Friday, June 18, 2010

Jaja pil khayal

 KUMPULAN remaja  dipercayai pengedar pil khayal berkeliaran di  Jalan Gertak mengedar dadah kepada  penunggang motosikal.
KUMPULAN remaja dipercayai pengedar pil khayal berkeliaran di Jalan Gertak mengedar dadah kepada penunggang motosikal.
Kumpulan remaja berkeliaran depan premis Jalan Gertak jual dadah

KUCHING: Lagak mereka seperti ulat tiket yang biasa kita lihat di Hentian Puduraya di ibu negara atau di terminal bas Larkin di Johor Bahru. Namun mereka bukannya menjual tiket bas atau mencari penumpang untuk pengusaha kereta sapu yang menunggu di tepi jalan, sebaliknya kumpulan remaja yang berkeliaran di depan premis kedai di Jalan Gertak di sini, disyaki menjual pil khayal. Mereka menunggu pelanggan tetap yang datang untuk mendapatkan bekalan pil khayal daripada kumpulan remaja berlagak samseng itu.

Kebanyakan pelanggan mereka yang juga kalangan remaja datang menaiki motosikal dan terus meninggalkan lokasi `jual beli' itu dengan segera sebaik saja mendapat bekalan.

Tinjauan Berita Harian mendapati aktiviti jual beli pil khayal itu bermula sejak pagi namun waktu puncak bagi mereka ialah sekitar jam 3 petang hingga 6 petang kerana ketika itulah ramai penagih pil khayal keluar untuk mencari bekalan.

Difahamkan aktiviti haram yang dijalankan secara terbuka setiap hari di tempat awam itu berlaku sejak beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, kebanyakan penagih pil khayal di bandar raya ini mendapatkan bekalan daripada pengedar yang berselindung di sebalik premis menjual alat telekomunikasi juga di jalan sama, namun kedai itu kini ditutup selepas diserbu pihak berkuasa tidak lama dulu.

Berikutan itu, kumpulan remaja yang bertindak sebagai penjual pil khayal semakin berani menjalankan aktiviti mereka di kawasan tumpuan ramai di pusat bandar raya.

Ketika wartawan Berita Harian melalui lokasi jual beli itu, secara kebetulan terdengar seorang remaja yang dipercayai penjual pil khayal memberitahu sesuatu kepada dua remaja bermotosikal.

"Stock on the way... tunggu lok (stok dalam perjalanan... tunggu dulu)," kata remaja itu sambil matanya liar memerhatikan sekeliling mungkin bimbang kehadiran pihak berkuasa.

Tertarik dengan dialog ringkas itu, penulis berhenti berhampiran sebuah kotak yang digunakan oleh seorang tukang membaiki kasut dan memerhatikan gelagat dan aktiviti kumpulan remaja terbabit.

Memang jelas mereka berurusan secara sulit di tempat terbuka itu dan hasil pemerhatian mendapati, urusan jual beli cukup ringkas apabila penunggang motosikal memberhentikan kenderaannya dan mereka bersalaman. Ketika bersalam, wang dan pil khayal bertukar tangan.

Difahamkan mereka menjual sebungkus pil khayal yang mengandungi antara 10 hingga 15 biji pil pada harga antara RM5 hingga RM10.

Mereka juga didapati memasang pengintip di beberapa sudut strategik yang memberi amaran awal jika mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Malah, ketika tinjauan dilakukan dari tingkat atas bangunan tempat letak kereta Saujana, beberapa remaja termasuk perempuan memerhatikan gerak geri penulis.

Salah seorang daripada mereka memberi isyarat kepada seorang lagi rakan mereka yang berada dalam premis kedai makan di bangunan berkenaan kerana menyangkakan penulis sebagai pihak berkuasa.

Remaja terbabit kemudiannya menghubungi rakan mereka yang sedang berurusan dengan pelanggan di bawah bangunan itu.

Tidak lama selepas itu, semua urusan jual beli dihentikan dan remaja berambut perang dengan potongan ala mohican yang dipercayai pengedar pil khayal hilang entah ke mana, manakala pelanggan mereka cabut lari.

1 comment:

  1. reportla kat balai polis.balai polis tu dkat je kat situ, berdepan je dgn dorang nie yang dikatakan menjual pil,bukan jual reload kad ke?...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: