Tuesday, June 1, 2010

Peminat undi, peminat singkir


Wajah- wajah mereka yang pernah meletakkan harapan pada program realiti nombor satu, Akademi Fantasia.


TAHUN 2005, industri hiburan menyaksikan kelahiran seorang bintang yang mencipta fenomena paling luar biasa.

Semuanya gara-gara penangan program realiti Akademi Fantasia (AF) yang pada tahun itu memasuki tahun ketiga penerbitannya.

Bukan saja masyarakat bahkan stesen penyiaran AF, Astro sendiri bagaikan tidak percaya anak muda bernama Asmawi Ani atau Mawi berupaya mencetus pengaruh yang bukan sedikit sehingga negara dilanda rasukan 'Tsumawi'.

Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu menempa kemasyhuran yang hebat.

Mawi merupakan produk kelahiran program televisyen yang paling berjaya setakat ini.

Hanya kerana 'kuasa' yang diberikan kepada penonton, dia menjadi bintang paling hangat ketika itu.

Namun hari ini, nama Mawi semakin tenggelam.

Dia yang pernah dipuja peminat, didamba ramai wanita termasuk ibu-ibu yang mahu menjadikannya sebagai menantu, kini membawa haluan sendiri.

Paling malang buat Mawi, dia yang pernah diangkat sebagai juara, sudahnya ditempelak dengan sorakan 'boo' pada majlis Anugerah Bintang Popular baru-baru ini.

Apakah wajar keadaan ini berlaku?

Dia tidak pernah meminta untuk dipuja dan diangkat sehingga ke tahap sedemikian.

Mawi juga barangkali, tidak pernah menyangka yang dia akan menerima nasib sedemikian rupa hanya selepas beberapa tahun mengecap populariti sebagai anak seni.

Sebetulnya, bukan Mawi seorang yang berhadapan dengan senario itu.

Mujur, lelaki yang sangat masyhur menerusi lagu Kian itu bijak merencana masa depannya.

Dia tidak mudah melatah, bahkan begitu tenang menghadapi cabaran dalam industri hiburan yang memungkinkan segala-galanya berlaku.

Pada masa yang sama, cuba kita tanya ke mana menghilangnya juara sulung AF, Vince?

Bintang bukan Melayu itu pada awalnya dilihat akan meneruskan legasi penyanyi-penyanyi senior seperti Fran dan David Arumugam.

Sayang sekali, 'jangka hayat' Vince sebagai penghibur tanah air juga kelihatan sekadar sementara.

Zahid yang dianggap sebagai antara bintang terbaik yang dilahirkan menerusi program realiti itu juga sepi.

Begitu juga dengan juara AF4, Faizal, langsung tidak kedengaran khabar berita.

Sesekali, mujurlah nama Mila (juara AF5) kelihatan di dada-dada akhbar dan majalah. Begitu juga dengan Stacy yang agak menyerlah di pentas-pentas pertunjukan.

Yang namanya terus diperkatakan pula ialah Hafiz juara musim terdahulu. Imejnya disenangi ramai.

Namun sejauh mana pula Hafiz dapat bertahan lama di persada seni?

Ketika nama bintang muda yang baru ditabalkan juara musim kelapan, Shahir sedang meniti di bibir peminat-peminat seni, apakah juara-juara lepas akan lebih mudah dipinggirkan?

Realitinya, itulah nasib bintang realiti di Malaysia atau lebih tepat nasib bintang-bintang kelahiran AF.

Berdasarkan senario berkenaan, barangkali sebilangan besar daripada akan terus tertanya-tanya apakah matlamat program realiti sekadar melahirkan penyanyi muda bersifat sementara?

Kebimbangan ini juga ada pertalian dengan apa yang pernah disuarakan oleh sifu industri muzik yang juga bekas pengetua AF3, M. Nasir yang pernah menyimpulkan gelombang AF sifatnya menderu tetapi tahapnya berbeza-beza dan akan reda apabila nasib sudah tidak menyebelahi mereka.

Maka benarlah kata-kata seniman itu. Secara perlahan-lahan ia sudah memperlihatkan kebenarannya.

Gambaran itu sekali gus membuktikan undian yang dibuat oleh penonton menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) 100 peratus semata-mata melahirkan bintang popular.

Apabila 'kuasa' diberikan kepada penonton, maka maka kecenderungan masyarakat dalam memilih penyanyi pujaan mereka akan terserlah.

Sama ada pemilihan itu berbaur antara bakat dan emosi termasuklah latar peribadi seseorang juara AF itu, ia mampu menggambarkan tahap cita rasa para penonton dalam mengangkat juaranya.

AF tidak seperti pertandingan nyanyian lain seperti Bintang RTM misalnya yang menentukan 100 peratus pemilihan juaranya berdasarkan pemilihan para juri profesional dalam bidang muzik.

Ketika Astro memperkenalkan 'kuasa' undian kepada peminat, rasional mereka hanyalah untuk memberi peluang kepada orang ramai memilih bintang yang mereka jangkakan boleh menjadi pelapis industri hiburan.

Kita semua sudah tentu percaya bahawa Astro juga sama sekali tidak pernah menjangka, senario yang sebaliknya pula akan berlaku.

Tiada siapa yang pernah menjangka peminat yang mengundi akan turut menyingkirkan artis kesayangan mereka.

Tidak perlu kita mempersoalkan apakah ada keadilan dalam hal ini.

Ini kerana kita membenarkan mereka (pengundi) membuat pilihan dan kerana itu juga harus akur dan terbuka menerima apa saja keputusannya.

Kepada Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, Stacy, Hafiz dan yang terbaru Shahir, sebetulnya, anda semua harus mengingatkan diri anda bahawa langit tidak pernah selalu cerah.

Ada ketika kita mungkin beranggapan panas akan berterusan hingga ke petang, sedangkan hujan turun di tengah hari.

Justeru, dalam hal ini bintang-bintang AF haruslah membuktikan bakat sebenar atas kepercayaan yang diberi oleh para peminat supaya mereka boleh bertahan lama dalam industri ini.

Jika tidak, mereka mungkin hanya akan mengiakan lagi stigma mengatakan bintang-bintang AF adalah artis mee segera yang cukup 'menyelerakan tetapi kurang berkhasiat'.

Beringatlah wahai anak-anak muda!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: