|
DALAM bahasa Tagalog, ungkapan “Mahal kita” membawa erti “aku cinta pada mu”. Justeru tatkala kaki penulis melangkah masuk ke perkarangan banglo eksklusif yang diberi nama “Mahal kita” itu, aura ungkapan tersebut dapat dirasakan bertebaran di segenap ruang. Pemiliknya, Datin Noorsiah menyambut kedatangan penulis bersama jurugambar pagi itu. Suaminya, Datuk Dr. Nordin Darus tiada di rumah kerana ke luar daerah.
Dari luar, rekaan banglo tiga tingkat yang terletak di kawasan residensi elit Shah Alam itu memukau mata memandang. Rekaan unik bumbung yang berlapis-lapis dan dinding dipenuhi tetingkap kaca memanjang ternyata mencipta kelainan serta lari daripada kebiasaan.
Menurut Noorsiah, konsep rekaan struktur bangunan dan dalaman kediaman itu ditentukan oleh beliau dan suaminya sendiri. Apatah lagi Dr. Nordin merupakan pelukis yang mahir.
“Sudah lama kami memikirkan konsep begini. Dengan bantuan DRM Arkitek yang juga dimiliki oleh sahabat baik suami saya, lalu terhasillah kediaman impian ini,” kata isteri pengasas alat penapis air jenama Rx-Water itu.
Dalam menentukan senibina yang diingini, mereka berdua setuju memilih kediaman yang dihasilkan berkonsep kontemporari namun dalam masa yang sama tetap mengekalkan ciri kemelayuan.
Ini dapat dilihat pada pintu masuk utama yang dihasilkan daripada kayu cengal berkualiti yang ditempah khas dari Balai Seni Wan Po, Besut Terengganu. Begitu juga tetingkap berkaca memanjang dengan bingkai kayu mencerminkan ciri rumah Melayu tradisional.
Kata Noorsiah, air menjadi teras utama dekorasi luar dan dalam rumah kerana bagi Dr. Nordin, air telah memberi rezeki yang melimpah ruah kepadanya.
Binaan air terjun dari tepi sudut tingkat dua hingga ke bawah menghasilkan satu suasana resort yang nyaman. Bunyi deruan air yang mengalir menghasilkan irama alam nan asyik. Pasti membuai perasaan siapa saja yang berkunjung ke situ.
Ruang tamu utama, ruang masuk, ruang makan dan beberapa bilik tidur menghadap panorama Bandar Raya Shah Alam yang tenang. Dari jauh, jelas kelihatan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah tersergam indah.
Menariknya kediaman itu mempunyai 13 bilik air berbanding hanya tujuh bilik tidur. Kata Noorsiah, ia sengaja dibina bagi memudahkan tetamu yang datang tanpa perlu masuk ke bilik yang lebih bersifat persendirian.
Tingkat atas menempatkan bilik tidur utama, bilik tidur anak perempuan, bilik anak bujang dan ruang bacaan.
Tingkat dua letaknya ruang tamu utama yang dibina seakan balairung seri sebuah istana Melayu. Ruang masuk utama, ruang menunggu, ruang makan, bilik tetamu, surau, gimnasium dan dapur juga terletak di situ.
Manakala tingkat bawah menempatkan bilik anak lelaki, ruang televisyen dan karaoke keluarga. Di hujung sudut tingkat dua, dibina satu gazebo terbuka sesuai untuk minum petang dan berbual dengan tetamu.
Sepakat
Suami isteri itu sepakat dalam menentukan susun atur perabot di dalam kediaman mereka.
Dr. Nordin gemar kepada suatu yang ringkas dan tidak sarat, begitu juga dengan Noorsiah.
Pemilihan rona lembut seperti putih, krim dan coklat muda melatari setiap ruang, menjadikan ia kelihatan sangat tenang. Bagi pemiliknya, warna sebegitu tidak menjemukan dan tidak bermusim.
Juga tiada bunga-bunga tiruan atau perhiasan kecil memenuhi meja konsol dan sebagainya. Hanya lukisan hasil sentuhan Dr. Nordin melatari beberapa dinding utama. Siapa sangka, doktor perubatan itu mampu menghasilkan lukisan setanding pelukis profesional!
Wajah isteri tercinta, anak-anak, menantu dan cucu menjadi inspirasi nukilannya. Selain itu, dia juga gemar kepada lukisan alam semula jadi dan abstrak.
Daya kreatif pemilik juga terserlah pada meja kopi di ruang tamu utama dan ruang menunggu. Menurut Noorsiah, suaminya tidak gemar kepada kain alas meja atau table runner, lalu beliau menghasilkan lakaran abstrak pada meja yang berukir.
Laman menghijau
Dari anjung rumah menghadap ke Bandar Raya Shah Alam, dapat dilihat laman luar “Mahal kita” yang terpelihara rapi. Kedudukan yang terletak betul-betuk di lereng bukit digunakan sebaik mungkin. Kolam buatan dengan ikan koi menyerlahkan suasana.
Kolam renang sederhana luas sedalam lima kaki dilengkapi alat khas menghasilkan gelombang seperti arus sungai turut dibina. Juga terdapat kolam untuk kanak-kanak.
Pada satu sudut, terdapat rimbunan pokok pisang segar menghijau siap dengan tandan yang penuh. Kata Noorsiah, pokok-pokok pisang itu tidak berhenti berbuah.
Manakala laman di bahagian pintu masuk utama turut diberi penekanan. Hanya berlatar rumput menghijau dan sedikit tumbuhan hiasan, kawasan itu dicipta ringkas dan tidak sarat. Kolam air terjun masih menjadi kemestian pada satu sudut.
Ruang
silaturrahim
Menurut Noorsiah, tiga orang anaknya, termasuk dua yang sudah berkahwin masih tinggal di rumah itu.
“Saya memberi mereka kebebasan untuk tinggal di luar, tetapi mereka tetap mahu tinggal bersama. Mungkin kerana hubungan kami yang rapat. Dan saya juga tidak ada masalah untuk tinggal bersama menantu,” katanya.
Melihat kepada hubungan keluarga itu dan meninjau di segenap ruang yang sarat dengan kasih sayang, tidak hairanlah ungkapan “Mahal Kita” menjadi pilihan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: