PENDUDUK Kampung Tok Mengkula berhati-hati bimbang berlaku nahas ketika melalui jambatan retak dan tidak berpagar.
SANGLANG: Jambatan konkrit di Kampung Tok Mengkula, Sanglang di sini diumpamakan penduduk sebagai perangkap maut kerana keadaannya yang uzur dengan bahagian tebingnya yang berlubang dan pecah selain penghadangnya patah. Tinjauan Berita Harian mendapati, kemudahan itu hanya menanti masa untuk roboh berikutan keadaannya sudah tidak stabil selain retak di bahagian bawah dan agak berbahaya untuk kenderaan berat termasuk kereta. Difahamkan sebahagian besar tebing pada jambatan itu pecah akibat kerap digunakan kenderaan berat termasuk lori dan traktor berikutan tiada laluan lain yang boleh menghubungkan kampung berkenaan dengan jalan besar.
Jambatan yang dibina sejak lebih 30 tahun itu sebelum ini menjadi nadi kepada penduduk untuk berulang alik mencari rezeki, menghantar anak ke sekolah dan aktiviti harian lain namun kini ia boleh menyebabkan kemalangan pada bila-bila masa jika tidak diambil perhatian sewajarnya.
Penduduk mendakwa mereka terpaksa meninggalkan kereta di tepi jalan manakala bagi yang menunggang motosikal dan basikal mereka terpaksa turun dan menyorong kenderaan mereka kerana bimbang akan bertembung dengan kenderaan lain yang boleh menyebabkan kemalangan.
Seorang suri rumah, Noraini Ramli, 45, yang kerap menggunakan laluan itu berkata, beliau terpaksa menunggang motosikal perlahan-lahan kerana bimbang tayar motosikalnya tersangkut pada lubang di jambatan berkenaan.
“Jambatan ini kerap dilalui orang luar terutama dari Kerpan yang menggunakan jambatan ini sebagai laluan utama untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Sanglang yang terletak kira-kira setengah kilometer dari kampung ini sebagai jalan pintas.
“Ada juga orang luar serta penduduk kampung yang menaiki lori dan traktor yang terpaksa melalui jambatan ini untuk membajak sawah dan menghantar barang kerana tiada laluan lain," katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk, Mohd Anuar Saleh, 21, berkata seorang penduduk nyaris tercampak ke dalam sungai kerana keadaan jambatan itu yang tidak stabil namun tiada sebarang kecederaan berlaku.
Katanya, penduduk kampung juga bimbang kerana pada bila-bila masa saja nyawa dan keselamatan mereka boleh terancam berikutan terdedah kepada bahaya.
“Paling membimbangkan adalah keselamatan atau nyawa pelajar sekolah yang menyeberangi jambatan berkenaan untuk ke sekolah.
“Jambatan ini sepatutnya sudah lama diperbaiki tetapi pihak berwajib tidak mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah itu walaupun sudah lima kali pemeriksaan untuk membuat jambatan baru dilakukan.
“Jika boleh kami berharap agar jambatan berkenaan digantikan dengan jambatan yang besar dan lebih kukuh," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: