KISAH minggu ini yang dibawa oleh Puan Yuhanis dari Kajang dalam emelnya cukup menarik untuk menjadi perhatian kita, walaupun ada antara kita yang terkena sindirannya.''Bukan cakap kosong, tapi saya pernah mengambil empat pembantu rumah melalui ejen, malangnya kesemua mereka melarikan diri meninggalkan anak-anak saya sendirian di rumah dengan pelbagai alasan dan cerita pembohongan masing-masing.
''Kepada pembaca yang pernah ada pembantu rumah Indonesia tentu ada banyak pengalaman. Tentu anda dah masak dengan cerita rekaan merekakan?
''Kali pertama saya ambil pembantu rumah Indonesia ketika saya melahirkan anak kedua. Emak yang menjaga anak sulung saya sudah tidak mampu menjaga anak saya lagi, kerana adik saya juga menghantar anaknya kepada emak di samping anak- anak abang saya seramai dua orang tu.
''Mula-mula si pembantu rumah ini baguslah bekerja. Tapi masuk bulan ketiga dia mula mengadu sakit perut, saya hantar ke klinik. Makan ubat lepas tu sakit lagi. Tak sampai enam bulan sakit lagi. Katanya sakit perutnya menjadi-jadi ketika tiba di Malaysia. Hantar klinik lagi, tetapi esoknya dia melarikan diri. Dia berani lari tanpa pastport, kerana ia dalam simpanan saya. Itu perjanjian yang kami persetujui.
''Setelah berhenti baru saya tahu dari jiran-jiran bahawa dia berkawan rapat dengan pembantu jiran saya yang lain. Dan mereka sama-sama melarikan diri. Kata jiran mereka nampak ada lelaki tunggu pembantu ini di simpang jalan hujung rumah saya.
''Saya lapor dengan ejen, janjinya nak ganti tapi selepas beberapa bulan menanti, akhirnya nombor telefon ejen tadi bertukar baru langsung tidak dapat dihubungi lagi.
''Kerana masalah tak ada pengasuh, maka saya cari ejen baru untuk dapatkan pembantu rumah lagi. Selang tiga bulan dapat pembantu rumah baru, saya kira cukup sesuai dengan jiwa saya, orangnya dah berumur sudah 40-an. Saya fikir tentu dia akan bekerja dengan baik untuk tanggung anak-anaknya, kerana katanya dia sudah bercerai.
''Tak sampai dua tahun dia kata nak balik kampung segera emaknya sakit kuat dan tak ada orang nak jaga anaknya. Saya benarkan dia balik kerana kesian dan simpati lagipun dia berjanji cuti sebulan lepas sebulan dia kembali semula ke Malaysia. Ok lah. Tapi malangnya dia balik terus tiada berita. Larilah tu!
''Begitu juga dengan pembantu ketiga dan keempat, mereka cuma datang ke Malaysia nak cari pengalaman dah ada pengalaman dia akan melarikan diri. Lebih cepat mereka cabut kalau dapat kekasih baru. Mereka akan kahwin dan terus menetap di Malaysia.
Cari wang
''Dari cerita kawan-kawan yang ada pengalaman yang sama. Mereka biasanya datang ke negara ini hanya untuk cari wang, mereka lebih suka duduk dengan puak mereka, menyewa bilik, lepas tu mereka akan keluar cari kerja, sama ada menjadi pembantu rumah, pembantu kedai, tukang masak, pekerja restoran, peniaga pasar malam, atau apa aja asalkan bukan pembantu rumah yang menginap di rumah majikan.
''Kalau tinggal sendirian dengan kawan mereka boleh buat dua kerja dalam sehari dan mendapat gaji lebih lumayan. Contohnya, siang mereka kerja sebagai pencuci bangunan, lepas jam enam mereka boleh kerja di gerai, pasar malam atau mencuci pinggan mangkuk. Bermakna mereka akan dapat dua gaji satu bergaji tetap satu lagi secara sambilan.
''Mereka tak ada masalah cari kerja seperti ini, kerana terlalu ramai majikan tempatan yang memerlukan khidmat mereka terutama bekerja di restoran mahupun mencuci pinggan mangkuk. Apatah lagi bekerja 'perkhidmatan malam' kepada yang masih muda-muda dan ada rupa. Pendapatannya lebih lumayan.
''Memang awalnya mereka agak bodoh datang dari kampung dan tidak ada pengalaman, tetapi setelah berada di negara ini dan mula dapat kawan di kalangan pembantu rumah lain yang lebih berpengalaman mereka akan berubah dalam sekelip mata, semuanya kerana mereka mahu cari lebih banyak wang ketika berada di negara ini.
''Namun trend baru kerja yang paling banyak dan sentiasa mendapat perhatian sekarang ialah kerja sebagai tukang pembersih rumah khususnya kepada pembantu rumah yang telah melarikan diri daripada majikan mereka.
''Sebagai contoh seorang 'pembantu rumah bebas' akan menawarkan diri bekerja di sebuah rumah dari jam 9 pagi hingga 4 petang, kerjanya hanya menyapu rumah, mop lantai, mencuci tingkap, membersih bilik air, mengosok pakaian dengan upah antara RM40 hingga RM50 sebuah rumah mengikut besar rumah.
''Mereka akan berusaha mendapatkan majikan dan bekerja 6 ke 7 buah rumah dalam seminggu. Kerana ada majikan yang memerlukan khidmat dua kali seminggu, sekali ataupun tiga kali seminggu. Bermakna kalau dihitung mereka akan mendapat upah antara RM1,200 hingga RM1,500 atau lebih dalam sebulan.
''Jadi kalaupun mereka ditawarkan kerja mengikut perjanjian yang baru antara kedua negara Malaysia dan Indonesia RM800 sebulan itu pun tidak membawa makna apa-apa kepada mereka. Mereka lebih suka jadi 'pembantu rumah bebas.' Kerana kerjanya mudah, bebas dan mereka boleh ambil cuti bila-bila suka.
Mereka sukar dikenal oleh pihak berkuasa, kerana mereka biasanya memakai baju kurung, bertudung dan kalau yang masih muda mereka pakai pakaian sama seperti anak-anak remaja kita berseluar panjang dan bertudung. Bila sudah bercampur dengan orang tempatan mereka sukar dikenali.
Demikian cerita Yuhanis tentang masalah dan kerenah pembantu rumah dari seberang.
Katanya dia bawakan kisah ini ditujukan kepada jabatan Imigresen dan polis supaya mereka bertindak tegas kepada pembantu rumah yang banyak melarikan diri dari majikan semata-mata untuk bekerja sendiri. Jumlah mereka ramai. Kerana ada antara mereka yang telah berkeluarga dan membina rumah setinggan di negara ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: