengubah rentak semasa membuat persembahan.

Pengaruh ibu, nenek

Selalunya dua rentak dalam muzik jazz digunakan semasa membuat persembahan iaitu swing dan spontan.

"Swing yang pelbagai menjadikan lagu tersebut kelihatan menarik. Sebagai contoh, apabila elemen Melayu dimasukkan ke dalam muzik jazz. Menggunakan lirik dan muzik Melayu tetapi diselitkan dengan rentak jazz.


SELAIN menyanyi Atilia juga menulis dan menggubah lagunya sendiri.


"Bagi rentak spontan pula, apabila penyanyi jazz membuat persembahan, mereka boleh menggubah lagu tersebut agar ia lebih menarik dan menghiburkan," kata Rachel bahawa penyanyi jazz lazimnya lebih selesa menyanyi sambil bermain alat muzik seperti piano, gitar, piano, saksafon dan banyak lagi.

Sementara itu, penyanyi kecil molek, Atilia, 36, yang terkenal dengan muzik berentak jazz kontemporari, memilih genre muzik jazz kerana merasakan ia bersesuaian dengan jiwa dan suaranya.

Anak kepada penyanyi Salamiah Hassan itu memberitahu, bakat menyanyi yang ada dalam dirinya itu disebabkan pengaruh ibu dan neneknya, Sabariah Aziz. Sabariah seorang penyanyi, pelakon dan penggubah lagu.

Anak sulung daripada dua beradik itu pernah berlakon untuk teater P.Ramlee The Musical dan menggubah lagu di dalam albumnya iaitu Sangkar dan terbaru, Indah.

Pembabitan Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron dalam bidang muzik agak lewat walaupun minat menyanyi sudah ada sejak kecil lagi.

"Ibu tak benarkan saya terlibat dalam bidang muzik masa kecil. Dia izinkan pun jika selepas saya habis sekolah," katanya yang mula menyanyi untuk iklan televisyen iaitu iklan susu Fernlife, Maggie dan Kentucky Fried Chicken (KFC) pada umur sembilan tahun.

Terbit album

Ketika itu, Atilia menyanyi sekadar suka-suka dan untuk mendapatkan duit poket. Setiap kali pulang dari sekolah, Atilia akan pergi ke studio ibunya di Betarecs, Seksyen 19, Petaling Jaya untuk melihat ibunya berlatih menyanyi.

"Saya suka tengok ibu menyanyi. Kadang-kadang saya akan berlatih dan menyanyi bersama ibu. Saya sabar menunggu habis sekolah untuk bergiat aktif dalam bidang muzik.

Bagaimanapun, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu Atilia masih tidak mengizinkannya menyanyi. Sebaliknya, menyuruh Atilia menyambung belajar di London School of Economics dalam jurusan Ekonomi peringkat ijazah.

Disebabkan minat belajar bidang ekonomi tiada dalam diri Atilia, dia kemudiannya pulang ke Malaysia dan menyambung pengajian di Universiti Lim Kok Weng, Cyberjaya dalam bidang pengiklanan.

Selepas habis belajar selama tiga tahun di Lim Kok Wing, Atilia bekerja dalam bidang pengiklanan di JHA Production bawah Joe Hasham & Associates. Selepas beberapa tahun, dia bekerja pula dengan Studio Imaginex. Dia juga pernah bekerja di bawah Roslan Aziz.

"Roslan Aziz banyak memberi perangsang dan semangat kepada saya untuk menerbitkan album sendiri. Berkat sokongan beliau, album pertama saya yang berjudul Sangkar berjaya diterbitkan," katanya yang membuat keputusan berhenti kerja di Imaginex dan memfokuskan kariernya sebagai artis sepenuh masa.

Album keduanya, Indah yang diterbitkan baru-baru ini memuatkan sepuluh buah lagu yang ditulis sendiri oleh Atilia.

Mengakui banyak menulis lagu dan kebanyakannya semua terarah kepada jazz, idea menulis lirik lagu Indah dan Selainnya yang termuat dalam album tersebut adalah berdasarkan pengalaman manis beliau. Single pertamanya yang berjudul, Indah ditulis berdasarkan pengalaman manisnya bersama teman-teman.

Jelasnya Atilia, ramai orang mengkategorikan muzik jazz adalah muzik orang kaya. Tetapi sebenarnya tidak.


NORYN antara penyanyi jazz yang banyak membuat persembahan di kelab-kelab dan festizal jazz.


"Muzik jazz telah wujud sejak zaman perhambaan di Amerika, cuma ia baru masuk ke Malaysia," katanya mengenai muzik jazz. Pada mulanya, ramai yang mempersoalkan Atilia kenapa memilih genre muzik jazz berbanding genre muzik lain seperti pop, balada, R&B yang lebih menepati cita rasa pendengar Malaysia.

Namun, Atilia lebih serasi dengan muzik jazz dan menganggap genre muzik itu ibarat darah dagingnya sejak dulu, kini dan selamanya. Beliau yang meminati penyanyi jazz iaitu Sade, kumpulan Earth Wind and Fire serta Incognito itu memberitahu, dia tidak akan sesekali menukar genre lain selain jazz.

Sepanjang penglibatan Atilia dalam muzik jazz, pelbagai pengalaman pahit dan manis telah ditempuhinya. Baginya, saat paling bahagia apabila album pertamanya, Sangkar diterima ramai dan juga penerbitan album keduanya Indah.

Selain itu, dia sangat gembira apabila ditawarkan berlakon dalam teater muzikal P.Ramlee dan membawakan watak Junaidah. Berkongsi kisah pahitnya, Atilia mengakui dia perlu bekerja keras untuk bertapak dalam bidang muzik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: