"YA Tuhanku, kau tempatkanlah Kak Ngah dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang soleh. Semoga Engkau memberi pembalasan kepada mereka yang sanggup melakukan perbuatan zalim kepadnya. Amin." Itulah doa yang tidak pernah lekang dari bibir seorang insan bernama bapa kepada anaknya.
Meskipun tiga tahun sudah berlalu, setiap hari Jazimin Abdul Jalil, 36, tidak pernah lupa memanjatkan doa buat Allahyarham Nurin Jazlin. Itulah rutin yang tidak pernah luput dalam hidup Jazimin, isterinya dan Norazian Bistaman, 38.
Masih segar dalam ingatan seluruh rakyat negara ini bagaimana tragisnya riwayat 30 hari-hari terakhir anak comel, Nurin atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ngah, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Desa Setapak, Kuala Lumpur itu.
Namun bagi Jazimin, setiap detik yang dilaluinya itu bagaikan semalam berlaku. Apatah lagi beliau akan sentiasa terkenangkan keletah manja anak kedua daripada empat beradik itu.
"Kak Ngah adalah seorang anak yang ringan tulang berbanding adik-beradiknya yang lain. Walaupun ketika itu dia baru berusia lapan tahun tetapi beliau sentiasa menghulurkan apa sahaja pertolongan yang diminta saya dan ibunya.
"Kini keletah itu tidak dapat saya rasai lagi, apabila kebahagiaan kami telah diragut oleh makhluk tuhan tanpa sebab," tambah Jazimin.
Hari bapa terakhir
Bulan Jun yang datang dengan meraikan satu hari penting untuk seorang lelaki juga turut menggamit memori Jazimin.
Pada hari minggu ketiga pada Jun tahun 2007 iaitu dua bulan sebelum Nurin pergi buat selama-lamanya, Jazimin didatangi arwah yang menyerahkan sepucuk surat dalam sampul putih.
Sebuah kad ucapan bertulisan tangan berbunyi: 'Selamat Hari Bapa. Khas untuk abah. Sayang abah. Daripada Kak Ngah'.
Pada kad tersebut terlukis gambar seorang lelaki dan wanita bersama-sama empat orang kanak-kanak yang menterjemahkan keluarga bahagia Jazimin.
"Saya dapat merasai keikhlasannya itu. Tetapi saya tidak tahu rupa-rupanya itu adalah kad ucapan terakhir arwah," jelas Jazimin yang kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Setapak, Kuala Lumpur bersama keluarganya.
Walaupun kes itu pernah menggemparkan negara dan menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar, kini segala-galanya lesu tanpa sebarang khabar berhubung penangkapan penjenayah kejam itu.
Namun, jauh di sudut hati Jazimin beliau menaruh harapan agar manusia berhati syaitan itu ditangkap demi membela hak anaknya.
Jazimin yang bekerja sendiri tidak dapat menggambarkan perasaannya bermula sejak kehilangan Nurin sehinggalah anaknya itu disemadikan.
Bahkan, setiap detik fikirannya tidak pernah padam daripada terus mengingati Nurin. Bahkan, hampir setiap minggu tanpa jemu dia akan menziarahi pusara Nurin untuk melepaskan kerinduannya kepada anak comel itu.
Pertemuan singkat, kasih berpanjangan
Meskipun Adam Haikal Iman hanya pernah melihat dunia dalam masa 12 hari, namun kepada penyampai radio dan pengacara terkenal, Mohd. Faizal Ismail, 34, kehadiran permata hatinya itu cukup bermakna.
Pengacara rancangan Muzik-Muzik dan penyampai radio Hot FM itu tetap menyimpan kerinduannya kepada arwah anak lelakinya.
"Selepas 11 hari dilahirkan, doktor mengesahkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada jantung Adam Haikal kerana injap yang tidak wujud pada bahagian itu dan peluang untuknya sanga tipis," ungkap Mohd. Faizal.
Melihat kasih isterinya, Norazlina Ahmad Din menyusukan arwah di satu sudut di Hospital Tawakkal, Kuala Lumpur membuatkan hati lelakinya bagaikan direntap. Apatah lagi saat baru sahaja diberitahu mengenai komplikasi yang berlaku kepada anak lelakinya itu.
"Sebagai seorang ayah, pastinya ia sesuatu yang sukar untuk diterima, tetapi saya pasrah terhadap ketentuan itu. Saat mengazankan arwah menjadi kenangan terindah buat saya walaupun kami tidak dapat merasai keindahan dunia bersama dengan lebih panjang," katanya.
Kini Mohd. Faizal meneruskan hidup seperti biasa bersama isteri dan anak sulung, Nurkhairina Iman, 8, walaupun hari-harinya sentiasa merindui arwah yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Choh, Rawang, Selangor yang juga kampung halaman isterinya.
Air mata seorang ayah
Berbeza pula cerita seorang bapa yang berasal dari Semporna, Sabah, Abdul Sarang Bangun, 42, kerana anak perempuan kesayangannya bukan pergi menghadap llahi sebaliknya lari dari rumah untuk mengikut seorang pengkid.
Walaupun beliau masih bertuah berbanding Jazimin dan Mohd. Faizal yang kehilangan anak tersayang buat selama-lamanya, namun jauh di sudut hati kecilnya sedang merasai kesakitan kehilangan cahaya mata yang ditetang bagaikan minyak penuh.
|
|
Air mata seorang bapa tidak pernah berhenti menitis termasuklah saat menceritakan kepada wartawan Kosmo! bahawa beliau berharap anaknya Marnie, 15, yang didakwa mengikuti seorang rakan wanitanya berumur, 20-an pulang ke pangkuan keluarga.
"Detik jam 3 petang, 13 April lalu menjadi saat suram dalam keluarga saya kerana Marnie meninggalkan sekeping nota menyatakan yang dia pergi meninggalkan kami semua untuk mengikut perempuan itu ke Semenanjung (Semenanjung Malaysia.)
"Hati saya sangat terkilan kerana dia sebelum ini seorang anak yang patuh kepada orang tuanya," jelasnya yang turut bekerja di ladang kelapa sawit untuk menyara keluarga.
Bukti kasih sayang seorang bapa jelas terpancar daripada usaha bersungguh-sungguh Abdul Sarang menjejaki anak gadis kesayangannya.
Demi Marnie, Abdul Sarang menggadai barang kemas isterinya untuk mendapatkan wang membiayai perjalanannya ke Semenanjung Malaysia.
"Mamanya sedang sakit kerana merindui Marnie. Harapan saya agar dia tinggalkan perempuan itu kerana hanya keluarga sahaja yang akan ikhlas menjaganya sampai bila-bila.
Sebagai seorang bapa, beliau sentiasa mengingati detik bahagianya bermula ketika Marnie dilahirkan sehingga saat indah itu tiba-tiba lenyap apabila Marnie lari meninggalkan keluarga.
Usianya akan menjangkau 15 tahun Julai ini, namun beribu harapan yang terbuku di hati Abdul Sarang untuk melihat anaknya pulang ke pangkuan keluarga. Malah, hatinya tidak berubah sedikit untuk terus menyayangi anaknya itu.
"Marnie pulanglah," rayu Abdul Sarang mengakhiri bicara dukanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: