Tuesday, June 8, 2010

Rabbani tubuhkan kumpulan pelapis

RABBANI bakal menjadi kumpulan nasyid pertama mempunyai pelapis apabila kumpulan yang ditubuhkan sejak 13 tahun lalu itu akan memperkenalkan pewaris mereka Rabbani Junior. Kumpulan yang terdiri daripada anak-anak anggota Rabbani itu sendiri akan diperkenalkan penghujung tahun ini.

Rabbani Junior dibarisi tujuh kanak-kanak lelaki berusia 9 hingga 13 tahun bakal menyambung warisan bapa mereka dalam memperjuangkan nasyid sambil beribadah.
Jurucakap Rabbani, Azadan Abd Aziz ketika ditemui pada majlis ulang tahun kumpulan ini memberitahu, idea menubuhkan Rabbani Junior adalah cetusan balu Allahyarham Asri Ibrahim iaitu Noor Jannah. Katanya, penubuhan Rabbani Junior sebagai memenuhi impian pemimpin dan vokalis utama Rabbani, Ustaz Asri Ibrahim yang pernah meluahkan kebimbangan mengenai pengganti Rabbani sebelum beliau (Asri) menghembuskan nafas terakhir tanggal 13 Ogos yang lalu.

“Mencari pengganti atau artis di bawah Rabbani yang bukan saja boleh menyanyi tetapi menghiburkan orang ramai sambil berdakwah bukannya mudah. Isteri arwah, Noor Jannah kebetulan memberikan cadangan supaya kami mengambil anak-anak anggota Rabbani saja sebagai penyambung dakwah kami kerana dia melihat anak anggota Rabbani ada yang berbakat.

“Kami bercadang hujung tahun ini proses rakaman akan dimulakan. Sebagai permulaan, Rabbani Junior akan muncul dengan single terlebih dulu. Bagi pengisian lagu untuk Rabbani Junior, ia akan diambil daripada lagu milik Asri yang belum pernah dinyanyikan sebelum ini. Mereka juga akan menyanyikan semula lagu daripada kumpulan Nada Murni iaitu kumpulan pertama yang disertai oleh Rabbani. Malah kami juga amat mengalu-alukan sumbangan lagu daripada komposer yang berminat,” kata Azadan.

Rabbani Junior bakal dipimpin oleh anak keempat ustaz Asri, Mohd Ilham yang kini berusia 12 tahun. Ilham bukan saja berkebolehan menyanyi sehebat arwah bapanya tetapi juga berkebolehan bermain muzik seperti gitar dan piano. Malah semasa hayat, Allahyarham Asri sendiri pernah memberitahu, Ilham bakal mewarisi bakatnya tetapi anaknya itu seorang yang pemalu.
Sementara itu, kembali berbicara mengenai kumpulan yang asalnya mempunyai seramai 13 anggota dan kini mereka bergerak selesa bersama tujuh orang.
Azadan berkata, sejak ketiadaan Asri, mereka merasakan Rabbani umpama kumpulan baru.

Ditanya tidakkah mereka bimbang sokongan peminat akan semakin berkurangan, lebih-lebih apabila gagal meraih sebarang trofi pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) baru-baru ini, Azadan menjelaskan apa yang dibimbangi Rabbani sebenarnya ialah tidak mampu mempertahankan perjuangan yang ditinggalkan oleh Asri.

Dia mengakui Rabbani beruntung apabila masih ada peminat yang sudi mengundi mereka ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian tempoh hari hingga mereka berjaya membawa pulang trofi Penyanyi Nasyid Popular untuk kali ke 11.

“Tak dapat saya nafikan album Marhabbah disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa. Kami menyiapkan album itu dalam tempoh dua minggu saja kerana ketika itu kami sibuk dengan penjelajahan untuk ke Jordan dan Syria. Apabila dibuat dalam keadaan tergesa-gesa, kualitinya tidak dijaga. Susunan muzik album itu terutamanya dibuat dalam keadaan nak cepat, selain itu dari segi teknikal juga terdapat kelemahan.

“Pengalaman itu adalah pengajaran buat kami. Selepas ini kami akan lebih berhati-hati lagi untuk mengelak hal serupa daripada berlaku. Bagaimanapun kami tidak meletak harapan yang tinggi untuk menang. Bagi kami apabila diundang ke sesebuah majlis, tujuan kami bukan untuk menang sebaliknya kami cuma mahu memenuhi undangan dan pada waktu sama mengambil peluang itu bertanya khabar dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak ditemui,” katanya.

Sepanjang 13 tahun berada dalam industri, Rabbani pernah meraih kejayaan besar di dalam AIM. Album Intifada yang menyaksikan gandingan kumpulan itu bersama KRU menggondol anugerah Vokal Berkumpulan Terbaik, Album Nasyid Terbaik dan Album Terbaik. Kejayaan itu diraih kumpulan berkenaan pada 2001.

Perubahan yang cuba dibawakan Rabbani apabila menjalin kerjasama dengan KRU itu mengundang pelbagai maklum balas penonton. Ada yang suka dan tidak kurang yang kurang bersetuju dengan perubahan yang cuba dibawa kumpulan berkenaan. Namun lama-kelamaan kelainan yang cuba dibawa sepanjang karier Rabbani itu semakin diterima apabila Intifada dan Pergi Tak Kembali kerap menjadi pilihan peminat setiap kali membuat persembahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: