Tuesday, June 1, 2010

Relevankah lagi AF?


TIADA siapa dapat menjangka sampai bila Akademi Fantasia akan terus mendapat sokongan masyarakat.


HAKIKAT yang tidak dapat dinafikan, program realiti televisyen (TV) Akademi Fantasia (AF) terbitan Astro telah membawa satu dimensi baru dalam program hiburan di negara ini.

Program realiti yang diadaptasi daripada program La Academia dari Mexico itu menjadi program realiti TV tempatan paling popular berdasarkan sambutan para penonton berbanding pertandingan lain.

Penanda aras itu dapat dibuktikan misalnya pada AF2, program terbitan Astro Ria itu menerima undian khidmat pesanan ringkas (SMS) sebanyak lebih 7.5 juta undian pada konsert akhirnya.

Musim itu boleh dianggap menguntungkan Astro mahupun syarikat telekominukasi yang terbabit berdasarkan setiap undian SMS mengenakan caj sehingga 50 sen bagi setiap undian.

Setahun kemudian, AF3 kembali lagi dengan mengangkat Mawi sebagai juaranya di mana tidak keterlaluan dikatakan dia merupakan pemenang program realiti TV itu yang paling popular.

AF yang menampilkan Diari AF pada setiap hari selain konsert mingguannya pada setiap Sabtu penuh dengan pelbagai gimik, tema dan kejutan yang berjaya menarik perhatian penonton.

Bagaimanapun, AF sama seperti air laut yang pasang surut kerana setiap musim mempunyai graf tarikan dan pencapaiannya yang tersendiri berdasarkan banyak faktor tersendiri.

Kemeriahan, publisiti media massa dan sambutan para penonton terutamanya dapat diukur melalui undian SMS sebagai penanda aras dalam menentukan sambutan terhadap program itu.

Sambutan para penonton itu boleh dilihat berdasarkan undian SMS AF8 yang menerima 3.75 juta SMS berbanding AF7 yang menerima 3.9 juta SMS ke atas para pesertanya.

Jika statistik itu dibandingkan dengan AF2 yang menerima undian SMS paling menggagumkan, maka isyarat jelas menunjukkan pasti ada faktor yang mempengaruhi atas pencapaian tersebut.

Tidak hairanlah AF yang melalui fasa sambutan para penonton yang berubah-ubah itu sentiasa memerlukan perubahan dan idea-idea baru lebih kreatif untuk bertahan lebih lama.

Selepas lapan musim atau lapan tahun berturut-turut AF diterbitkan, para penonton sudah boleh meramal konsep dan gimik yang akan dipersembahkan pada setiap konsertnya.

Apabila konsep dan gaya persembahan para peserta AF yang ditampilkan hampir sama seperti musim-musim sebelumnya, ia tidak menjadi kejutan lagi buat para penonton program itu.

Ekoran itu, timbul pelbagai pandangan sama ada program itu harus diteruskan, direhatkan atau ditamatkan antara yang dicetuskan oleh pelbagai pihak termasuklah media massa.

Pandangan itu mendapat reaksi yang pelbagai termasuklah daripada pihak-pihak yang pernah atau terbabit secara langsung dalam penerbitan program realiti TV nombor satu Astro tersebut.

Sebagai stesen yang menerbitkan AF, Astro sentiasa mengambil kira segenap aspek sebelum membuat keputusan meneruskan penerbitan sesebuah program. Demikian juga halnya dengan AF.

Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah berkata, ketika ini pihaknya belum berhasrat menamatkan AF kerana sambutannya masih menggalakkan.

"Astro belum terfikir lagi untuk menamatkan AF atau menghentikannya buat sementara waktu. Ini kerana, program ini telah banyak membantu dalam strategi perniagaan kami selama ini.

"Sebab itu, AF tidak wajar dihentikan kerana ia masih berfungsi. Cuma masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Untuk program AF9 musim 2011, kami belum tetapkan lagi," komennya.

Langkah Astro mengekalkan AF tidak menghairankan berdasarkan sambutan para penonton dan penaja yang masih memberi kepercayaan atas pertandingan nyanyian itu.

Meskipun terdapat banyak program realiti TV dan pertandingan nyanyian diadakan tetapi persaingannya agak sengit kerana setiap satunya menampilkan konsep dan tarikan tersendiri.

Ada suara-suara sinis meminta AF diadakan dua tahun sekali bagi memberi peluang remaja pelapis yang ada sekarang ini membesar dan cukup umur untuk dipertandingkan bakat mereka.

Sewaktu peringkat awal AF dianjurkan, tidak banyak program realiti TV di negara ini dan persaingannya di kalangan stesen-stesen TV juga tidak sesengit seperti sekarang ini.

Ketika ini boleh dikatakan setiap stesen TV mempunyai rancangan realiti TV sendiri yang berteraskan nyanyian seperti Mentor (TV3), One In A Million (8TV) dan Rentak Juara (RTM).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: