BANGKAI lembu bergelimpangan di bahu jalan selepas dirempuh kenderaan menyebabkan busuk di sekitar Jalan Sungai Lembing.
KUANTAN: Masalah lembu berkeliaran di sekitar Kampung Panching, Jalan Sungai Lembing dekat sini bukan hanya mendatangkan masalah pencemaran bau dan menjejaskan pemandangan kerana najis haiwan itu tetapi ia turut mengancam nyawa penduduk. Sejak dua tahun lalu, empat kematian pengguna jalan raya direkodkan di lokasi itu akibat kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan maut selepas berlanggar dengan lembu yang berkeliaran di sepanjang jalan berkenaan. Di samping itu, ada banyak kes kemalangan lain yang mendatangkan kecederaan kepada pemilik kenderaan seterusnya terpaksa menanggung kerugian membaiki kerosakan kenderaan masing-masing.
Walaupun ramai pengguna terpaksa menanggung kerugian akibat kecuaian pemilik lembu itu menguruskan haiwan ternakan masing-masing, bagi penternak lembu berkenaan masih memperoleh keuntungan hasil jualan ternakan mereka.
Malah, mereka menikmati keuntungan berganda kerana tidak perlu banyak modal untuk membeli makanan ternakan atau membina kandang, sebaliknya haiwan ternakan itu dibiar saja berkeliaran di sepanjang bahu jalan untuk meragut rumput.
Ketua Kampung Panching, Abdul Rashid Abdullah, berkata dianggarkan bilangan lembu yang berkeliaran di sekitar ladang kelapa sawit di situ adalah antara 1,500 hingga 2,000 ekor.
“Semuanya diternak secara lepas di sekitar ladang yang tidak berkandang tetap atau berpagar menyebabkan lembu itu bebas berkeliaran ke jalan raya dan kawasan perumahan penduduk terutama pada waktu malam.
“Ia mengancam pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal yang melalui sekitar jalan merentasi ladang kelapa sawit kerana kelompok lembu berkenaan kerap melintas jalan secara tiba-tiba,” katanya.
Abdul Rashid turut mendakwa pernah melihat seorang remaja yang sedang menunggang motosikal menuju ke masjid untuk bersolat maghrib, maut selepas motosikalnya merempuh sekumpulan lembu yang melintas jalan secara mengejut.
“Selain itu, ada juga kemalangan maut membabitkan kenderaan terbabas ke dalam semak kerana cuba mengelak lembu yang berkumpul di tengah jalan raya berselekoh tajam, mengorbankan nyawa pemandunya.
“Kejadian seperti ini sepatutnya menjadi ikhtiar kepada pemilik ternakan berkenaan supaya tidak sesuka hati melepaskan lembu mereka di jalan raya sehingga mengorbankan nyawa orang lain,” katanya.
Abdul Rashid berkata, semua lembu yang berkeliaran di sekitar jalan dan ladang kelapa sawit di Kampung Panching itu dipercayai membabitkan antara 20 hingga 30 penternak dan sebahagiannya bukan dari penduduk kampung berkenaan.
Sementara itu, seorang penduduk kampung, Nor Azizi Muhammad, 30, yang kehilangan anak saudaranya dalam kemalangan membabitkan lembu yang berkeliaran di situ, menganggap penternak terbabit sebagai individu yang tidak bertimbang rasa.
“Jika mereka mempunyai sifat tanggungjawab sebagai seorang penternak, pastinya mereka akan menjaga haiwan mereka termasuk mendirikan kandang tetap atau menggunakan pagar elektrik di sekeliling ladang kelapa sawit yang menjadi kawasan lembu mereka meragut rumput.
“Namun kesedaran masih rendah walaupun sudah banyak nyawa terkorban akibat sifat tamak penternak lembu yang hanya ghairah mengejar keuntungan tanpa memikirkan kesusahan orang lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: